APA yang berlaku terkini di Kuala Lumpur insiden antara pihak polis dan orang ramai yang berhimpun anjuran Bersih akan memberi kesan terhadap kerajaan. Setakat ini beberapa pemimpin ditahan dan 120 orang ditangkap.
Atas alasan apa pun dari kedua pihak "kerosakkan" telah berlaku dan meninggalkan kesan. Bagi kerajaan ia sedikit sebanyak memberi kesan negatif pada pandangan umum. Suasananya seolah sama dengan apa yang sedang berlaku di negara-negara Arab.
Sebelum isu Bersih ini panas dan hangat banyak peramal politik menjangkakan tarikh pilihanraya umum ke 13 (PRU 13) akan diadakan akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan. Tempoh mandat kerajaan hari ini berakhir pada 2013.
Dengan perkembangan yang terbaru kemungkinan PRU 13 diadakan dalam waktu terdekat tidak mungkin akan berlaku. Datuk Seri Najib tidak mungkin sanggup mengambil risiko dengan apa yang telah berlaku.
Sekiranya kita masih ingat sebelum PRU 12 semasa Pak Lah berlaku beberapa demonstrasi dan insiden antara Hindraf dan pihak keselamatan seperti apa yang berlaku di ibu kota hari ini. Tetapi Pak Lah pada masa itu tidak mengambil kira perkembangan yang berlaku dengan membubarkan juga parlimen. Sedangkan jarak masa insiden itu berlaku dengan bubarnya parlimen tidaklah begitu jauh.
Tidak siapa dapat nafikan insiden Hindraf itu telah mempengaruhi keputusan PRU 12 yang menyaksikan kerajaan pimpinan Pak Lah hilang dua pertiga dan UMNO kehilangan banyak kerusi di parlimen.
Kini datang pula Bersih yang terus memberi tekanan pada kerajaan dan SPR. Nampaknya peranan yang dimainkan Bersih serta parti-parti pembangkang telah memberi impak yang berkesan terhadap senario politik negara.
Pihak kerajaan pula selepas ini perlu banyak "homework" yang perlu dilakukan bagi membersihkan imej yang tercalar kesan dari insiden di ibu kota tadi. Manakala pihak pembangkang akan terus menuduh dan menggambarkan bahawa kerajaan tidak telus dan adil dalam melayani segala tuntutan mereka.
Tarikh matang mandat kerajaan pada 2013 masih panjang. Barangkali, Perdana Menteri terpaksa mengikut jejak Datuk Seri Amar Taib Mahmud di Sarawak yang membubarkan DUN di penghujung tempoh mandat kerajaan negeri.
Tempoh dua tahun tidaklah begitu lama tetapi banyak perkara yang boleh dilakukan kerajaan dalam memulih dan memperbaiki imej tercalar itu. Ia bukan satu tugas yang mudah, apatah lagi dengan perkembangan teknologi media baru, seperti blog, facebook, twitter dan sebagainya.
Apapun yang berlaku hari ini golongan terbesar yang menerima kesannya ialah bangsa melayu. Pemimpin yang ditahan adalah melayu. Orang-orang awam yang ditangkap juga majoritinya bangsa melayu. Kerajaan yang ingin ditumbangkan juga adalah sebuah kerajaan yang pro melayu. Pihak keselamatan yang menjalankan tugas serta amanah mengawal keselamatan juga majoriti melayu.
Kini mereka bertempur dan mengakibatkan kecederaan dan sebagainya. Orang melayu sekarang sebenarnya berada dipersimpangan. Kebanyakkan mereka keliru. Bingung pun ada.
Kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa Angkatan Tentera Malaysia bersedia mengambil alih tugas polis sekiranya mendapat titah dari Yang di Pertuan Agong menggambarkan betapa seriusnya suhu politik kini.
Semoga tidak akan berlaku insiden lebih serius seperti hari ini pada hari-hari mendatang dan barang dijauhkan dari segala tragedi hitam terpalit sesama bangsa seperti apa yang berlaku di Timur Tengah. Orang melayu belum bersedia menghadapi senario itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan