Sabtu, 21 Mei 2011

Pertandingan jawatan Timbalan Presiden PAS

MURSYIDUL AM PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menyatakan calon jawatan nombor dua parti yang menjadi pilihannya tetap akan dirahsiakan kepada umum kerana beliau tidak mahu mempengaruhi para perwakilan.

Setakat ini calon-calon yang popular akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti ialah Mat Sabu dan Datuk Ibrahim Tuan Man.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dari awal lagi telah menyatakan pendirian bahawa beliau akan berkecuali. Penyandang jawatan, Nasharuddin Mat Isa, yang akan mempertahankan jawatan akan menghadapi saingan sengit pada muktamar Jun ini.

Pada muktamar yang lalu telah berlaku pertandingan tiga penjuru antara Nasharuddin, Husam Musa dan Mat Sabu. Husam dan Mat Sabu tewas dalam pertandingan itu. Kali ini, nampaknya, Mat Sabu mencuba sekali lagi.

Sudah menjadi rahsia umum, Nasharuddin, bukanlah calon pilihan Mursyidul Am, Nik Aziz. Tok Guru itu pernah memberi kata dua kepada Nasharuddin, tentang peranannya dalam mewujudkan kerjasama dengan UMNO atau apa yang disebut sebagai kerajaan perpaduan.

Bukan sahaja Nasharuddin yang menjadi sasaran kecamannya, tetapi juga Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustapha Ali dan Datuk Dr. Hassan Ali. Malah mereka dicabar oleh Tok Guru agar keluar dari PAS sekiranya berminat bekerjasama dengan UMNO.

Semua orang tahu, Nasharuddin, mendapat sokongan dan restu dari Datuk Seri Abdul Hadi. Manakala, Cikgu Pa atau Mustapa Ali adalah penasihat politik Presiden parti. Tetapi segala kecaman dan kritikan Tok Guru selama ini terkena juga tempiasnya walaupun tidak secara terang dan terbuka terhadap Presiden parti.

Pemerhati politik meramalkan ada dua kumpulan dalam parti yang ingin berebut kuasa. Satu mewakili golongan ulama dan satu lagi kumpulan "Edrogan" yang dikatakan lebih pro Anwar Ibrahim. Keputusan pertandingan dalam muktamar kali ini akan menentukan hala tuju PAS, sama ada terus bersama Pakatan Rakyat atau ruang bekerjasama dengan UMNO lebih terbuka.

Walau apapun keputusannya, selagi Tok Guru Nik Aziz berada sebagai Mursyidul Am, kerjasama dengan UMNO tidak akan menjadi kenyataan. Kerana beliaulah yang menjadi kuasa veto dalam parti. Semua orang gerun dengannya. Dan dia "pukul" semua orang tanpa mengira apa jawatan. Hanya Datuk Seri Anwar sahaja setakat ini yang terlepas dari kecamannya.

Datuk Seri Abdul Hadi, Nasha, Cikgu Pa malah Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, terpaksa mengalah dan bertolak ansur dengan kerenah Tok Guru.

Tetapi sekiranya Nasharuddin Mat Isa, berjaya mempertahan jawatan Timbalan Presiden PAS buat kali kedua Jun ini, apakah Tok Guru akan berubah pendirian atau sekurang-kurangnya melepaskan jawatannya sebagai Mursyidul ?

Keputusan pertandingan adalah kehendak ahli. Ahli yang menentukan haluan parti. Setidak-tidaknya para penjawat jawatan harus menghormati keputusan yang telah dibuat oleh perwakilan parti.

.



.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan