Rabu, 11 Mei 2011

Abu Dzar Al-Ghifari sahabat Nabi yang zuhud

SALAH seorang dari sahabat Nabi s.a.w. yang terkenal dan dikasihi baginda ialah Abu Dzar Al-Ghifari. Beliau berasal dari Kinanah dan dari keturunan Bani Ghifar. Sebelum ia masuk Islam kehidupannya terpencil dan merempat.

Semasa ia sampai di Mekah ia mendengar berita tentang Nabi s.a.w. lalu mendekati baginda, mendengar nasihat-nasihatnya dan akhirnya memeluk Islam. Abu Dzar tidak lama di Mekah kerana menyusul Nabi s.a.w ke Madinah.

Abu Dzar termasuk orang yang dicintai Rasulullah s.a.w. serta dipujinya dengan baik. Baginda pernah berkata, "Tidak ada orang di bawah langit dan di muka bumi yang ucapannya lebih benar daripada Abu Dzar."

Semasa zaman Khalifah Abu Bakar r.a., Khalifah Umar r.a. dan tahun-tahun pertama kekhalifahan Uthman r.a. ia tinggal di Madinah. Beliau juga termasuk sebagai orang yang berhak menerima ganjaran dari Baitulmal.

Apa yang menarik tentang Abu Dzar ialah beliau menjadi seorang pengkritik sosial yang berani terhadap pemerintah dan Khalifah tanpa rasa segan dan takut. Baginya rasa takut hanyalah kepada Allah s.w.t.. Khalifah Uthman dan Muawiyah Abu Suffian menjadi sasaran kritikan dan tegurannya secara terbuka. Lantaran itulah beliau tidak disenangi oleh Uthman r.a dan Muawiyah.

Tetapi kritikannya itu tidaklah membawa pada pemberontakan terhadap pemerintah, cuma sekadar penentangan terhadap amalan, dasar dan polisi kerajaan yang bagi beliau bercanggah dengan agama Islam.

Antara perkara yang menimbulkan kemarahannya ialah tindakan Khalifah Uthman r.a. memberi wang dalam jumlah yang banyak kepada Marwan bin Hakam dan adik Marwan bernama Harits bin Hakam sebanyak tiga ratus ribu dirham. Zaid bin Tsabit juga menerima wang sebanyak seratus ribu dirham.

Abu Dzar tidak dapat menerima pemberian-pemberian yang banyak itu dan mencela dasar yang dijalankan Khalifah. " Beritahukan orang-orang yang menimbunkan harta benda bahawa mereka itu kelak akan masuk neraka." Lalu ia membaca firman Allah s.w.t.: " Dan mereka yang menimbun emas dan perak, dan tidak menginfaqkannya ke jalan Allah s.w.t., maka beritahulah bahawa mereka itu akan memperoleh seksa yang amat pedih." (Al-Taubah 34).

Beliau tidak henti-henti memberi ucapan-ucapan mengkritik Uthman r.a. dan menuntut supaya Khalifah hidup secara hemat, sederhana dan menyatakan permusuhan terhadap perbuatan menimbun kekayaan. Menurut setengah riwayat, kehidupan Abu Dzar adalah dalam kemiskinan. Beliau menolak harta kekayaan, walaupun beliau mampu memperolehinya. Beliau hanya mempunyai dua pasang baju; satu untuk beribadat dan satu lagi untuk bekerja mencari rezeki.

Muawiyah Abu Suffian,  Gabenor di Syria ialah antara orang yang dikecam hebat oleh Abu Dzar. Ia mengecam tindakan Muawiyah membangun istana "hadra" atau Istana Hijau. Dengan terus terang beliau berkata kepada Muawiyah, " Kalau engkau membangun istana itu dengan wang kaum muslimin, itu suatu pengkhianatan; tetapi kalau engkau membangunnya dengan wangmu sendiri, itu pemborosan."

Di mana saja ia selalu berkata, "Awas, orang-orang kaya akan mendapat bencana dari kaum fakir miskin !". Semakin hari banyak orang berhimpun mendengar ucapan-ucapannya sehingga menimbulkan kebimbangan Muawiyah akan terpengaruhnya penduduk Syria dengan propaganda Abu Dzar.

Lalu Muawiyah menulis surat pengaduan kepada Khalifah Uthman r.a. supaya diambil tindakan. Ada penulis riwayat mengatakan, Khalifah Uthman r.a. memerintahkan Abu Dzar keluar meninggalkan Madinah dan boleh tinggal di mana saja menurut kemahuannya, tetapi ia dilarang pergi ke Syria iaitu Kufah, Bashrah dan Mekah.

Tetapi Abu Dzar memilih Rabadzah, sebuah kawasan terpencil di tengah padang pasir. Ada riwayat mengatakan beliau diusir dan dibuang ke situ.

Semasa hayat Nabi s.a.w. baginda telah menyatakan pada Abu Dzar bahawa beliau berasal terasing dan terpencil, dan matinya juga dalam keadaan terpencil dan terasing. Benar seperti kata baginda, Abu Dzar telah wafat di padang pasir itu ditemani oleh isterinya tanpa seorang pun manusia disekelilingnya. Sehingga isterinya menangis bersedih kerana tiada siapa yang akan menguruskan mayat suaminya.

Tetapi takdir Allah s.w.t  jenazahnya telah disempurnakan oleh serombongan penduduk Iraq yang sedang dalam perjalanan pulang setelah menunaikan ibadat haji.

Itulah Abu Dzar Al-Ghifari seorang sahabat yang dicintai Rasulullah s.a.w. dan beliau begitu taat dan kasih kepada baginda. Penentangannya terhadap Khalifah Uthman r.a. dan Muawiyah lebih bersifat kritikan politik dalam batas-batas tetap taat dan tidak memberontak terhadap khalifah.

" Seandainya Uthman r.a. hendak menyalibku di atas sebatang pohon kurma yang tinggi, aku tidak akan membangkang!", begitulah kata-kata Abu Dzar yang pernah beliau ucapkan.
________________________________________________________
Rujukan: Fitnah Terbesar Dalam Sejarah Islam, Taha Hussain, DBP 1990.
Catatan ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah, keluaran 2 - 9 Jun 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan