KELANTAN menewaskan Felda United 3-1 semalam di Stadium Cheras dan melonjak kedudukkannya di tangga teratas Liga buat kali kedua dengan memintas Selangor. Prestasi The Red Warriors kini semakin meningkat dan mereka akan bertemu Trengganu di perlawanan akhir Piala FA Jun ini.
Sebagai anak Kelantan, saya begitu teruja dengan pencapaian pasukan ini. Para penyokong pun begitu hebat dan berjaya menimbulkan suasana hangat dan meriah. Ini sudah tentu memberi petanda yang baik pada perkembangan bolasepak tanahair yang sebelumnya begitu dingin sambutannya.
Stadium Sultan Mohamed ke 4 adalah satu-satunya venue di penuhi para penonton memenuhi setiap ruang stadium setiap kali perlawanan diadakan. Tidak pernah stadium itu kosong berbanding di tempat-tempat yang lain. Kapasiti stadium ini mampu menampung penonton 30,000 orang.
Dengan perkembangan terbaru ia seolah-olah tidak mampu lagi menampung para penonton yang semakin meningkat. Lebih-lebih lagi di Kelantan, semakin pasukannya bermain dengan baik, maka penonton pun akan semakin bertambah.
Pihak penaja juga semakin banyak dan sama-sama memainkan peranan dalam memaju dan menghangatkan lagi suasana pertandingan.
Saya sebelum ini tidak berapa ambil tahu sangat nama-nama pemain Kelantan, kecuali Khairul Fahmi dan Norshahrul Idlan Talaha. Tetapi kini saya boleh ingat satu persatu kesebelasan utamanya. Ini semua kerana suasana pertandingan telah menarik minat yang telah "mati" begitu lama.
Kelantan sejak dulu lagi adalah satu-satunya pasukan yang gemar bermain pantas dan jersi pasukan kekal serba merah. Tetapi sejak kebelakangan ini jersi bergilir antara serba merah atau serba putih. Cuma bila saya lihat Kelantan turun padang dengan serba putih, ia kelihatan lebih menarik dan kemas.
Saya berharap bila Kelantan bermain dengan jersi putih, secara psikologinya mereka mestilah menganggap mereka adalah pasukan "Real Madrid". Justeru itu mereka juga mestilah bermain seperti ala Real dan tidak memandang terlalu tinggi terhadap pihak lawan. Mereka kena bermain seperti 'Juara" dan mempunyai keyakinan yang tinggi.
Bila mereka serba merah, mereka mestilah menganggap mereka adalah team Barcelona yang terkenal dengan corak menyerang dan pantas. Dengan perasaan psikologi ini di semai dalam jiwa setiap pemain, Kelantan akan lebih menyengat dan kental.
Pertemuan dengan Trengganu dalam final Piala FA bulan depan menjanjikan satu perlawanan yang menarik. Kelantan dan Trengganu merupakan musuh tradisi dalam arena bolasepak. Setiap kali bertemu sentiasa sengit, tidak kurang menimbulkan insiden dan kontroversi.
Apa yang menarik tentang kedua pasukan ini ialah penyerang Kelantan, Norshahrul adalah anak kelahiran Trengganu. Manakala jurulatih Trengganu, Irfan Bakti, adalah anak jati Kelantan. Satu pertembungan di antara kesetiaan pada majikan dan perasaan kenegerian.
Namun, kedua mereka adalah profesional dan sudah tentu semangat kenegerian tidak ada dalam kamus hidup mereka. Norshahrul tetap bercita-cita menjadi penjaring gol terbanyak dan Irfan pula mahu membuktikan bahawa beliau adalah salah seorang jurulatih terbaik negara.. ,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan