Memaparkan catatan dengan label Nik Aziz. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nik Aziz. Papar semua catatan

Khamis, 3 Januari 2013

Prof. Mohd Noor Deris sanggup berdepan dengan Nik Aziz dan Hadi

PENGERUSI Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof. Madya Mohd. Noor Deris adalah satu-satunya pemimpin yang berani dan sanggup berdebat dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Terbaru Mohd Noor bersedia berdepan dan berhujah dengan Hadi berkaitan Amanat Hj.Hadi yang menjadi isu besar sekarang. Cara Mohd Noor memberi kesanggupan untuk berdebat dengan Presiden Pas itu menunjukkan dia betul-betul serius dan bersungguh.

Prof. Mohd. Noor Deris
Mohd Noor ialah bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat. Ilmu agama padanya tidak siapa boleh pertikaikan. Dia mengajar di Nilam Puri. Mungkin ketokohannya tidak sepopular Nik Aziz dan Abdul Hadi, namun dia berupaya berhujah dengan dua tokoh Pas itu.

Tidak lama dahulu dia pernah mencabar Nik Aziz berdebat dengannya berkenaan isu kerjasama Pas dan DAP. Mohd Noor menentang keras isu kerjasama Pas-DAP yang baginya telah menyimpang dari dasar Islam Pas yang sebenar.

Dia bersungguh-sungguh mahu berdebat dengan Nik Aziz dalam isu tersebut. Namun Nik Aziz bersikap dingin dengan cabaran itu. Nik Aziz menolak untuk berdebat dengannya di atas faktor Mohd Noor tidak mewakili pihak pembuat dasar parti iaitu UMNO.

Dengan alasan itu usaha untuk menemukan kedua tokoh agama itu gagal dan sepi begitu sahaja. Tetapi sekiranya Nik Aziz sambut cabaran itu tanpa alasan ia mungkin menjadi kenyataan kerana Mohd Noor kelihatan begitu ghairah sekali untuk berdepan dengan Tok Guru Pas itu.

Nik Aziz Nik Mat
Apa yang menarik berkenaan dua tokoh ini ialah mereka pernah terserempak dalam satu lawatan ziarah kematian di satu kawasan di Kelantan. Masing-masing hadir berziarah dan melawat keluarga si mati. Tidak semena bila berdepan mereka berdua enggan bersalaman antara satu sama lain. Malah sempat bertikam lidah di tempat tersebut.

Khabarnya, salah seorang pemimpin Pas, Nik Amar yang mengiringi Nik Aziz ke tempat itu dapat meleraikan dan menyejukkan suasana yang panas itu. Lepas itu tidak ada apa yang berlaku. Ia selesai di situ saja.

Dari apa yang berlaku dan keberanian Mohd Noor untuk berdepan dengan Nik Aziz membuktikan dia tidak gentar dengan Menteri Besar dan ulama Pas itu. Kalaulah Nik Aziz tidak mengelak dan memberi alasan sudah tentu debat kedua tokoh ini menjadi kenyataan.

Ini tentunya memberi peluang pada masyarakat Islam di negara ini menilai dan mempertimbangkan hujah masing-masing berkenaan isu-isu berkaitan agama yang melibatkan UMNO-Pas. Tetapi inilah hakikat politik di negara ini. Memang cukup payah program debat untuk dijayakan. Bila Pas sanggup, UMNO menolak. Begitu juga sebaliknya - Mohd Noor siap, Nik Aziz pula memberi alasan.

Namun apa pun sikap dan keberanian Mohd Noor itu patut diberi pujian. Nampak dia begitu yakin dan beria-ria mahu berdebat dengan seorang yang dianggap ulama besar atau Ayatollah bagi para pengikut Pas.



Isnin, 19 November 2012

Nik Aziz hanyalah ulama selipar

Pengikut anggap kebal dan keramat

APA sahaja yang keluar dari mulut Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semua ahli Pas akan menerimanya secara bulat tanpa soal jawab. Sebagai seorang berimej ulama dan tok guru, segala pendapat dan pandangannya adalah betul belaka.

Sesiapa yang ingkar atau menentang pandangannya samalah seperti menentang agama Islam yang menjadi ideologi parti Pas. Ertinya, segala fikiran dan sikapnya dalam apa sahaja isu adalah 'absolute' dan tidak boleh dipertikaikan sesiapa.

Sudah ada tanda dan unsur taksub terhadap beliau sebagai pemimpin di kalangan para ahli parti. Beliau sudah dianggap sebagai tokoh yang mempunyai keramat dan kebal. Sehingga sekiranya ada yang berani mencemuh dan mencela peribadinya, maka orang itu akan menerima musibahnya. Begitulah tingginya kedudukan Nik Aziz di mata pengikut Pas.

Namun bagi Nik Aziz, beliau tidak pernah mengakui bahawa beliau adalah bertaraf wali atau keramat, tetapi beliau sendiri tidak pernah menghalang para pengikutnya bersikap demikian. Seolah beliau mahu mengambil kesempatan dalam keadaan itu demi kepentingan politik parti.

Hingga kini beliau telah berjaya mempengaruhi ahli parti bahawa Pas itu Islam dan Islam itu Pas. Dan ini telah banyak mengelirukan masyarakat dan menambahkan perpecahan di kalangan orang-orang melayu dan Islam.

Terbaru tuduhan Nik Aziz bahawa Umno adalah murtad dan menyokong tindakan adiknya, Nik Razi yang mengimamkan sembahyang hajat serta berdoa memohon kehancuran Umno baru-baru ini mengesahkan semuanya berunsur politik. Tetapi semua itu dibuat kononnya di atas kepentingan Islam yang menjadi dasar perjuangan Pas.

Inilah cabaran yang dihadapi Umno. Semua langkah dan tindakan Pas adalah Islam. Walaupun jelas kadang-kadang dasar-dasar Pas tidak konsisten sepertimana yang digempar-gempurkan. Seperti soal hukum hudud, kerjasama dengan bukan Islam, suara wanita adalah aurat dan sebagainya.

Soal hukum hudud; sudah hampir 22 tahun diberi kuasa memerintah tetapi Pas terus menyalahkan Umno akibat kegagalannya melaksanakan hukum tersebut. Sedangkan seorang peguam Pas, Datuk Wan Mutalib Embong, berpendapat Pas Kelantan tidak serius dan bersungguh-sungguh mahu melaksanakannya, walaupun ia berpeluang melakukannya.

Manakala Ustaz Hj. Hadi Awang pernah mengeluarkan fatwa adalah haram menubuhkan kerajaan bersama bukan Islam. Tetapi kini Pas sanggup bekerjasama dengan DAP semata-mata mahu berkuasa di Putrajaya. Berbagai alasan diberikan di atas kerjasama itu, antaranya istilah tahaluf siyasi (kerjasama politik).

Dan pada awal pemerintahan di Kelantan, Pas telah mengeluarkan fatwa bahawa suara wanita adalah aurat seterusnya melarang para peserta wanita menyertai pertandingan atau musabaqah membaca Al Quran. Tetapi baru-baru ini larangan itu telah ditarik semula dan membenarkan para wanita menyertainya semula.

Inilah dari beberapa banyak contoh dasar yang tidak konsisten Pas yang boleh dianggap main-main semata-mata kerana mencari undi. Itu belum dikira lagi dengan cadangan untuk memisahkan antara lelaki dan perempuan di tempat-tempat awam, termasuk di dalam stadium dan sebagainya.

Slogan Pas itu Islam dan Islam itu Pas perlu di kaji semula secara berhati-hati kerana ia boleh membawa banyak perpecahan dan kekeliruan di kalangan orang melayu dan Islam.

Ahad, 10 Jun 2012

Komen Awang Selamat tentang Anwar Ibrahim

Suka heret dan kait tokoh luar

AWANG SELAMAT dalam ruangannya "Bisik-Bisik", Mingguan Malaysia, 10 Jun 2012, mengulas tentang Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang gemar mengaitkan dirinya dengan tokoh dan negarawan luar dalam setiap ceramahnya.

Tokoh-tokoh yang sering disebut dan dikaitkan dengan dirinya ialah seperti negarawan India, Mahatma Ghandi, pemimpin Turki, Recep Tayyep Erdogan, pemimpin Hamas, Khalid Mesyal dan tokoh Islam Dr. Yusof Qaradhawi.

Nama-nama besar ini disebut seolah mereka menyokong dan bersama dengannya dalam suasana politik di negara ini. Ianya adalah satu usaha psikologi bagi menarik minat ramai rakyat menyokong perjuangannya.

Tetapi Awang Selamat lupa bahawa Anwar juga telah berjaya mengaitkan dirinya dengan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dalam muslihat politiknya. Dia pernah menyatakan bahawa Nik Aziz adalah Tok Gurunya. Dalam masa yang sama Nik Aziz adalah satu-satunya tokoh ulama yang sentiasa berada dibelakang Anwar dalam menghadapi apa sahaja isu berbangkit.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan kedudukan Anwar kini agak selesa hasil sokongan dan dukungan Nik Aziz. Sudah pasti tanpa Nik Aziz - Anwar tidak dapat bertahan dan berada seperti hari ini. Tokoh-tokoh ulama lain seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dr. Haron Din, Datuk Harun Taib dan lain-lain tidak segagah Nik Aziz dalam mempertahankan Anwar.

Sedangkan semasa Anwar berada dalam Umno beliau pernah menggelarkan Nik Aziz sebagai ulama terompah. Namun hari ini jelas beliau banyak bergantung pada bayangan Nik Aziz dari serangan Umno dan BN.

Sekiranya ditakdirkan Nik Aziz mengambil pendirian sederhana sebagaimana tokoh-tokoh ulama lain terhadap Anwar - sudah pasti kedudukan Anwar disudut politik akan goyah. Inilah kunci dan kelebihan Anwar. Selagi dia dapat mempengaruhi Nik Aziz, selagi itulah kedudukannya tidak akan terjejas.

Isnin, 5 Mac 2012



Nik Aziz kena kelentong

DATUK NIK Aziz Nik Mat pernah
membuat kenyataan terbuka pada
Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada
menarik balik kenyataannya atau saman
Wall Street Journal berkaitan isu
keselamatan Israel.

Tetapi setelah Anwar berjumpa
dengannya dan memberi penjelasan,
mereka berdua telah bersetuju untuk
tidak bersetuju dalam pendirian masing-
masing.

PAS tetap dengan pendiriannya dengan menganggap Israel sebagai satu entiti haram. PKR pula
mengambil sikap terbuka dan liberal dalam hubungan dengan negara Yahudi itu. Selepas Anwar
bertemu dengan Nik Aziz, soal menarik balik kenyataan dan saman sudah tidak timbul lagi.

Pada hal sebelum itu kenyataan Nik Aziz seolah memberi kata dua dan mempunyai nada yang
tegas. Namun dengan hanya Anwar berbisik ditelinga Tok Guru itu semua masalah selesai.
Inilah kelebihan yang pada Anwar.

Tidak pasti apakah Anwar juga mampu mempengaruhi tokoh seperti Dr. Yusuf Qardawi dan
pemimpin Hamas, Khalid Meshal ? Kalau dua tokoh antarabangsa itu boleh dipengaruhinya,
maka apalah sangat Nik Aziz yang pernah digelarnya sebagai ulama terompah.

Nik Aziz adalah seorang pemimpin yang mempunyai pendirian tegas dan tidak mudah berkompromi
dalam isu-isu dasar. Tetapi dalam isu ini beliau mengalah dengan Anwar.