Jumaat, 20 Mei 2011

Sdr. Azizi Abdullah semoga cepat sembuh

DALAM Berita Harian hari ini, 20 Mei 2011, dilaporkan sasterawan terkenal, Azizi Abdullah, terlantar sakit di wad ICU, Hospital Pulau Pinang sejak dua minggu lalu kerana sakit jantung. Menurut berita itu lagi, Azizi baru saja menjalani pembedahan jantung sebelum mengalami masalah jangkitan kuman dan sejak empat hari lalu tidak sedarkan diri sehingga tengkuknya terpaksa ditebuk bagi membolehkannnya bernafas.

Novelnya, "Seorang Tua di Kaki Gunung" pernah dijadikan teks wajib pelajar Tingkatan Lima. Beliau selain banyak menghasilkan novel, juga menulis karya cerpen serta rencana di akhbar dan majalah. Kolumnya sering tersiar secara mingguan dalam akhbar Harakah. Dalam kolum tersebut beliau banyak mengulas tentang isu-isu semasa berkaitan dengan politik dan agama.

Begitulah Azizi, beliau boleh menulis dalam semua genre. Dan tulisannya bercorak analisis dan kritikal. Fikiran dan ideanya cukup jelas, terang dan berani mencakupi semua isu. Dalam blognya akhir-akhir ini beliau merungut kerana tidak mempunyai ruang untuk mengisinya lantaran berada di hospital sejak April lalu. Beliau juga ada memohon maaf kepada pengikut dan kawan-kawannya serta meluahkan perasaan "gerun" bila berada di bilik bedah nanti.

Saya adalah salah seorang yang meminati tulisannya, berdoa agar sdr.Azizi cepat sembuh dan dapat meneruskan kerja-kerja penulisannya. Dalam usia 69 tahun, boleh dianggap masih mempunyai baki-baki usia yang berharga bagi menyambung penulisannya yang belum selesai.

Insya Allah, berkat doa keluarga dan rakan-rakan segala permohonan akan diperkenan oleh Allah s.w.t.
Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan