Rabu, 13 Julai 2011

Tun Musa Hitam tinggalkan Sime Darby


BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, diberitakan telah menghantar notis ingin berhenti dari jawatan sebagai Pengerusi Sime Darby hujung tahun ini. Jawatannya sebagai Pengerusi akan berakhir November ini. Sime Darby adalah sebuah konglemerat terbesar negara. Ia kecoh sekejap baru-baru ini lantaran berlakunya kelemahan pengurusan mengakibatkan kerugian dalam jumalah yang besar. Sebagai Pengerusi, banyak pihak telah memberi tekanan pada Tun Musa agar dia meletakkan jawatan ekoran terdedahnya kerugian tersebut.

Namun setelah diadakan siasatan didapati ada berlaku "salah urus" di kalangan para pengurusan dan kes ini telah pun dibawa ke mahkamah. Notis Tun Musa untuk berhenti itu akan dipertimbangkan oleh lembaga pengarah, sama ada akan diterima atau ditolak akhir tahun ini. Sekiranya mereka menolak hasrat Tun Musa, kemungkinan beliau akan meneruskan jawatan tersebut sebagai Pengerusinya.

Tun Musa Hitam telah lama bersara dari politik yang beliau ceburinya sejak zaman Tunku Abdul Rahman. Pada satu masa beliau kelihatan mempunyai potensi besar sebagai pengganti Dr.Mahathir sebagai Perdana Menteri. Barangkali rezekinya tiada dia hanya bertahan selama tiga tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri lalu meletakkan jawatan ekoran tidak bersefahaman dengan Dr.M.

Selepas dia letak jawatan, dia cuba "come back" dengan bergabung dengan Tengku Razaleigh melawan team Dr. M, tetapi gagal. Setelah berlakunya perebutan dan persaingan tersebut dalam parti, maka UMNO telah berpecah menjadi dua kumpulan; team A dan B. Sehinggalah masalah parti berlarutan sehingga UMNO diharamkan. Sebenarnya, Tun Musa mempunyai sahamnya sendiri dalam peranannya yang mengakibatkan UMNO diharamkan.

Beliaulah orang yang memainkan peranan penting mempengaruhi Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden UMNO sedangkan pada masa itu beliaulah yang mempunyai masalah dengan Dr. M bukannya Tengku Razaleigh. Semua orang tahu strategi Tun Musa ialah bersifat pisau mata dua belah. Pertama, dia ingin diskreditkan Dr. M sebagai Presiden parti. Kedua, dia tahu Tengku Razaleigh tidak akan menang melawan Dr. M.

Strategi beliau berjaya, cuma yang silapnya ialah beliau tewas di tangan Tun Ghaffar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Sekiranya dia menang menewaskan Tun Ghaffar, sudah tentu senario politik UMNO mengalami perubahan besar dan suasananya tidaklah seperti hari ini.

Bagaimanapun, semuanya telah menjadi sejarah dan Tun Musa Hitam akan tetap dikenang sebagai antara pemimpin UMNO yang banyak berjasa pada parti dan negara sepanjang beliau berkhidmat dalam kerajaan sejak dari zaman Tunku sehingga era Tun Dr. Mahathir.

Tun Musa Hitam pernah diramalkan oleh majalah TIMES sebagai salah seorang ahli politik yang pintar dan mempunyai potensi menjadi pemimpin negara. Tetapi takdir dan rezekinya setakat jadi orang nombor dua itulah.
--------------------------------------------------------------------

 .










Tiada ulasan:

Catat Ulasan