Masih diperlukan UMNO
TENGKU Razaleigh Hamzah (Ku Li) masih menganggap beliau adalah calon pilihan jawatan Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri.
Bapa Datuk Seri Najib, Allahyarham Tun Razak adalah orang yang bertanggungjawab membawanya masuk dalam politik parti dan kerajaan dalam usianya masih muda.
Pada suatu ketika Ku Li adalah Naib Presiden UMNO paling kanan berbanding Dr.Mahathir Mohamad dari ketiga orang Naib Presiden, termasuk Allahyarham Tun Ghaffar Baba.
Ku Li sentiasa mengira bahawa Tun Razak sedang mempersiapkan dirinya sebagai pewaris kepimpinan UMNO. Tun Razak pula menganggap Ku Li sebagai putera raja dari istana tentunya dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tunku Abdul Rahman Putera AlHaj yang juga berdarah raja.
Tetapi bila Tun Razak meninggal dunia secara mengejut, penggantinya Tun Hussein Onn telah memilih Dr. Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri melangkaui kedudukan Ku Li dalam parti. Faktor Tun Hussein memilih Dr.Mahathir ialah kerana pada masa itu Ku Li masih muda.
Tiada protes dari Ku Li dengan perlantikan Dr.Mahathir sebagai TPM merangkap Timbalan Presiden parti. Kerana bagi beliau sekiranya nanti Dr. Mahathir menjadi PM, beliaulah calon utama jawatan TPM.
Namun bila Tun Hussein meletakkan jawatan dan Dr. Mahathir mengambilalih menerajui parti dan negara, beliau tidak memilih calon TPM seperti dilakukan Tun Hussein. Sebaliknya, Dr. Mahathir telah menyerahkan pada ahli-ahli UMNO menentukan melalui proses demokrasi iaitu pertandingan jawatan nombor dua parti.
Justeru itu Tun Musa Hitam, salah seorang Naib Presiden telah menawarkan dirinya bertanding menentang Ku Li untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Maka berlakulah pertandingan satu lawan satu pada tahun 1981.
Akhirnya, Ku Li tewas pada Musa Hitam dengan 200 undi. Ada beberapa faktor mempengaruhi kekalahan Ku Li. Antaranya, Dr. Mahathir secara terbuka memilih dan menyokong Tun Musa Hitam sebagai calon pilihannya. Dan kedua Ku Li gagal menonjolkan dirinya sebagai seorang tokoh ultra nasionalis melayu yang tinggi berbanding Musa Hitam di kalangan para ahli UMNO.
Bagaimanapun semuanya telah menjadi sejarah. Kini adalah era Najib Razak. Pun begitu Ku Li masih menyimpan hasrat dan harapan sebagaimana semasa Tun Razak membawanya masuk dalam parti satu masa dahulu.
Namun Ku Li tidak mempunyai apa-apa jawatan di peringkat pusat atau majlis tertinggi. Beliau hanya gah di Gua Musang; kubunya paling kental yang sukar ditembusi sesiapa. Harapan dan impiannya terlalu sukar dan penuh ranjau. Apa pun Ku Li tetap menjadi aset penting dan masih diperlukan UMNO lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihanraya umum 13 ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan