TAN SRI Abdullah Ahmad dalam kolumnya yang terbaru, akhbar Sinar Harian, telah meramalkan UMNO-BN di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak, akan menang dua pertiga majoriti dalam pilihanraya umum akan datang.
Menurutnya lagi, Najib lebih cekap dan karismatik jika dibandingkan dengan Pak Lah Badawi. Pandangan beliau itu ada kebenarannya.
Semasa Pak Lah mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr.Mahathir pada 2003, UMNO-BN berada dalam keadaan kukuh dan stabil. Hampir semua isu dan masalah negara pada masa itu telah dapat diselesaikan dengan baik. Orang-orang melayu pun dalam keadaan bersatu.
Pak Lah mengambilalih kerajaan dalam keadaan yang cukup sempurna, walau ada sedikit sebanyak masalah yang tidak akan mengancam kedudukannya. Justeru itulah bila Pak Lah mengadakan pilihanraya pada 2004, beliau telah berjaya mendapat mandat lebih dari dua pertiga. Satu kemenangan yang besar.
Banyak pemerhati telah memberi kredit pada beliau di atas kejayaan itu dan menggelarnya sebagai Mr.Clean. Tidak banyak orang yang melihat dari sudut lain yang membawa kejayaan pada beliau adalah disebabkan faktor Dr.Mahathir sendiri. Dr. Mahathir telah menyerahkan padanya sesuatu asas yang kukuh dan kuat. Tugas Pak Lah hanyalah meneruskan saja apa yang telah di asaskannya.
Selepas mendapat mandat yang besar dari rakyat, kelihatan kabinet Pak Lah (kabinet terbesar dalam sejarah) mula berbulan madu. Masalah demi masalah timbul. Kelemahan dan ketidakcekapannya dalam mengemudi bahtera semakin terserlah. Dia kelihatan hilang kawalan. Dan lambat membuat sesuatu keputusan.
Maka itulah timbulnya berbagai gelaran dan cemuhan memperlekeh beliau sebagai seorang Perdana Menteri . Antara gelaran yang diberikan ialah beliau suka tidur, slow dan berbagai lagi, termasuk beliau tidak begitu fokus dalam sesuatu masalah dan lebih menyerahkan pada pegawai-pegawainya.
Dan inilah mengundang kritikan dan serangan secara terbuka dari Dr.Mahathir. Tetapi pada awalnya usaha Dr.Mahathir tidak berapa mendapat sokongan kerana kedudukan Pak Lah masa itu agak kebal. Sehingga suatu keadaan pihak media perdana telah memboikot segala upacara yang bersabit dengan Dr.Mahathir.
Jadi, Pak Lah bukan saja menghadapi pembangkang, malah terpaksa menepis serangan dari bekas ketuanya sendiri. Semua yang berlaku tidak membantu, malah menambah beban beliau sebagai PM.
Bila pilihanraya umum diadakan pada 2008, Pak Lah penuh yakin yang BN akan terus berkuasa dengan majoriti kurang sedikit dari 2004. Tetapi apa yang berlaku adalah malapetaka besar. BN bukan saja hilang dua pertiga, UMNO juga telah kalah di banyak negeri. Semuanya tidak pernah berlaku dalam sejarah sejak negara merdeka.
Begitulah kesan stail kepimpinan Pak Lah dan kini di warisi oleh Najib. Datuk Seri Najib telah mengambilalih teraju negara ini dalam keadaan yang cukup teruk. Segala-galanya telah rosak dan punah gara-gara pimpinan yang lemah dan tidak berwibawa.
Saya masih teringat kenyataan bekas Presiden Gerakan, Datuk Dr.Lim Kheng Yaik, yang menyarankan agar Pak Lah, memecat semua penasihat-penasihat yang berada disekelilingnya. Ini merupakan satu statement yang cukup menyentuh hati orang-orang melayu.
Kini Najib menggalas beban dan tanggungjawab amat besar untuk mengembalikan dan memulihkan keadaan kembali seperti dulu semula. Ia bukan satu tugas yang mudah. Setakat ini Najib telah membuktikan bahawa beliau boleh mengatasinya. Kepimpinannya jauh lebih baik, kemas dan tersusun.
Perdana Menteri sebelumnya telah mengambilalih jawatan dalam keadaan yang baik, tetapi tidak Najib. Najib menerima jawatan PM dalam keadaan tali yang tersimpul dan berbelit-belit. Mampukah beliau merungkainya menjadi lurus?
Kalau menurut Tan Sri Abdullah Ahmad tadi, yang juga bekas setiausaha politik Tun Razak, ayahandanya, Datuk Seri Najib, mampu melakukannya.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan