Khamis, 19 Mei 2011

Antara Mahathir, Suharto dan Lee Kuan Yew

DALAM akhbar beberapa hari yang lalu melaporkan berita tentang dua tokoh pemimpin yang disegani dan kontroversi  di rantau Asia Tenggara. Seorang memimpin sebuah negara seluas sekangkang kera dan seorang lagi mentadbir sebuah negara yang diliputi beribu pulau serta penduduknya hampir 250 juta.

Lee Kuan Yew, pengasas Singapura, telah menyatakan hasratnya berundur dari kerajaan dan kabinet selepas negara itu selesai mengadakan pilihanraya yang menyaksikan pertambahan undi kepada pembangkang. PAP masih terus berkuasa dengan penurunan peratus undi yang diperolehi sebelumnya.

Pihak pembangkang pula sebelum ini begitu perit sekali untuk menang sekalipun untuk satu kerusi. Tetapi kali ini mereka berjaya memenangi enam dari 87 kerusi yang ditandingi.

Langkah Lee Kuan Yew berundur dari kabinet menurut pemerhati politik sebagai respon dan petunjuk hasil keputusan rakyat Singapura membuat pilihan. Lee begitu kecewa dengan keputusan pilihanraya tersebut yang memperlihatkan rakyat pulau itu inginkan perubahan dan pembaharuan.

Sebelum pilihanraya beliau berkali-kali memberi ingatan kepada rakyatnya agar tidak lupa asal usul Singapura dan betapa peritnya membangun pulau itu seperti yang ada hari ini. Beliau juga pernah memberi amaran betapa Singapura dikelilingi "musuh-musuh" yang senantiasa ingin "mematikannya". Justeru itu Lee mengharapkan agar rakyat Singapura bersatu. Dengan kata lain, rakyat Singapura mesti bersatu di belakang PAP.

Apapun rakyat Singapura telah membuat pilihan. Bagaimanapun, jasa Lee Kuan Yew, sebagai akitek dan teknokrat dalam membangun Singapura dari pulau yang tidak mempunyai apa-apa sumber asli menjadikan sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing di dunia.

Tetapi Lee jangan lupa, kejayaan dan pembangunan Singapura kini disebabkan faktor-faktor kestabilan dan kerjasama jiran-jirannya terutama Malaysia dan Indonesia. Tanpa kedua jiran ini Singapura tidak mungkin mencapai kedudukkan seperti hari ini.

Langkah Dr. Mahathir memajukan dan mempertingkat keupayaan pelabuhan-pelabuhan seperti Tanjung Pelepas, Pelabuhan Kelang dan lain-lain di sambut dengan perasaan curiga oleh Lee. Sedangkan tindakan Dr. Mahathir masa itu adalah "hak" sebagai pemimpin memajukan negaranya dan tidak bergantung pada Singapura. Bayangkan dari zaman Tunku hingga Hussein Onn, Malaysia terus bergantung pada Singapura dalam urusan perdagangan luar.

Lee Kuan Yew pernah merungut bahawa Dr. Mahathir adalah seorang "very tough" dalam setiap rundingan yang disertainya. Lee juga pernah melahirkan penyesalannya mengapa beliau tidak berfikir lebih dahulu dari Dr. Mahathir tentang projek Formula One yang telah mengangkat martabat Malaysia dalam sukan permotoran antarabangsa. Ternyata 10 tahun kemudian Singapura telah mengikut jejak Malaysia menganjurkan acara lumba kereta bertaraf dunia itu.

Lee dan Mahathir sebenarnya berada dalam kelasnya yang tersendiri. Dan mereka sering balas membalas sindiran dan kritikan dalam soal-soal politik dalaman dan antarabangsa.

Berlainan pula dengan Suharto. Beliau bukan seorang ahli politik atau pemidato yang hebat. Tetapi sepanjang 30 tahun berkuasa beliau telah meletakkan Indonesia sebagai sebuah negara yang kuat dan disegani. Walaupun semasa pemerintahannya masalah rasuah sering menghantui kerajaannya.

Semasa Suharto, wilayah Timur Timor berada dalam penguasaanya. Tetapi bila beliau jatuh dan diganti dengan B.J.Habibie, pihak antarabangsa mulai mengadakan tekanan agar wilayah itu dibebaskan melalui kutipan suara. Ternyata Habibie tidak sekuat Suharto dan mengalah pada tekanan  terutama dari negara barat. Sedangkan, zaman Suharto, Timor Timur yang kini dikenali sebagai Timor Letse, berada dalam genggaman Indonesia.

Suharto juga banyak berjasa pada Malaysia. Semasa beliau menjadi Presiden hubungan Malaysia dan Indonesia begitu akrab ibarat "cubit peha kanan, peha kiri akan terasa sakit". Bukan macam sekarang, hubungan kedua negara bagaikan "api dalam sekam".

Suharto juga adalah orang yang bertanggungjawab menamatkan konfrontasi Malaysia-Indonesia. Beliau dibantu dengan Adam Malik telah bertemu dengan Tun Razak menamatkan episod yang sia-sia dan terus membina hubungan dua bangsa serumpun ke arah jalan aman dan harmonis.

Dan berita terbaru melaporkan bahawa Suharto adalah Presiden Indonesia yang paling popular di kalangan rakyatnya jika dibandingkan dengan Presiden yang dahulu atau sekarang. Walaupun pemerintahannya diselubungi dengan masalah rasuah, Suharto telah berjaya meletakkan Indonesia sebagai sebuah negara yang kuat dan di segani pihak lawan dan kawan.


Mahathir, Suharto dan Kuan Yew telah berjasa pada bangsanya dan mempunyai stail kepimpinannya tersendiri. Mereka tetap akan berada dalam lipatan sejarah.




.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan