Selasa, 14 Jun 2011

Masalah peniaga Pasar MPKB Kelantan

LEBIH 300 peniaga kecil di Pasar MPKB telah menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan dan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap layanan kerajaan negeri dalam menangani masalah mereka.

Pasar MPKB
Masalah para peniaga Pasar MPKB ini telah berlarutan begitu lama tanpa penyelesaian yang memuaskan kedua pihak. Mereka semuanya diarah berpindah ke tapak baru - Bazar Tok Guru kerana tempat perniagaan sekarang - Pasar Lama MPKB- telah pun diserahkan kepada pihak swasta untuk dimajukan.

Kebanyakan para peniaga tidak berpuas hati dengan Bazar Tok Guru yang dianggap sempit dan tidak selesa bagi menjalankan perniagaan mereka. Mereka juga menuduh kerajaan negeri telah memungkiri janji semasa diawal pembinaan Bazar tersebut; termasuk harga dan keluasan lot.

Para peniaga yang berniaga di Pasar MPKB ini boleh dikatakan 100 peratus terdiri dari orang-orang melayu. Sebahagian besar mereka telah berniaga begitu lama berpuluh tahun dan ada yang secara turun-temurun lagi. Di sinilah tempat mereka mencari rezeki dan termasuk dalam golongan peniaga kecil.

Di tingkat atas menempatkan beratus peniaga kain dan di bawahnya kedai kopi. Kedudukan pasar ini begitu strategik kerana ia terletak ditengah pusat bandar dikelilingi stesen bas dan stesen teksi. Ia menjadi tumpuan para pelancong dan tempatan.

Kedudukan Bazar Tok Guru pula agak terkeluar sedikit dari zon tumpuan orang ramai. Walaupun bangunannya kelihatan gah dan cantik, tetapi kemungkinan dari segi strategik ia tidak sama dengan Pasar Lama MPKB.

Inilah barangkali beberapa faktor menyebabkan para peniaga ini begitu liat untuk berpindah. Namun atas alasan apa pun mereka sudah tidak ada pilihan kerana Pasar Lama MPKB telah pun dijual kepada pihak swasta.

Di sudut undang-undang kerajaan negeri tidak akan kalah. Cuma yang menimbulkan masalah sekarang ialah bagaimana kerajaan negeri menangani dan memenuhi permintaan para peniaga yang tidak berpuas hati. Sekiranya ia tidak diselesaikan dengan memuaskan semua pihak ia boleh menjejaskan nama parti dan kerajaan yang memerintah.

Ini pun sehingga kini imej kerajaan negeri telah terjejas dengan isu ini lebih-lebih lagi timbul pula masalah lot-lot kedai di Bazar Tok Guru telah pun diberikan kepada kroni-kroni tertentu. Mereka mendesak kerajaan negeri melakukan pengundian semula dalam pembagian lot-lot kedai tersebut.

Kerajaan negeri perlu berhati-hati dalam menyelesaikan masalah para peniaga ini. Kerana mereka ini mewakili kelas atas pertengahan dan merupakan sebahagian besar nadi usahawan dan perekonomian orang-orang melayu di Kelantan. Di Pasar Lama inilah merupakan pusat perniagaan dan belibelah tumpuan dalam dan luar negeri.

Jika keadaan perniagaan dan ekonomi mereka terjejas, maka ia akan memberi kesan secara keseluruhan terhadap kegiatan ekonomi orang-orang melayu di negeri ini.

Apa yang berlaku terhadap Pasar Buluh Kubu tidak harus berulang. Pasar Buluh Kubu, suatu masa dulu merupakan tempat membeli-belah paling maju dalam bandar Kota Bharu. Tetapi kini para peniaga disitu seperti "hidup segan mati tidak mahu" kerana para pelancong dan orang ramai tidak lagi berkunjung ke situ lantaran pelan bandar dan sistem trafik yang dikuatkuasakan Majlis Perbandaran tidak mesra orang ramai bagi memudahkan para pengunjung.

Kebanyakan peniaga di Pasar Buluh Kubu dahulunya begitu mewah, tetapi kini hendak bayar sewa kedai pun tidak lepas. Mereka suatu masa dulu pernah mengesa kerajaan negeri agar membantu mereka mengembalikan semula suasana Pasar Buluh Kubu seperti dahulu.

Baik peniaga di Pasar MPKB dan Pasar Buluh Kubu mereka semua adalah majoriti orang-orang melayu Kelantan yang terlibat dalam bidang ekonomi bangsa. Kerajaan negeri perlu serius mencari jalan penyelesaian terhadap nasib masa depan mereka.

Berpolitik secara berlebih-lebihan tidak memberi sebarang makna, sekiranya nasib para peniaga yang terdiri dari bangsa melayu dan Islam tidak terbela.


-Catatan ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah, keluaran 24-30 Jun 2011.

.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan