Jumaat, 27 Mei 2011

Pilihanraya DUN berasingan ?

TAJUK berita, "Pembangkang tak sekata bubar DUN", Berita Harian, 27 Mei, 2011, melaporkan pemimpin kerajaan negeri pembangkang berbeza pendapat dalam isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri masing-masing jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 diadakan tahun ini.

Menurut berita itu lagi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyatakan bahawa empat negeri dikuasai pembangkang tidak akan membubarkan DUN masing-masing sekiranya parlimen dibubarkan bagi memberi laluan PRU ke 13. Beliau berkata kerajaan negeri pimpinan pembangkang berhasrat memenuhi tempoh mandat yang diberikan rakyat pada pilihanraya yang lalu.

Kenyataan beliau ini disokong Setiausaha Politik Menteri Besar, Selangor, Faekah Husin dan Pengerusi DAP, Pulau Pinang, bagi memastikan segala janji PRU 12 dapat ditunaikan dan tidak melanggar peruntukkan undang-undang dan Enakmen Negeri.

Manakala Menteri Besar, Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Bagi Tok Guru sekiranya pilihanraya DUN dijalankan berasingan, maka banyaklah "hantu" dan "pelesit" serang Kelantan. MB Kedah Datuk Azizan Razak pula tidak diperolehi sebarang komen.

Pihak SPR baru-baru ini telah pun memberi amaran sekiranya hasrat pihak pembangkang dilaksanakan ianya akan mengambil kos yang tinggi dan menyulitkan banyak pihak serta membabitkan pembaziran wang rakyat.

Apapun jelas dalam isu ini DAP, PKR di satu pihak dan PAS tidak sepakat. Banyak pemerhati politik bertanya dalam Pakatan Rakyat siapa yang lebih dominan dan berpengaruh ? Dan siapa yang menjadi penghulunya ?

Inilah persoalan yang cukup penting diketahui rakyat. Kerana mereka telah pun berpakat untuk mengambilalih kerajaan pusat dan menuju ke Putrajaya. Sekiranya ini terlaksana, bagaimana agaknya kerajaan yang akan ditubuhkan nanti.

Dalam konteks ini kita tidak jelas, mampukah PAS menjadi tulang belakang pada Pakatan Rakyat ? Atau ia akan hanya menjadi "penumpang" ?

Jika PAS berhasrat mengganti UMNO, ia harus buktikan pada rakyat sekurang-kurangnya ia mampu lakukan sebagaimana UMNO yang lebih berkuasa dan dominan dalam Barisan Nasional. UMNO telah buktikan ia berjaya memainkan peranan utama dan berpengaruh dalam Barisan Nasional dan kerajaan.

Majoriti orang melayu kini bukan mahu lihat siapa lebih Islam dan tidak Islam. Tetapi apakah PAS benar-benar mampu menjadi payung dan pelindung kepada orang-orang melayu di negara ini. Setakat ini peranan dan pengaruh PAS dalam Pakatan Rakyat tidak jelas.

PAS hanya kelihatan kuat di Kelantan, di mana orang melayu menjadi majoritinya. Di tempat-tempat lain, khususnya kawasan majoriti bukan melayu, PAS hanya menjadi alat sokongan pada DAP dan PKR. DAP adalah parti cauvinis Cina dan PKR pula sebuah parti "pluralisme"- jawatan-jawatan penting dipegang oleh bukan melayu.

Keputusan pilihanraya Sarawak yang lalu boleh dijadikan bukti. PAS hanya mampu bertanding lima kerusi dan tewas kesemuanya. Manakala DAP menang 12 kerusi - satu kejayaan besar buat parti itu. Tahniah buat DAP dan PAS kerana telah berjaya memenangi kerusi di kawasan majoriti Cina dari tangan Barisan Nasional.

DAP perlukan PAS bagi melemahkan kuasa UMNO. Sehingga kini langkah ini telah berjaya. Apakah pula habuan untuk PAS diatas kerjasamanya dengan DAP ? Sebuah negara Islam ?

Sikap dan pendirian segelintir para pemimpin PAS untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO dan ditentang hebat dari segolongan saf pimpinan itu menunjukkan bahawa UMNO tidaklah seburuk dan sejahat yang digambarkan.

Kerana pemimpin PAS yang menyambut cadangan kerjasama dan kerajaan perpaduan ini adalah bertaraf ulamak, berkopiah dan berjubah.










.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan