Ahad, 24 Julai 2011
Bolasepak: Malaysia hadapi tugas berat
MALAYSIA tewas 3-5 pada Singapura beberapa jam yang lalu dalam perlawanan Pra Kelayakan Piala Dunia di Stadium Jalan Besar. Separuh masa pertama Malaysia ketinggalan 1-4.
Dengan keputusan ini pasukan negara perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai ini. Harapan pasukan negara masih ada, tetapi menghadapi tugas yang berat berdasarkan perlawanan sebentar tadi.
Sekiranya Malaysia berjaya menghasilkan dua gol dan Singapura pula mampu mendapatkan hanya satu gol, maka pasukan negara akan tersingkir dari kelayakan Piala Dunia.
Berdasarkan perlawanan tadi penyerang Singapura begitu berbisa dan mudah membolosi barisan pertahanan Malaysia. Mereka boleh lakukan sekali lagi bila pertemuan di Kuala Lumpur nanti.
Benteng pertahanan pasukan negara begitu rapuh sebagaimana yang dibayangi sebelum ini. Dan ianya terbukti sekali lagi bila mudah dibolosi dengan lima gol.
Prestasi penjaga gol Sharbini Allawee juga menimbulkan keraguan. Dia sudah pasti tidak akan diturunkan pada 28 Julai ini. Jurulatih K.Rajagopal juga ada melakukan sedikit kesilapan dalam menyenaraikan kesebelasan pemainnya.
Pemain seperti Ismail Faruqi dan Ahmad Fakri Saarani tidak sepatutnya berada dalam barisan utama. Ini terbukti bila mereka dikeluarkan dan digantikan dengan Amirul Hadi Zainal dan Abdul Hadi Yahya dalam separuh masa kedua.
Kemasukan Amirul dan Hadi telah menukar corak serangan Malaysia dalam separuh masa kedua dan Abdul Hadi telah berjaya menjaringkan satu gol. Lagipun Abdul Hadi adalah penjaring gol terbanyak dalam Liga Malaysia. Bagaimana Rajagopal boleh utamakan Ahmad Fakri Saarani dari Abdul Hadi ?
Begitu juga Amirul Hadi lebih banyak bermain berbanding Ismail Faruqi. Rajagopal perlu berhati-hati dalam pemilihan para pemainnya. Dia mesti perbetul dan perbaiki kelemahan ini menjelang perlawanan kedua nanti.
Peluang pasukan negara masih terbuka, namun dalam masa yang sama mereka menghadapi tugas berat dan sukar memandangkan Singapura telah mempamerkan satu permainan yang berkesan.
Setelah kita juara Piala AFF, ini adalah ujian paling getir dihadapi pasukan negara. Apakah kita mempunyai kualiti yang sebenar sebagai juara ? Kita mempunyai satu lagi ujian pada 28 Julai ini untuk membuktikan bahawa kejuaraan Piala AFF yang kita menangi bukanlah nasib atau satu kebetulan.
Jika Singapura mampu menyingkirkan Malaysia dari Kelayakan Piala Dunia, maka imej kita akan tercalar dan Singapura pula boleh mendabik dada ia sebagai jaguh sebenar di Asia Tenggara.
Kini harapan berada dibahu para pemain negara untuk bermain habis-habisan bagi mencuci arang yang terconteng di muka mereka setelah tewas 3-5.
Malaysia hanya perlukan dua gol dan pastikan Singapura tidak menjaringkan sebarang gol untuk layak ke pusingan seterusnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
betul. tak faham kenapa Amirul dan Hadi tak diturunkan awal2. K rajagopal silap perhitungan. pandang enteng terhadap singapura.
BalasPadam