Jumaat, 3 Jun 2011

Rasuah bolasepak menghantui lagi

GEJALA rasuah dalam bolasepak timbul lagi dengan terbongkarnya dalang mengatur keputusan perlawanan Piala Presiden membabit perlawanan antara T-Team dan Negeri Sembilan. Setakat ini ianya masih dalam siasatan.

Sekiranya ini benar berlaku ia cukup malang bagi sukan bolasepak tanahair. Lebih kurang 20 tahun dahulu, gejala rasuah inilah yang telah melumpuhkan dan menghancurkan Liga Malaysia yang merupakan salah satu Liga yang meriah dan terbaik di Asia Tenggara.

Lebih 200 orang pemain termasuk pemain kebangsaan telah digantung dari bermain dan ada yang dibuang daerah akibat dari kesalahan menerima rasuah dan mengatur perlawanan. Bayangkan 200 pemain, sebahagian besarnya melibatkan pemain-pemain yang ternama dan berbakat.

Dan yang paling teruk menerima kesan dari peristiwa ini ialah pasukan kebangsaan. Selepas tragedi itu, FAM terkapai-kapai dalam membentuk sebuah pasukan kebangsaan. Prestasi pasukan negara terus merosot dan menjunam di arena antarabangsa, malah tercungap-cungap bersaing peringkat ASEAN.

Peristiwa itu telah berlalu dan hampir dilupakan sebagai peristiwa hitam dan penuh pengajaran. Dan dua tahun terakhir ini pasukan bolasepak negara mulai bangkit dengan menjuarai Piala Suzuki dan mengondol emas dalam acara bolasepak di Sukan SEA . Satu pencapaian yang membanggakan semua lapisan masyarakat. Kelihatan prestasi pasukan negara mampu pergi lebih jauh berdasarkan kualiti dan semangat yang ada pada para pemain.

Sehinggalah tercetusnya gejala rasuah ini ia cukup menakutkan dan menghantui bukan saja peminat bolasepak tanahair, malah seluruh rakyat Malaysia. Apakah peristiwa hitam 20 tahun dahulu akan berulang ?

Kita berharap kes ini hanya akan melibatkan hanya dua pasukan yang dalam siasatan iaitu T-Team dan Negeri Sembilan. Semoga tidak ada lain-lain pasukan yang terlibat. Negara tidak sanggup dan mampu lagi untuk menghadapi kes rasuah bolasepak versi kedua dalam tempoh ini.

Sekiranya selepas siasatan didapati ada lagi pasukan-pasukan lain yang terlibat, maka masa depan sukan bolasepak tanahair akan mengalami kehancuran dan zaman yang gelap, malah tidak mungkin bangkit lagi.

Kita berharap tidak ada pemain Harimau atau Harimau Muda yang terlibat. Mereka semua masih muda dan berbakat, malah sering mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam setiap perlawanan yang disertai mereka.

Mereka tidak harus menghancurkan masa depan mereka, apatah lagi menghancurkan harapan negara yang diletakkan ke atas bahu mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan