Selasa, 31 Mei 2011

Kenaikan tarif elektrik

KERAJAAN telah mengumumkan bahawa tarif baru elektrik akan bermula esok. Struktur tarif baru elektrik ini secara keseluruhannya tidak akan membebankan sebahagian besar pengguna. Kerana sebanyak 75 peratus pengguna domestik tidak akan merasa kesannya lantaran penggunaan elektrik adalah di bawah 300 kilowatt sejam.

Tetapi bagi mereka yang menggunakan lebih 301 kwj sebulan  dan ke atas, terpaksa mereka mengambil langkah-langkah berjimat. Ini melibatkan syarikat, kilang-kilang besar dan mereka yang berkemampuan.

Keputusan kerajaan ini adalah sesuatu yang tidak popular, lebih-lebih lagi suhu pilihanraya umum semakin panas. Ia diambil berdasarkan realiti dan suasana global hari ini. Langkah kerajaan ini juga membuktikan ia membuat sesuatu bukan hanya mahu popular, malah sanggup menghadapi kenyataan dari langkah yang diambil.

Bukan seperti pembangkang yang sanggup berjanji dengan janji-janji manis sehingga tidak mampu untuk memenuhinya. Seperti contoh baru-baru ini Penasihat PKR telah berjanji akan memberi berbagai insentif dan pelepasan sekiranya dapat menawan Putrajaya. Pemansuhan kutipan tol di lebuhraya adalah salah satunya.

Timbul persoalan dari mana sumber dan dana yang akan diambil bagi melaksanakan segala janji-janji tersebut ? Mengurus kewangan negara memerlukan kecekapan dan akauntabiliti. Sekiranya salah urus negara boleh bangkrap seperti yang berlaku di Greece dan beberapa negara Eropah yang lain.

Kebergantungan kekayaan Petronas bukanlah satu langkah yang bijak. Kerana negara tidak mungkin terus mengharap dari sumber minyak selama-lamanya. Hasil minyak Petronas pada satu masa akan berkurangan. Justeru itu kekayaan yang diperolehi hasil minyak perlu diurus secara jimat dan cekap.

Ekoran kenaikan tarif elektrik ini kita berharap kerajaan akan menyemak dan menilai semula perjanjian  dengan penjana tenaga bebas (IPP) kerana didapati setiap kali kenaikan tarif elektrik mereka tidak menanggung beban apa-apa melainkan TNB sahaja yang terpaksa menanggung kosnya..

Nampaknya, IPP sebagai sebuah konglomerat hanya mahu mengambil keuntungan sahaja. Mereka sepatutnya berkongsi beban dengan TNB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan