Selasa, 26 Julai 2011

Sikap "double standard" pembangkang


ISU kematian Teoh Beng Hock telah menjadi senjata ampuh pembangkang menyerang SPRM dan kerajaan dalam tempoh yang panjang. Berbagai tuduhan dan tekanan ke atas kerajaan sehingga tertubuhnya Suruhanjaya Siasatan menyiasat punca kematiannya.

Setelah kerajaan akur dengan permintaan semua pihak bagi penubuhan Suruhanjaya tersebut yang menelan belanja begitu besar, pihak pembangkang telah menolak hasil keputusan laporan Suruhanjaya tersebut begitu sahaja.

Alasan adalah mudah kerana keputusan Suruhanjaya itu yang mengesahkan bahawa Teoh Beng Hock tidak dibunuh, malah ia adalah kes bunuh diri. Keputusan ini sudah tentu tidak mengembirakan parti pembangkang, di mana sebelum ini ianya telah dimanipulasi sepenuhnya untuk menyerang kerajaan.

Pihak pembangkang telah menunjukkan sikap bahawa mereka tidak dapat menerima apa saja keputusan jika ianya tidak menyebelahi mereka. Sedangkan penubuhan Suruhanjaya tersebut adalah hasil permintaan mereka sendiri.

Jika Suruhanjaya itu ditolak, apa lagi ? Nampaknya semua perkara hendak dipolitikan.

Begitu juga dalam semua 16 pilihanraya kecil yang telah diadakan selepas PRU 12 lalu. Di mana pembangkang telah memenangi lapan kerusi dan Barisan Nasional juga menang lapan kerusi.

Bila pembangkang menang mereka akan mengatakan bahawa kemenangan itu adalah pertolongan dari "langit" dan rakyat menolak kerajaan sekarang. Tetapi bila kerajaan menang, mereka menuduh pula kerajaan guna wang dan menggunakan pengundi hantu. Dan bermacam-macam tuduhan dilemparkan.

Taktik pembangkang hanyalah untuk menghakiskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Kini institusi polis pula menjadi sasaran. Segala-galanya tidak ada yang kena.

Perkembangan ini adalah sesuatu yang tidak sihat dan merbahaya. Sekiranya tugas pihak keselamatan dan institusi perundangan sudah tidak dihormati, maka sistem demokrasi yang kita amalkan tidak akan memberi erti. Apa yang membimbangkan ialah ia boleh menimbulkan suasana anarki.

Bila situasi anarki wujud tidak ada sesiapa yang akan rasa selamat dan masing-masing akan berada dalam ketakutan dan tidak selamat.  Inikah yang menjadi matlamat pihak-pihak tertentu ?

Sesebuah negara bila berada dalam kacau bilau dan tidak stabil ianya mudah mengundang pihak-pihak luar yang berkepentingan untuk menangguk di air yang keruh dengan mencampuri urusan dalaman negara tersebut. Contoh apa yang telah berlaku di negara-negara Islam cukup banyak dan tidak perlu dihuraikan lagi.

Negara kita tanggungjawab kita. Bukan tanggungjawab "demo". Moto ini harus disematkan pada setiap anggota masyarakat kita agar negara kita akan terus aman dan stabil.

Tidak ada sesuatu paling bernilai dalam kehidupan sesebuah negara melainkan keamanan dan kestabilan. Jangan sampai nikmat itu hilang sekelip mata kerana belum tentu kita akan memperolehinya setelah ia hilang.













Tiada ulasan:

Catat Ulasan