Isnin, 25 Julai 2011

Harimau Malaya mesti positif


KEKALAHAN 3-5 di Singapura perlu dilupakan sementara waktu dan para pemain negara mesti positif dan fokus pada perlawanan kedua Khamis ini di Kuala Lumpur.

Apa yang positifnya dalam perlawanan itu ialah pemain kita mampu bangkit dan menjaringkan dua gol setelah ketinggalan 1-4 dalam separuh masa pertama menjadikan kedudukan 3-4 satu ketika. Tetapi gol kelima Singapura merencatkan sedikit suasana.

Harimau Malaya boleh menewaskan Singapura Khamis ini sekiranya mereka bermain bermati-matian dan mengelak dari melakukan kesilapan. Tugas dan beban pemain Harimau lebih berat jika dibandingan dengan pemain Singapura.

Singapura dengan kelebihan dua gol hanya perlu mencari satu gol awal bagi memusnahkan impian pasukan negara. Sedangkan Harimau Malaya mesti mendapatkan kelebihan dua gol dan memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Kelima gol Singapura Sabtu lalu dijaringkan oleh empat tenaga importnya, terdiri dari Alexander Duric, Qiu Li, Mustafic Fahruddin dan Shi Jiayi. Mereka semua cukup berbisa dan mempunyai saiz fizikal yang lebih besar berbanding pemain negara.

Kalau mereka berjaya membolosi gawang kita dengan dua gol, bermakna pemain negara perlu mencari empat gol dari segi aggreget. Begitulah seterusnya, semakin banyak jumlah gol dijaringkan Singapura, maka semakin bertambahlah tekanan ke atas pasukan negara.

Suasana tertekan adalah sesuatu yang perlu dielakkan kerana kini Harimau Malaya sudah pun tertekan. Bagaimanapun, tekanan itu masih berada di tahap berada dalam kawalan.

Justeru Harimau Malaya mesti positif dan fokus Khamis ini bagi menebus kekecewaan dalam perlawanan lalu. Maruah negara berada di pundak mereka. Hanya kemenangan selesa sahaja dapat mengubati luka yang tercalar itu.

Bagi K.Rajagopal, jangan terlepas pandang pemain seperti Khairul Fahmi, Amirul Hadi, Abdul Hadi Yahya serta Ashaari Samsuddin pada perlawanan Khamis ini.

Selamat berjuang. Dan menerkamlah seperti harimau !












Tiada ulasan:

Catat Ulasan