Isnin, 4 Julai 2011

Malaysia akan berdepan Singapura

MALAYSIA mara ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia bila berjaya menyekat Taiwan dalam perlawanan semalam. Walaupun tewas 2-3 pasukan negara layak berdasarkan peraturan gol di tempat lawan setelah menang di Kuala Lumpur 2-1. Kedudukkan agregat 4-4.

Seperti kata jurulatih K.Rajagopal, walaupun kita layak ke pusingan seterusnya, beliau tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan keseluruhannya. Kita mendahului sebanyak dua kali, tapi Taiwan bangkit menyamakan kedudukkan seterusnya mengatasi kita melalui sepakan penalti.

Namun pujian harus diberikan pada semua pemain yang telah bermain dengan bersungguh-sungguh dan mempamerkan semangat juang yang tinggi. Dalam perlawanan malam tadi ia banyak mendedahkan beberapa kelemahan pasukan negara yang perlu dibaiki dan diperkemas sebelum pertemuan dengan Singapura.

Singapura boleh dikira musuh tradisi pasukan negara sejak berzaman. Setiap kali pertemuan ia tetap sengit dan menarik kerana ia melibatkan soal "maruah negara". Malaysia seakan tidak sanggup tewas ditangan pasukan republik itu. Manakala Singapura sentiasa bercita-cita mahu menumbangkan pasukan negara.

Pertemuan di Singapura pada 23 Julai ini sudah tentu mendapat tumpuan dan perhatian ramai peminat bolasepak di Asia Tenggara. Malaysia sebagai juara dalam acara bolasepak di Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki harus mempertahankan dan membuktikan meraka adalah "kuasa baru" di rantau ini dan seterusnya pada masa akan datang.

Pasukan negara mempunyai segala ramuan untuk mengatasi Singapura. Cuma Rajagopal perlu bijak mencatur dan menyediakan stail taktikal yang sesuai bagi menghadapi musuh tradisi itu.

Bagi para peminat pula masalah yang paling menakutkan ialah pengadil yang akan mengadili perlawanan itu nanti. Sebagaimana perlawanan dengan Taiwan semalam pengadil dari Vietnam kelihatan terlalu memberi kelebihan "advantage" pada pasukan tuan rumah.

Menurut Rajagopal, sepanjang kariernya dia belum pernah melihat seorang pengadil memberi tiga kali sepakan penalti pada sesebuah pasukan. Dua gol Taiwan adalah dari sepakan penalti. Dan sepakan penalti ketiga dapat diselamatkan oleh Sharbinee Allawee Ramli.

Kita berharap akan mendapat seorang pengadil yang cekap dan neutral dalam perlawanan itu nanti. Pengadil yang bagus akan merancakkan lagi suasana perlawanan dan kalau sebaliknya ia akan merencatkan momentum perlawanan.

Semoga perlawanan Malaysia-Singapura akan berlangsung dalam suasana "fair and square".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan