Selasa, 5 Julai 2011

Demokrasi kembali pulih di Thailand

SEJAK Thaksin Shinawatra digulingkan pihak tentera pada 2006 negara gajah putih itu terus bergolak dan politiknya tidak stabil. Tentera bertindak ke atas Thaksin yang juga seorang jutawan di atas tuduhan beliau menyalahgunakan kedudukannya memperolehi keuntungan dan saham di dalam syarikat-syarikat miliknya.

Segala tuduhan ini dinafikan Thaksin yang tetap mempertahankan bahawa segala kekayaannya adalah diperolehi sebelum beliau menjawat jawatan Perdana Menteri. Selepas dia digulingkan, kerajaan yang baru pimpinan Abhisit Vejajiva telah mendakwanya di mahkamah di atas tuduhan rasuah.

Dalam perbicaraan tersebut mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun ke atas Thaksin di atas kesalahan menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri. Semasa proses rayuan di mahkamah, Thaksin telah ke luar negeri dengan alasan untuk menghadiri upacara Sukan Olimpik yang lalu.

Sejak dia keluar negeri dia tidak pulang sehingga ke hari ini. Musuh-musuh politiknya menuduh beliau melarikan diri dan cuba mengelak dari dipenjarakan. Namun Thaksin dengan tegas menyuarakan bahawa perbicaraan ke atasnya di mahkamah lebih bersifat politik yang dilakukan oleh musuh politiknya.

Dengan itu bermulalah konflik dan ketegangan di antara para penyokong setia Thaksin dengan kerajaan pimpinan Abhisit. Penyokong Thaksin tidak dapat menerima keputusan mahkamah dan menuduh pihak tentera masuk campur dalam urusan politik. Mereka menuntut hak demokrasi dikembalikan dan menganggap tindakan tentera menggulingkan pemimpin mereka sebagai mencabuli hak rakyat yang telah memilih parti Thaksin sebagai pemerintah.

Justeru itu wujudlah kumpulan yang disebut sebagai Baju Merah. Perjuangan kumpulan ini ialah menuntut diadakan semula pilihanraya bagi memilih kerajaan yang baru. Mereka tidak dapat menerima dan mengikhtiraf Abhisit Vejajiva sebagai Ketua Kerajaan.

Sebenarnya parti Demokrat pimpinan Abhisit tidak pernah memenangi pilihanraya bagi membolehkannya menubuhkan kerajaan. Kejayaan Demokrat dengan bantuan parti-parti kecil menubuhkan kerajaan sebelum ini adalah kerana mendapat campur tangan pihak tentera yang mempunyai hubungan dingin dengan Thaksin.

Bertahun lamanya perjuangan kumpulan Baju Merah yang menuntut hak mereka dengan melakukan demonstrasi dan perhimpunan secara besar-besaran di seluruh negara. Banyak yang telah terkorban akibat pertempuran dengan pihak tentera. Ada yang dipenjarakan dan dituduh di mahkamah.

Abhisit pula meminta tempoh setahun bagi membuka ruang untuk diadakan pilihanraya. Baju Merah tidak dapat menerima cadangan tersebut malah menggesa pilihanraya diadakan segera dan secepat mungkin.

Sehinggalah pilihanraya yang dituntut itu berjaya diadakan baru-baru ini dengan menyaksikan parti Phuea Thai di bawah pimpinan Yingluck Shinawatra yang mendapat sokongan Baju Merah telah mendapat kemenangan selesa dengan memperolehi 260 kerusi dari 500 kerusi parlimen. Parti Abhisit hanya memperolehi 160 kerusi.

Pihak tentera terpaksa menerima hakikat kemenangan Yingluck yang juga adik kepada Thaksin yang mereka tumbangkan pada 2006 melalui rampasan kuasa. Tentera tidak dapat menerima Thaksin, apatah lagi slogan Baju Merah yang sering dilaungkan "Thaksin Thinks, We Act " bergema sepanjang kempen mereka.

Kini Yingluck akan menjadi Perdana Menteri Wanita pertama Thailand dan di Asia Tenggara. Dengan usianya yang masih 44th dan tidak berpengalaman, apakah Yingluck berjaya mengemudi Thailand yang politiknya agak kompleks itu ?

Ada sumber mengatakan jika Yingluck tidak berhati-hati serta gopoh dalam tindakannya, pihak tentera tidak akan ragu-ragu bertindak sebagaimana apa yang berlaku dalam sejarah politik Thailand. Peranan dan fungsi Angkatan Tentera negara itu agak unik dan berpengaruh.

Beban dan tugas Yingluck amat berat sedang menunggu di hadapan. Selain berusaha menyatukan kumpulan-kumpulan tertentu, mengembalikan kestabilan politik dan memulihkan keadaan ekonomi negara itu, beliau mesti berusaha memulihkan hubungannya dengan pihak tentera yang boleh mempengaruhi kedudukan kerajaan dan partinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan