DATUK Seri Najib Tun Razak ketika membuat ucapan di Trengganu kelmarin telah menasihatkan pada kaum Cina di negara ini agar membuat pilihan yang bijak demi masa depan mereka.
Mereka mesti membuat pilihan sama ada mengundi kerajaan atau pembangkang? Ini adalah ekoran dari kenyataan Presiden MCA, Datuk Dr. Chua Soi Lek, bahawa MCA tidak akan berada dalam kabinet atau negeri sekiranya ia tidak mendapat sokongan dari kaum Cina.
Kaum Cina tidak boleh menyokong pembangkang, tetapi dalam masa yang sama mahu penyertaan wakil mereka dalam kerajaan. Mereka tidak mungkin memperolehi keduanya.
Kaum Cina mesti buat pilihan. Kerajaan telah banyak membantu orang-orang Cina di negara ini dengan berbagai dasar yang dijalankan termasuk bidang pendidikkan, ekonomi, budaya dan sebagainya. Walaupun kerajaan pada hari ini adalah sebuah kerajaan yang pro bumiputera, namun kaum-kaum lain tetap dilindungi dan dilayan sama rata.
Mereka seharusnya melihat dan membuat perbandingan kehidupan kaum Cina di Indonesia, misalnya. Di sana kaum Cina telah mengalami suatu proses asmilisasi, di mana identiti mereka sebagai satu bangsa hampir hilang. Sebutan nama dan paras rupa beransur-ansur bertukar menjadi satu bangsa Indonesia.
Di Malaysia kaum Cina tetap dengan identitinya . Malah ada yang tidak tahu pun berbahasa Malaysia. Tetapi mereka tetap dilayan sebagai warganegara. Sekolah Cina masih wujud, budaya mereka bebas diamalkan tanpa apa-apa gangguan dari mana-mana pihak.
Orang-orang Cina patut berterima kasih pada kerajaan. Barangkali, ada beberapa perkara yang tidak memuaskan hati mereka. Tetapi kita perlu ingat tidak ada satu bangsa pun di negara ini yang berpuas hati dengan kerajaan termasuklah orang-orang melayu yang populasinya lebih 60 peratus di negara ini.
Orang Cina tidak boleh terus dipengaruhi oleh DAP yang sentiasa memainkan isu-isu perkauman yang boleh membawa padah pada negara seluruhnya. Orang Cina cukup arif yang DAP tidak mungkin dapat memerintah negara ini tanpa sokongan dari orang-orang melayu.
Dan majoriti melayu tidak menyokong DAP. Jalan paling selamat bagi kaum Cina ialah memastikan mereka tetap ada suara atau wakil dalam kerajaan untuk menyuarakan segala permasalahan yang melibatkan kepentingan mereka.
Kita percaya mereka tidak akan memperjudikan nasib masa depan mereka dengan terus berada di dalam kerajaan agar usaha kerajaan untuk membina satu bangsa Malaysia akan tercapai.
Peristiwa 13 Mei seharusnya menjadi iktibar dan pengajaran berguna . Menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan peristiwa hitam itu tidak berulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan