Isnin, 4 Disember 2017

Tarikh PRU Tiada Suspen Lagi

PRU14 semakin dekat dan tinggal hanya lapan bulan dari sekarang iaitu tidak melangkau bulan Ogos 2018.

Sejak 2003 selepas Dr Mahathir melepaskan jawatan PM dengan memberi laluan pada Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya pada Najib Razak pada 2009 tarikh pilihan raya umum bukan lagi menjadi satu kejutan atau suspen.

Kerana pada masa Abdullah Badawi menjadi PM, dua kali PRU diadakan pada 2004 dan 2008 ia diadakan pada tempoh penghujung tarikh matang pembubaran Parlimen. Ertinya, ia berlaku seperti hari ini di mana tinggal beberapa bulan sahaja tempoh tamat mandat.

Begitu juga Najib selepas mengambil alih jawatan daripada Pak Lah,  dia juga ikut jejak Pak Lah dengan mengadakan PRU 13 pada 2013 di saat akhir tamat tempoh mandat kerajaan.

Justeru langkah kedua mereka dalam soal tarikh PRU sudah tidak suspen dan menjadi kejutan jika dibandingkan semasa Dr Mahathir sebagai PM. Orang ramai sudah boleh meramalkan bila PRU akan diadakan. Kerana ia sudah tinggal beberapa bulan sahaja bukan tahun - tarikh tamat tempoh terbubarnya Parlimen.


Ini amat berbeza semasa zaman Dr Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun dan telah mengadakan PRU sebanyak lima kali. Dan kesemuanya kerajaan berjaya memenangi dengan majoriti dua pertiga.

Yang menariknya Dr Mahathir dalam lima kali PRU semasa dia berkuasa dia sering mengamalkan "snap election" atau pilihan raya secara mengejut.  Ia itu PRU diadakan dalam tempoh yang tidak disangka atau diramalkan oleh pihak pembangkang.

 Dan kerapkali Dr Mahathir membubarkan Parlimen setahun lebih awal dari tarikh tamat tempohnya yang sebenar. Ertinya dia sering mengadakan PRU lebih awal tidak seperti Pak Lah dan Najib yang melakukannya dipenghujung mandat atau disaat akhir.

Apa yang jelas pada masa Dr Mahathir tarikh PRU sentiasa menjadi teka teki dan suspen. Bukan seperti sekarang di mana suasana suspen itu sudah tidak ada lagi kerana orang sudah boleh ramalkan kerana ia sudah sampai penghujung tempoh beberapa bulan sahaja lagi.

Seperti sekarang orang sudah boleh agak bila PRU14 akan diadakan kerana ia hanya berbaki beberapa bulan sahaja dari tarikh akhirnya pada Ogos 2018.

Tidak ada kejutan dan suspen lagi sepertimana PRU yang telah diadakan dari tempoh 1981 sehingga 2003.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan