Siapa lebih berkuasa ?
DALAM isu muzakarah dengan Umno dan beberapa isu lain jelas ada percanggahan pendapat antara Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Hadi Awang bertegas tidak ada muzakarah dengan Umno. Kalau ada dialog atau perjumpaan hanya dengan NGO atau badan bukan kerajaan.
Bagi Nik Aziz pula bersedia bermuzakarah tetapi dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi Umno dahulu.
Bagaimanapun, hari ini Nik Aziz menarik balik kenyataannya berhubung isu ini dengan alasan ingin mengikuti pendapat Hadi Awang agar tidak bercanggah dan dimanipulasi pihak lawan.
Ini bukanlah kali pertama pandangan dan pendirian kedua tokoh ini tidak sehaluan. Ketika heboh satu masa dulu berkenaan dengan usaha dalaman parti bagi mengadakan kerjasama dengan Umno yang diusahakan dan direstui Hadi Awang telah mendapat bantahan keras daripada Mursyidul Am, Nik Aziz.
Sehingga Nik Aziz memberi amaran kepada yang terlibat dalam usaha tersebut seperti bekas Timbalan Presiden parti, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Dr. Hasan Mohd Ali agar keluar parti sekiranya meneruskan usaha tersebut. Nik Aziz tidak bersetuju sama sekali PAS bekerjasama dengan Umno. Apatah lagi ia mendapat sokongan kuat dari kumpulan pro Anwar Ibrahim di dalam parti.
Tetapi serangan Nik Aziz itu tidak dituju secara terang terhadap Presiden parti tetapi hanya pada ketiga pemimpin parti tadi. Bantahan Nik Aziz berjaya dan usaha beberapa pemimpin tadi yang mendapat restu Hadi terpaksa mengalah dan melupakan sahaja usaha bekerjasama dengan Umno.
Namun beberapa minggu lalu isu muzakarah dengan Umno timbul lagi setelah Hadi Awang mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat parti. Apakah timbul kekeliruan atau pihak media tersalah tafsir dalam sidang media itu tidak dapat dipastikan. Cuma Hadi mengambil masa seminggu menjelaskan maksudnya sebenar bila ia mendapat reaksi meluas dari berbagai pihak.
Hadi menolak keras muzakarah dengan Umno dan menganggapnya sudah tutup buku. Dalam masa yang sama Nik Aziz terus berdolak dalik sambil mengenakan syarat sehinggalah dia menarik balik semua kesediaannya sebelum ini bersabit isu tersebut.
Presiden PAS adalah dipilih oleh ahli parti secara demokrasi. Manakala jawatan Mursyidul Am adalah dilantik oleh Ahli Majlis Syura. Dari segi kedudukan Mursyidul adalah lebih tinggi dari Presiden. Kadang-kadang keputusan Presiden boleh disekat oleh Mursyidul sepertimana dalam isu kerjasama dengan Umno.
Tetapi dalam isu terbaru mereka bercanggah lagi, namun kali ini Mursyidul mengambil pendirian bersama Presiden bagi menjaga keutuhan parti menjelang pilihan raya umum.
Apa pun bagi mereka yang berada di luar PAS masih tidak jelas siapa sebenarnya yang lebih berkuasa dalam parti; Mursyidul Am atau Presiden ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan