Sabtu, 28 Mei 2011

Barisan Impian - The Dream Team

ANDAIKATA saya boleh menentukan saf pimpinan PAS selepas Muktamar parti 3-5 Jun ini; barangkali begini senarai kepimpinannya. Barisan ini disebut sebagai pasukan impian atau The Dream Team.

Presiden :    Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Timbalan Presiden: Nasharuddin Mat Isa atau Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib-Naib Presiden: Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Kedudukkan Presiden tidak perlu dipertikai lagi kerana beliau telah menang tanpa bertanding. Bagi jawatan Timbalan Presiden, saya letak dua nama disitu kerana keduanya adalah dari golongan ulama. Sama ada Nasharuddin atau Tuan Ibrahim terpilih ia adalah satu kemenangan pada ulama. Ertinya, salah seorang mesti menang mengatasi Mohamad Sabu.

Untuk jawatan Naib Presiden, ketiga nama tersebut di atas dikira lebih layak dan sesuai jika dibanding dengan tiga calon lagi yang turut bertanding. Mereka ialah Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Ustaz Idris Ahmad, sekarang sebagai Ketua Penerangan ialah seorang ulama dan masih muda. Begitu juga dengan Datuk Amar Abdullah. Sebagai calon dari Kelantan beliau lebih baik dari Datuk Husam. Tidak mungkin dua calon Kelantan terpilih bagi jawatan Naib. Jadi, perwakilan terpaksa memilih salah satu. Dan sudah tentu Datuk Amar ialah pilihan terbaik. Lagipun Husam adalah bekas Naib Presiden yang lalu. Para perwakilan seharusnya memberi peluang pada Amar berbanding Husam.

Calon ketiga Datuk Seri Nizar tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau bekas MB Perak dan ahli parlimen Bukit Gantang. Ketokohan Nizar lebih menonjol berbanding Datuk Mahfuz dan Salahuddin. Tambahan pula Mahfuz dan Salahuddin adalah penyandang Naib Presiden sekarang. Nizar mampu mengambilalih peranan dan tanggungjawab dari mereka berdua.

Sekiranya pasukan atau barisan impian ini menjadi kenyataan, PAS kemungkinan akan menjadi sebuah parti yang lebih mantap dan berwibawa - sesuai dengan imejnya sebagai parti yang mendaulatkan ulama.

Kedudukkan Datuk Nik Aziz Nik Mat, sebagai Mursyidul Am, dikekalkan dan dipertahankan. Beliau harus kekal di situ selagi kesihatannya mengizinkan.

Bagaimanapun, kita tidak dapat membaca hati dan fikiran perwakilan yang akan mencorak dan menentukan haluan serta arah tuju parti pada masa hadapan.

Tetapi andainya ahli parti membuat keputusan memilih calon-calon seperti Mat Sabu untuk jawatan Timbalan Presiden dan Datuk Husam Musa sebagai Naib Presiden, maka pada hemat saya, mereka akan membawa parti PAS mundur setapak kebelakang.

Mat Sabu atau Husam adalah calon "recycle" yang tidak perlu diberi tempat. Kehadiran mereka dalam saf pimpinan akan merumitkan kedudukkan Presiden sebagai pengemudi bahtera. Presiden semestinya dapat menunaikan tugasnya tanpa gangguan dan politik dalaman.

Mat Sabu perlu beri tumpuan beliau sebagai "gurka" parti. Dan Husam, tugas dan tanggungjawabnya di Kelantan sudah lebih dari apa yang boleh dipikulnya.

Keterlibatan mereka dalam pucuk pimpinan parti, ibarat rencah dan ramuan yang boleh merosakkan sebarang masakkan !.






.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan