Jumaat, 22 Julai 2011

UMNO dan "winnable candidates"


KETUA UMNO Jerantut dan ahli parlimen kawasan itu, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihanraya akan datang dan bersedia memberi laluan kepada calon yang lebih muda dan berkelayakan.

Tengku Azlan ialah bekas Timbalan Menteri Pengangkutan dan telah menjadi wakil rakyat Jerantut selama tiga penggal sejak 1999.

Keputusan beliau ini telah mendapat pujian banyak pihak dan menjadi contoh kepada para pemimpin lainnya yang telah lama berkhidmat, tetapi masih lagi melobi dan berkempen agar dipilih semula sebagai calon dalam pilihanraya akan datang.

Kesediaan beliau mengundur diri adalah sebagai menyambut kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan calon-calon UMNO terdiri dari calon "winnable" sahaja yang terpilih.

UMNO tidak akan melakukan kesilapan yang sama pada 2008, di mana banyak kesilapan berlaku dalam pemilihan calon-calon yang bertanding. Malah ada calon tidak mendapat restu dari Ketua Bahagian dan cawangan.

Calon yang mempunyai ciri-ciri "winnable" ini tidak semestinya Ketua Bahagian atau cawangan, tetapi ia mestilah mendapat sokongan majoriti penduduk dan bukan hanya sebilangan ahli UMNO.

Di sinilah penting peranan ahli-ahli UMNO bersatu dan menyokong siapa saja yang terpilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon. Tidak ada gunanya terpilih sebagai calon, tetapi parti kalah.

Khabarnya, ramai pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan sekarang sedang "kepanasan" akan peluang mereka menjadi bakal calon. Sudah ada sesetengahnya mula bergerak menjelajah dan mendekati rakyat dalam usaha menawan hati mereka.

Difahamkan calon yang akan dipilih tidak semestinya dari bahagian tertentu, malah ia boleh datang dari luar kawasan asalkan calon tersebut mempunyai peluang untuk menang.

Usaha ini adalah salah satu dari transformasi UMNO bagi menghadapi PRU 13. Pendekatan ini adalah  baik sekiranya mendapat sokongan dan kerjasama ahli-ahli UMNO. Tetapi sekiranya penyakit lama  seperti "cah keting" sesama sendiri berlaku lagi, maka UMNO akan menerima padah.

Langkah Tengku Azlan berundur memberi syarat pada para pemimpin yang sudah lama berkhidmat tetapi masih lagi mahu bertanding, walaupun sudah tidak popular, agar memberi laluan pada calon-calon yang lebih muda dan berwibawa. Kepentingan parti mengatasi lain-lain kepentingan.















Tiada ulasan:

Catat Ulasan