Rabu, 4 Oktober 2017

Bertemu Raja Nazrin Shah Di Kinokuniya

KEDAI buku adalah antara tempat paling pasti saya kunjungi bila ke sesuatu destinasi atau negeri.  Tidak berkunjung ke kedai buku ibarat seperti tidak lengkap rasanya perasaan dalam diri.

Saya boleh habiskan masa berjam-jam tanpa rasa bosan dan jemu bila berada di dalam kedai buku.  Apa lagi dalam toko buku yang serba besar dan lengkap serta selesa.

Sekiranya saya berkunjung ke Kuala Lumpur,  maka banyak pilihannya.  Kerana di ibu kota begitu banyak kedai-kedai buku yang besar dan menarik.

Tetapi yang paling saya suka dan sering berkunjung adalah di Kinokuniya, KLCC.  Setiap kali ke KL,  saya pasti tidak ketinggalan ke Kinokuniya.

Walaupun harga buku-buku di situ agak tinggi namun saya pastikan hanya memilih buku yang berkualiti isi kandungannya dan menepati selera di hati.

Dalam beberapa kali ke sana saya sungguh bernasib baik kerana pada satu ketika pada Januari 2016, saya terserempak dengan Yang Mulia Sultan Perak,  Raja Nazrin Shah. Ketika itu baginda sedang membelek-belek dan memilih buku yang terletak di rak buku.

Saya dapat lihat seorang Pegawai peribadinya sedang membawa sebuah bakul yang berisi beberapa buah buku berjalan dibelakang baginda. Sedang Raja Nazrin kelihatan memilih buku dan meletakkannya di dalam bakul tersebut.

Lantas saya memberanikan diri memberi salam padanya serta memperkenalkan diri. Baginda begitu merendah diri menjawab dan kami berjabat tangan.  Kami berbual ringkas.  Lalu saya mohon izin untuk berselfie ! Baginda tanpa melengah-lengah memanggil Pegawainya itu mendapatkan handfon ditangan saya.

Selepas bergambar saya berjabat tangan dan mengucapkan berbanyak terima kasih.  Baginda membalas dengan senyuman. Saya terus melangkah undur dan beredar.

Kemudian dari jauh saya dapat lihat seorang dalam usia 60an sedang berbual dengan Baginda.  Selepas itu dia juga turut berselfie !


Tiada ulasan:

Catat Ulasan