DATUK Seri Anwar Ibrahim di perintah mahkamah membela diri dalam kes liwatnya. Hakim berpandangan ada kes prima facie terhadapnya.
Dalam pembelaannya nanti akan muncul banyak lagi cerita-cerita sensasi melibatkan penuduh dengan tertuduh. Berbagai bukti dan dalil akan dikemukakan sebagai hujah kedua belah pihak.
Kes liwat dan video seks ini cukup mengelirukan dan membingungkan seluruh lapisan masyarakat. Siapa sebenarnya berbohong ? Siapa pula yang bercakap benar ?
Sekurang-kurangnya sudah ada dua kelompok masyarakat berpegang teguh dengan pegangan masing-masing. Satu kelompok tetap berpegang bahawa semua ini adalah fitnah dan konspirasi politik. Dan satu lagi menerimanya sebagai kisah benar.
Kes ini amat berat implikasinya, bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga mangsa dan pelapornya. Dalam kes ini, pihak yang membuat tuduhan begitu berani, malah membuat cabaran secara terbuka. Sumpah laknat dan sembahyang hajat antara dua pihak sudah menjadi perkara biasa.
Lebih kalut lagi, ada ulamak berpendapat sumpah laknat tidak perlu dan tidak ada dalam Islam. Manakala ada mufti dan bekas mufti menyarankan agar tertuduh bersumpah sebagai menangkis segala tuduhan sekiranya ia tidak benar.
Nampaknya dalam kes ini, respon atau reaksi si kena tuduh agak kurang. Para penuduh pula begitu berani dan agresif. Apakah semua ini konspirasi politik ? Atau ada asas kebenarannya?
Manusia perlu berfikir secara logik dan rasional. Tidak boleh terlalu taksub pada sesuatu sehingga tidak dapat membezakan antara kepalsuan dan kebenaran. Antara kaca dan permata.
Satu perkara yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa, kebanyakan ahli politik bercakap bohong dan pendusta. Hatta yang berkopiah putih !
Akhirnya, pengikut menjadi mangsa lantaran ketaatan dan ketaksuban kepada pemimpin. Pemimpin pula dengan ketokohan dan penampilan yang memikat mampu saja mengheret para pengikut menurut tarian yang dimainkan.
Sepandai tupai melompat, akhirnya jatuh jua. Kebenaran tetap akan terserlah, lambat laun, sedikit demi sedikit dengan perlahan-lahan.
Bila tiba masanya akan ada nanti manusia yang meraung, memukul-mukul kepalanya serta menangis kerana harus menerima kenyataan yang begitu pahit untuk ditelan. Sesuatu yang tidak terlintas di fikiran.
Kebenaran pasti mengatasi kepalsuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan