ESOK ( 18 Jun ) skuad bolasepak Malaysia akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Myanmar di Stadium Sultan Muhammed ke 1V, Kota Bharu. Inilah julung kali pertama perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan kebangsaan diadakan di sini.
Pemilihan bermain di Kota Bharu adalah satu penghormatan kepada penyokong setia Kelantan, The Red Warriors dan rakyat negeri Kelantan khasnya. Inilah peluang terbaik bagi para peminat untuk menyaksikan dengan lebih dekat aksi para pemain kebangsaan yang selama ini hanya berkampung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Saya secara peribadi, sudah tidak menjejaki ke dalam Stadium Muhammed, Kota Bharu lebih kurang hampir 10 tahun. Ini bukan apa kerana sejak usia semakin meningkat dan berkeluarga, "nafsu" untuk ke stadium tidak begitu ghairah seperti mana semasa muda remaja dulu.
Semasa saya masih dibangku sekolah dulu, boleh dikatakan tidak ada perlawanan yang saya "miss". Semua perlawanan saya tengok dan menjadi pengunjung yang setia stadium Sultan Muhammed ke 1V. Tetapi sekarang, dah tak larat !
Pengalaman yang tidak boleh saya lupa ialah merasai bom asap pemedih mata oleh pasukan FRU dalam tahun 1970an semasa Kelantan lawan Perak di suku akhir Piala Malaysia. Dalam perlawanan tersebut telah berlaku insiden para penyokong Kelantan menyerbu ke dalam padang dan menyerang serta memukul pengadil kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.
Ingatan saya masih segar tentang peristiwa tersebut di mana semasa itu Menteri Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Samad Idris yang berada di atas pentas ( masa itu belum ada Astaka ) telah diselamatkan oleh para pegawai polis ke dalam kereta.
Ada setengah penonton membawa anak-anak kecil menangis ketakutan. Saya pula meniarap sambil menutup muka dengan baju bagi melindungi asap yang memedihkan mata itu.
Akibat insiden itu semua perlawanan di Kota Bharu digantung dan perlawanan ulangan antara Kelantan dan Perak diadakan semula dalam tempoh yang tidak begitu lama.
Itu cerita lama hampir 30 tahun dahulu. Kini bila pasukan Malaysia akan bertemu Myanmar di Kota Bharu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, maka tergerak juga hati untuk pergi menontonnya.
Pertamanya, ini melibatkan pasukan kebangsaan Malaysia dan kedua saya kesian anak lelaki saya yang kini berusia 17 tahun begitu minat sangat tentang bolasepak. Tempoh hari bila Kelantan lawan Trengganu dalam final Piala FA di Kuala Lumpur saya melarangnya mengikuti rombongan para penyokong menaiki bas untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Saya sarankan padanya menonton saja di tv; ia selamat dan menjimatkan.
Anak saya ini mudah berkira, dia ikut saja cakap saya. Tetapi baru-baru ini bila dia merayu pada saya mahu menonton perlawanan Malaysia-Myanmar di Kota Bharu, saya menjadi keberatan dan serba salah. Oleh kerana tidak mahu melukakan hatinya, saya sanggup saja.
Dan kelmarin saya telahpun menempah dua keping tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut bersamanya. Tetapi kesanggupan saya bersyarat; perlawanan akan datang tengok saja saluran Astro 801 di rumah. Ia lebih selesa dan selamat. Dia bersetuju.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan