LEBIH kurang 20 tahun dulu semasa saya berada di Kuala Lumpur bekerja sebagai wartawan sambilan di akhbar Mingguan Islam, di bawah pimpinan Mohd Sayuti Omar (MS0), seorang penulis politik dan blogger terkenal, saya sempat hadir dan mendengar ceramah pemimpin DAP, Lim Kit Siang, di sebuah hotel terkenal ibukota.
Semasa di Kuala Lumpur saya menumpang di rumah MSO yang terletak di Wangsa Maju. Kami berdua menaiki kereta dan kadang-kadang menaiki bas ke pejabat. Banyak pengalaman suka dan duka bersama MSO masa itu saya simpan. Saya akan cerita dalam catatan yang lain.
Biasanya selepas waktu pejabat kami akan terus pulang ke rumah. Tetapi pada suatu petang, saya mendapat berita ada satu ceramah politik akan diadakan sebelah malam di Federal Hotel. Saya buat keputusan untuk ke sana manakala MSO tidak dapat bersama kerana mempunyai komitmen lain. Jadi saya pun pergi sendirian.
Bila saya sampai di situ orang penuh di bahagian lobby. Saya memberanikan diri memasuki dewan ceramah. Ramai yang hadir berbangsa Cina. Ada beberapa kerat melayu termasuk saya , hanya saling memandang tanpa bercakap hatta tersenyum. Barangkali, dalam hati masing-masing tertanya-tanya gerangan apa kehadiran kami di situ? Ahli DAP atau seorang pemberita?
Di muka pintu dewan kami diberikan satu risalah parti dalam pelbagai bahasa. Ketika saya mula masuk dewan, saya lihat dewan penuh sesak dan ketika itu Tan Sri Lee Lam Thye, Setiausaha Agung DAP sedang berucap dalam bahasa Inggeris. Saya berada di barisan belakang dan saya nampak ramai tokoh DAP berada di atas pentas.
Tiba-tiba dalam dewan kecoh dan bising dan semua orang bangun serta bertepuk tangan. Mula-mula saya tidak pasti apa yang berlaku. Setelah beberapa minit, barulah saya sedar dan nampak yang Lim Kit Siang, baru tiba sambil melambai-lambai tangannya pada para penyokong. Lee Lam Thye, yang sedang berucap pada masa itu terpaksa berhenti ucapannya sementara.
Selepas Lim Kit Siang, mengambil tempatnya di atas pentas, Lee Lam Thye menyambung balik ucapannya tadi. Tanpa mengambil masa yang panjang, Lam Thye, terus menjemput Kit Siang untuk membuat ucapan.
Lim Kit Siang, telah membuat ucapan pembukaannya dalam bahasa Cina. Nadanya cukup berapi dengan suara yang tinggi membuatkan yang hadir bersorak dan bertepuk tanpa henti. Saya tidak faham apa yang dicakapkan oleh Kit Siang. Tetapi mujurlah selang beberapa ketika beliau telah berucap dalam bahasa Inggeris pula. Saya bukan mahir sangat bahasa tersebut, tetapi saya dapat memahami dengan jelas apa yang beliau sampaikan.
Kebetulan masa itu UMNO sedang menghadapi perpecahan antara team A dan B. Team A diterajui Dr. Mahathir dan Ghaffar Baba, manakala team B, Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam.
Antara ucapan Kit Siang, yang saya masih ingat, beliau mengatakan beliau tidak peduli Team A atau B. Baginya apa yang penting dan prioriti utama ialah DAP akan memerintah negara ini. Saya petik perkataannya dalam bahasa Inggeris, "We don't care, as long DAP rule the country".
Kini poltik semasa pertembungan antara UMNO dan PAS semakin tajam. Team A dan B sudah selesai. Apakah impian Lim Kit Siang dan DAP telah lenyap begitu saja? Atau inilah agendanya pada masa mendatang?
Renung-renunglah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan