Khamis, 7 Julai 2011

Bukan mudah jadi usahawan - Dr.M

TUN Dr. Mahathir berucap dalam satu seminar SME di Shah Alam antara lain menyatakan bukan mudah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Semasa beliau menjadi Perdana Menteri beliau sering menggesa dan menggalakkan orang ramai agar menceburi bidang tersebut. Tetapi setelah beliau bersara dari kerajaan pada 2003, beliau sendiri telah mencuba dan menerjun dalam bidang perniagaan dengan membuka sebuah kedai roti di Langkawi berjenama The Loaf.

Kini The Loaf mempunyai lima cawangan di seluruh negara, kebanyakkannya disekitar Kuala Lumpur. Menurut Dr.Mahathir lagi, beliau menceburi bidang ini sebagai mengisi masa lapangnya dan paling penting beliau suka pada cabaran.

Setelah beberapa tahun The Loaf beroperasi beliau masih lagi belum mendapat keuntungan. Beliau menganggap bidang ini adalah suatu yang beliau minat dan faham, namun tidak menyangka yang perniagaannya itu masih belum mampu memberinya pulangan.

Justeru itu beliau berterus terang menyatakan sebelum ini beliau menggalakkan rakyat agar berniaga sendiri, tetapi setelah beliau sendiri mengalaminya ia tidak semudah yang dijangka.

Menurut Tun lagi, dalam perniagaan seseorang itu memerlukan modal yang cukup jika ingin berjaya. Misalnya sesuatu perniagaan itu memerlukan modal satu juta, kita perlu mempunyai tiga juta. Kerana bila kita mula menjalankan operasi perniagaan banyak yang perlu kita belanja dan sebagainya. Ertinya, sebelum menjalankan perniagaan kita perlu ada modal yang mencukupi.

Bagaimanapun, Tun menasihatkan agar sesiapa jangan berhutang untuk membuat modal perniagaan. Ia akan menyusahkan kemudian kelak. Beliau sendiri tidak suka berhutang kerana dengan berhutang ia boleh mengganggu tidurnya.

Apa yang disampaikan oleh negarawan kita ini memang ada benarnya. Saya sendiri mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perniagaan. Setiap hari kita bergelut dengan masa dan wang serta mengejar ibarat berada di medan "perang" kerana bila berniaga banyak perkara yang perlu dibelanja dan dilangsaikan tepat pada waktunya.

Jadi dalam hal ini pengurusan yang cekap amatlah penting dan dalam masa yang sama memastikan perniagaan itu membawa keuntungan. Lihat saja The Loaf sampai sekarang belum mampu keluar dividen !

Dalam perniagaan sekali imbas nampak mudah, tetapi seperti kata Tun bila beliau sendiri terlibat baru tahu betapa peritnya untuk membuat keuntungan.

Namun, di dalam memulakan sesuatu perniagaan jalan paling selamat ialah dengan memulakan dengan secara kecil-kecilan dulu. Dan paling mustahak, jangan berhutang !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan