Isnin, 30 Mei 2011

Prof. Mohd. Noor Deris tegur Nik Aziz

PROF. Mohd. Noor Deris telah menegur Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di atas sikapnya yang sering mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu moral dan video seks yang melibatkan Penasihat PKR itu.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Nik Aziz yang menasihat pihak yang menabur fitnah terhadap Anwar agar tampil memohon maaf. Menurut Nik Aziz, orang yang membuat fitnah tidak akan merasa nikmat kubur, apatah lagi hendak masuk syurga.

Prof. Deris menganggap pendirian Nik Aziz jelas bercanggah dengan politik yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. yang diutuskan untuk menyempurnakan akhlak umat Islam.

Prof. Mohd Noor Deris ialah bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat dan kini Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan. Beliau juga adalah bekas pensyarah Universiti Malaya di Nilam Puri.

Menurut Prof. Mohd Noor lagi, kenyataan Tok Guru itu menimbulkan tanda tanya dan boleh mengelirukan umat Islam kerana jika Anwar seorang pemimpin yang berlandaskan syiar Islam, sudah tentu beliau tidak akan dikaitkan dengan mana-mana kes salah laku dan seks

Inilah kali kedua Prof. itu mengkritik Nik Aziz secara terbuka. Beberapa bulan dulu beliau juga telah menegur pendirian Nik Aziz yang mempertahankan dasar PAS untuk bekerjasama dengan DAP. Prof. Mohd Noor tidak dapat menerima pendirian tersebut dan menganggap cadangan PAS bekerjasama dengan UMNO lebih baik dan bermanfaat demi kepentingan orang melayu dan Islam.

Ekoran peristiwa itu telah berlaku cabar mencabar antara kedua tokoh agama ini. Sehingga Prof. Mohd Noor telah mencabar Nik Aziz agar berdebat secara terbuka dengannya atas isu tersebut. Pada mulanya kelihatan Nik Aziz bersetuju, tetapi bersyarat.

Tok Guru itu memberi syarat bahawa beliau sanggup berdebat dan tokoh yang akan berdebat dengannya mestilah orang yang mewakili pembuat dasar UMNO dan bukan dengan orang yang tidak mempunyai kuasa mewakili UMNO keseluruhannya. Ertinya, Tok Guru menolak pelawaan Prof. Mohd kerana beliau tidak ada kuasa dan bukan mewakili Majlis Tertinggi UMNO.

Justeru itu cabaran untuk berdebat sepi begitu sahaja. Tetapi Prof. Mohd Noor Deris telah menunjukkan kesungguhan dan keberaniannya agar debat itu dapat dilaksanakan. Baginya debat ini perlu agar masyarakat dapat menilai dan mempertimbangkan hujah-hujah yang akan disampaikan.

Sebenarnya, Prof. Mohd adalah tokoh yang layak dan berkemampuan berhadapan dengan Tok Guru Nik Aziz dalam soal berkaitan dengan agama. Latarbelakangnya dalam bidang akdemik dan agama serta pernah menganggotai Dewan Ulama PAS Pusat, meletakkannya sebagai calon yang paling sesuai dan bertaraf "heavyweight".

Menurut pemerhati, sikap Nik Aziz menolak dan memberi syarat dalam debat itu agak mengecewakan. Kerana sebelumnya Tok Guru itu sering mencabar dan mengkritik ulama UMNO dan para Mufti, termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, dalam soal-soal agama dan politik.

Sepatutnya beliau menyahut cabaran Prof. itu tanpa syarat dan tidak memandang rendah status dan kebolehannya yang juga seorang ulama. Maka terlepaslah peluang umat Islam di negara ini untuk melihat dan menilai hujah-hujah dalam debat tersebut.

Memang benar debat tidak akan menyelesaikan masalah. Tetapi sekurang-kurangnya kesanggupan dan keberanian Prof. Mohd Noor Deris berdepan dengan Tok Guru harus diberi pujian. Selama ini pihak PAS sering dengan lantang mencabar UMNO untuk berdebat dalam isu apa saja. UMNO pula sering menolak pelawaan itu dengan alasan PAS akan memutarbelitkan isu, terutama isu agama untuk kepentingannya.

Nah, sekarang sudah ada orang yang sanggup berdebat; mengapa pula menolak dan memberi pelbagai alasan ? Terima sajalah.....

Kita berharap Prof. Madya Mohd Noor Deris tidak berputus asa dan tidak terus membisu dalam soal dan isu agama yang membabitkan kepentingan orang melayu dan Islam di negara ini. Agama bukan milik individu tertentu, malah bukan milik para Ayatollah dan Mullah !

Sikap keberanian dan keikhlasannya mencari kebenaran harus dipuji dan diteladani.

.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan