Rabu, 1 Oktober 2014

Mansor Ahmad Saman Kolumnis Era 80an Yang Popular

MANSOR Ahmad Saman atau nama penanya T.S.Lanang adalah seorang penulis dan kolumnis popular dan mempunyai ramai peminat dalam era akhir 70 an dan awal 80 an. Namanya yang sebenar ialah Mansor bin Ahmad. Tidak pasti dari mana dan apa kaitan nama Saman di hujungnya itu.

Mansor bukan sahaja seorang penulis kolum yang prolifik tetapi juga seorang cerpenis, penyair dan penulis skrip drama radio. Mansor pernah memenangi Hadiah Sastera 1976 hasil karya puisinya.
Mansor Ahmad Saman

Istimewanya Mansor ialah dia mampu menulis dalam Bahasa Inggeris dan Melayu dengan sempurna. Dia pernah berkhidmat di akhbar New Straits Times sebagai wartawan. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. Kemudian berjaya melanjutkan pengajiannya diperingkat M.A. (Komunikasi) di Universiti Minnesota, Amerika.

Setelah tamat pengajiannya dia berkhidmat sebagai pensyarah komunikasi di USM, Pulau Pinang. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan, Kajian Ilmu Kemanusiaan di universiti tersebut.

Sebagai kolumnis tulisan Mansor sering tersiar dalam akhbar mingguan The Sunday Mail, dalam kolum T.S.Lanang Corner. Dalam mingguan Utusan Zaman, tulisan Mansor muncul dengan Geletek Dari Tanjung. Dalam akhbar tabloid Bintang Timur, Mansor menulis kolum tetap Tanjung Oh Tanjung.
Gambar Mansor semasa tahun 1970an

Senarai tersebut tidak setakat itu sahaja malah Mansor menjadi kolumnis tetap majalah Dewan Masyarakat, Widya dan lain-lain lagi. Semua hasil penulisannya itu diberikan "by line" atas nama penanya T.S.Lanang.

Pada tahun 1981 majalah Dewan Masyarakat ketika dibawah Ketua Pengarangnya, Datuk Noor Azam telah memilih Mansor sebagai salah seorang penulis kolum terbaik majalah tersebut. Pemilihan tersebut dibuat berdasarkan kelancaran penggunaan bahasa dalam setiap penulisannya dan idea-ideanya yang segar dan menarik perhatian ramai pembaca.

Mansor juga berjaya menghasilkan banyak buku-buku berkenaan dengan komunikasi. Beliau juga melakukan terjemahan ke dalam bahasa Inggeris. Antaranya; "Midnight Notes" dan "Mekong River" dari hasil karya puisi-puisi Latiff Mohidin.

Dua buah buku Mansor yang paling popular adalah buku bertajuk "So You Want To Be A Journalist ?" dan "Surat T.S.Lanang Kepada Baha Zain".

Buku "So You Want To Be A Journalist ?" pada asalnya adalah buku yang diterbitkan sendiri oleh Mansor berdasarkan nota-nota kuliah yang diajarnya dibilik kuliah. Tetapi beberapa tahun kemudian ia diterbitkan semula dengan kualiti yang lebih baik oleh Pustaka Cipta.

Manakala buku "Surat T.S.Lanang Kepada Baha Zain" terbitan Media Intelek, adalah sebuah buku yang pada asalnya adalah surat panjang yang ditulis Mansor setebal 112 halaman yang ditaip langkau sebaris dari Amerika kepada sahabatnya Baha Zain di tanahair. Penerbit buku tersebut menganggap surat tersebut merupakan surat terpanjang di dunia. Justeru menarik minatnya untuk diterbitkan bagi tatapan umum.

Begitulah Mansor seorang penulis yang prolifik dan istimewa pada zamannya iaitu pada era akhir 70an dan awal 80an. Kejayaan seorang penulis disukat pada hasil karyanya. Dan Mansor begitu banyak menghasilkan penulisannya.

Tetapi nama Mansor Ahmad Saman atau T.S.Lanang tidak muncul lagi di kolum-kolum akhbar dan majalah sekarang. Ia juga tidak kelihatan di media sosial seperti blog dan sebagainya. Seolah-olah nama Mansor atau Lanang telah hilang dan lenyap begitu sahaja. Kenapa ya ?

Inilah persoalan misteri yang ingin diketahui oleh mereka yang pernah mengikuti dan menikmati hasil penulisannya sebelum ini. Amatlah sayang bagi seorang yang begitu berbakat besar dan istimewa dalam menghasilkan penulisannya baik dari segi idea dan gayanya yang menarik dan unik untuk tidak menulis lagi.

Barangkali, andainya Mansor membaca catatan ini harap-harap ia mampu membakar dan menaikkan kembali "syeh" nya untuk menulis semula. Hi..hi..hi...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan