Ahad, 3 Julai 2011

Dua hari di Melaka

GENAP dua hari dua malam berada di Melaka dan kini bersiap untuk pulang. Tidak banyak program yang dapat dilakukan selain hanya sibuk seharian menemani anak saya di tempat bakal dia belajar dan memenuhi segala keperluannya termasuk tempat tinggalnya.

Sebagai bapa saya rasa puas dengan apa yang saya lihat suasana dan persekitarannya. Semoga dia dapat menumpukan perhatiannya pada kuliah dan berjaya mencapai cita-citanya menjadi seorang akauntan.

Dalam keluarga saya hanya adik bongsu saya sahaja yang belajar ke peringkat tertinggi dan dianggap berjaya dalam bidang akademik. Dia kini sedang melanjutkan pelajarannya ke peringkat Doktor Falsafah. Sebelum ini adik saya itu adalah seorang pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan.

Saya sering menasihati dua anak saya ini agar menjadikan bapa saudaranya ini sebagai contoh. Sebagai bapa tidak ada perkara yang paling bernilai selain dari ilmu untuk anak-anaknya. Harta yang banyak tidak memberi erti apa-apa tanpa ilmu.

Sayidina Ali Abi Talib pernah berpesan, kalau ada harta, kita perlu menjaganya, sedangkan ilmu ia akan menjaga dan menyelamatkan tuannya. Dan lagi harta jika dibelanja akan berkurangan, manakala ilmu semakin diguna semakin bertambah.

Kami datang ke Melaka bertiga dan kini pulang berdua saja. Jarak Melaka dengan Kelantan tidaklah jauh sangat. Tetapi maklumlah anak perempuan saya ini tidak biasa dan tidak pernah berjauhan sebelum ini. Ini merupakan pengalamannya yang pertama. Jadi adalah perasaan sedih dan sayu bila saat kami berpisah di asramanya itu.

Perasaan sayu itu tidaklah sampai menangis, cuma matanya kelihatan bertukar merah berair. Saya dan adik lelakinya biasa saja dan masih sempat bergurau dan mengusiknya. Kami ketawa berderai di depan asramanya yang diperhatikan pemandu teksi yang sabar menunggu.

Selama di Melaka saya rasa bertuah kerana dapat kenalan baru. Dia adalah pemandu teksi yang begitu peramah dan baik yang sentiasa setia menurut kemahuan saya. Bayaran yang dikenakannya pun juga berpatutan dan menasabah. Senang berkira orangnya. Namanya Henry, berbangsa Cina. Usianya lebih kurang 50an dan berbadan gempal.

Saya tertarik dengannya yang bersikap peramah dan berbudi bahasa. Dari sejak hari pertama saya tiba hinggalah hari terakhir saya berada di Melaka hanya teksinya saja yang saya naiki untuk ke sana ke mari. Kadang-kadang dia sanggup menunggu dengan sabar sehingga selesai kerja saya.

Kesian melihatnya kadang-kadang menunggu, saya menyuruhnya tinggalkan kami saja dan kalau keperluan saya akan menelefonnya. Pada suatu pagi pernah saya memintanya menjemput kami di tempat penginapan pada jam 9 pagi untuk ke tempat urusan pendaftaran anak saya, tapi dia sudah pun berada di situ menunggu seawal 8 pagi.

Dalam perjalanan menghantar saya ke Tampin untuk menaiki keretapi pulang dia menceritakan tentang dirinya yang asalnya bekerja di kilang. Oleh kerana usia semakin meningkat dia berhenti kerja dan memandu teksi. Katanya, dia mempunyai dua orang anak lelaki, semuanya bekerja. Isterinya hanya duduk di rumah. Kehidupan mereka sederhana dan tidaklah susah sangat. Kerana menurut Henry, dia serta dua anak lelakinya yang bekerja telah meringankan sedikit bebanan mereka sekeluarga. Kata Henry lagi, kalau hanya dia yang bekerja tentu tidak mencukupi menanggung keluarganya.

Bila sampai di stesen Tampin yang mengambil masa satu jam dari Melaka itu, Henry berpesan agar menghubunginya lagi sekiranya saya datang ke Melaka kelak. Henry bagi saya bukan sahaja seorang pemandu teksi, malah sebagai seorang sahabat. Saya rasa beruntung kerana dapat seorang kenalan baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan