Isnin, 23 Mei 2011

Iraq terus bermandi dengan darah

SEJAK pencerobohan tentera Amerika dan sekutunya terhadap Iraq dan matinya Saddam Hussein di tali gantung, negara itu terus berada dalam suasana tidak aman dan menakutkan. Gegaran letupan bom berlaku saban hari tanpa henti. Banyak jiwa yang tidak berdosa terkorban.

Negara hampir musnah sama sekali. Kehidupan rakyat semakin susah dan memeritkan. Kehadiran tentera Amerika dan sekutunya atas alasan menjaga keamanan menjadi omong kosong. Permusuhan sesama sendiri antara puak Sunnah dan Syiah telah memburukkan lagi keadaan.

Iraq kini menjadi padang jarak padang terkukur.Semasa pemerintahan Saddam Hussein, Iraq adalah sebuah negara yang kuat dan aman. Walaupun Saddam adalah seorang diktaktor dan kejam semasa pemerintahannya, namun beliau telah berjaya menstabilkan negaranya dan kehidupan rakyat tidaklah perit seperti hari ini.

Setelah Saddam ditumbangkan kebanyakan rakyat mengharap sinar baru akan menjelma. Sedangkan malapetaka pula yang menimpa. Tentera asing menambahkan lagi kesengsaraan kehidupan rakyat Iraq. Seolah-olah tentera bersekutu di kepalai Amerika ingin menjadikan Iraq sebagai medan perang dan uji senjata untuk kepentingan mereka.

Walaupun beberapa pilihanraya diadakan sebagai memenuhi amalan demokrasi yang tidak pernah dirasai penduduk Iraq semasa Saddam, ianya tidak juga dapat menyelesaikan puak-puak yang bertelagah. Pilihanraya yang dijalankan bagaikan sesuatu yang sia-sia, malah memecahbelahkan lagi puak-puak yang tidak dapat menerima keputusannya.

Sedangkan proses pilihanraya adalah sesuatu yang disanjung oleh Amerika.  Amerika sering menuntut agar sistem demokrasi itu dijalankan di negara-negara Islam. Tetapi sistem demokrasi itu tidak juga dapat mententeram dan menstabilkan Iraq - negara yang dicerobohnya.

Amerika tidak sanggup keluar dari bumi Iraq dan Obama semasa kempen pilihanraya Presiden telah berjanji akan menarik keluar tentera Amerika dari bumi Iraq sekiranya beliau menjadi Presiden. Namun semuanya tinggal janji-janji kosong. Obama telah mengingkari janjinya.

Ke manakah haluan dan arah tuju Iraq dalam masa mendatang ? Negara hampir musnah dan rakyat tidak lagi dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Sungguh malang sebagai sebuah negara pengekspot minyak kedua terbesar di dunia, tetapi rakyatnya hidup dalam derita dan sengsara.

Kita perlu mengambil pengajaran dan iktibar dari masalah yang menimpa Iraq agar ianya tidak berlaku di negara kita. Kita mestilah menghargai dan bersyukur bahawa kita berada dalam aman sejahtera. Sekiranya kita berpecah belah sesama sendiri bukan mustahil suatu hari kita akan menerima nasib yang sama.

Renungkanlah.  .  

Nota: Sila lihat berita tajuk," Baghdad digegar letupan bom",
          Utusan Malaysia, 23 Mei,2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan