Baik filem komedi atau serius ia tetap relevan dan "evergreen" hingga kini, malah mungkin sehingga menjelang 2060 !
Allahyarham P.Ramlee |
Kalaulah insan seni ini berada di Hollywood, mungkin berapa banyakkah nilai harta dan royalti yang diperolehi hasil dari karya-karyanya ? Tapi P.Ramlee seorang seniman yang menjalani kehidupan hari-hari terakhir hayatnya dalam penuh duka dan terhimpit.
Bayangkan Allahyarham terpaksa melakukan kerja seperti menyanyi di kelab-kelab malam dan majlis-majlis perkahwinan hanya untuk menampung kos kehidupannya. Dan yang paling menyayatkan hatinya ialah tiada siapa yang sanggup membantunya mendapatkan dana untuk menghasilkan filem berwarna pertama di bawah arahannya.
Semua orang tahu beliau bukanlah seorang yang kedekut. Sifat pemurahnya dapat dilihat melalui sikapnya yang suka menolong dan mencurah segala ilmu kepada pelakon-pelakon lain yang baru menempa nama. Seniman Tan Sri Jins Shamsudin adalah salah seorang hasil "produk"nya.
P.Ramlee juga tidak sunyi dimusuhi dan dicemburui oleh rakan-rakannya dalam bidang seni. Tapi beliau tidak pernah menyimpan perasaan dendam. Misalnya, pada suatu ketika beliau tidak begitu disenangi oleh seniman S.Kadarisman, tapi itu tidak pernah menghalangnya untuk terus mengambil Kadarisman berlakon dalam filem-filemnya.
Dan yang paling menarik sepanjang kariernya, beliau boleh dikatakan telah berlakon bersama dengan hampir semua pelakon terkenal seperti Ahmad Mahmud, Nordin Ahmad, S.Roomai Nor, Jins Shamsudin, Mustapa Maarof dan lain-lain. Cuma saya tidak pasti adakah beliau pernah berlakon dan bergandingan dengan M.Amin dan Aziz Jaafar ?
Kehebatan filem-filem arahannya di studio Jalan Ampas, Singapura, seperti Seniman Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Semerah Padi, Madu Tiga dan seumpamanya tidak dapat dinafikan mempunyai kualiti dari segi skrip dan pengarahannya.
Tetapi setelah Studio Jalan Ampas ditutup dan P.Ramlee telah berhijrah kembali ke Kuala Lumpur di Studio Merdeka, Ulu Kelang, kita dapat lihat kebanyakan filem arahannya sudah tidak dapat menandingi kualiti dan mutu filem-filem arahannya semasa di Singapura.
Filem seperti DO RE MI, Enam Jahanam, Dr. Rusdi dan lain-lain yang dihasilkan di Merdeka Studio, terlalu teruk penghasilan seninya, baik skrip dan jalan cerita. Jurang filem di Jalan Ampas dan di Kuala Lumpur begitu jauh perbezaannya dari seluruh aspek filem.
Maka timbul persoalan mengapa terjadi demikian ?
Apakah P.Ramlee telah hilang sentuhan seni kreatifnya bila kembali ke Kuala Lumpur ? Atau ada faktor-faktor lain yang masih menjadi rahsia dalam dunia seni ?
Adalah menjadi tanggungjawab para karyawan, ahli akademik, mahasiswa dalam bidang seni untuk membuat kajian selidik sebagai bahan ilmiah bagi mencari punca dan sebabnya. Ianya sudah tentu akan menjadi bahan tesis yang cukup menarik untuk dijadikan iktibar pada generasi akan datang.
Walau apapun hasil kajian tersebut, kehebatan P.Ramlee sebagai insan teristimewa tidak mudah tergugat. Malah hingga kini setelah 38 tahun dia pergi, tiada pengganti.
Memang benar seperti kata pepatah, harimau mati tinggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Terkenang lagu, "Di mana ku cari ganti."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan