Jumaat, 15 Julai 2011

Antara revolusi dan jawatan Perdana Menteri


DATUK Seri Anwar Ibrahim telah membuat kenyataan pada media Indonesia bahawa negara ini sudah hampir dengan revolusi ekoran insiden Bersih pada 9 Julai lalu. Banyak yang membantah kenyataan beliau itu kerana perkataan revolusi itu agak asing dengan suasana rakyat negara ini.

Perhimpunan Bersih baru-baru ini, walau apa pun tanggapan ramai orang, ia tidaklah berjaya sebagaimana yang diharapkan oleh penganjurnya lebih-lebih lagi pada Datuk Seri Anwar. Pihak polis telah berjaya mengawal keadaan dari mencetus keadaan menjadi lebih buruk, sekaligus memberi imej buruk pada kerajaan dan pihak pembangkang pula meraih simpati.

Anwar Ibrahim sudah tentu mengharapkan berlaku sesuatu yang luar biasa yang boleh dieksploitasi dan memberi keuntungan politik padanya. Tetapi itu semua tidak berlaku dan suasana ibu kota kembali tenang dan ramai orang, terutamanya para peniaga kembali menjalani rutin kehidupan seperti biasa.

Sebagai seorang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri beliau akan melakukan apa saja untuk mencapai hasratnya hatta ia perlu mengorbankan nyawa orang. Beliau nekad kerana dia tahu masalahnya di mahkamah dan skandal video seks menghantui dan menghalangnya menuju ke Putrajaya.

Dengan kenyataannya bahawa revolusi sudah hampir dia sebenarnya memang mengharapkan ia akan berlaku kerana dengan tercetusnya revolusi segala masalah peribadinya akan terhapus dengan sendirinya. Apakah revolusi akan berlaku di negara kita ?

Kalau ada pihak yang menunggu dan mengharap ianya berlaku sebenarnya mereka sedang berkhayal dan bermimpi di siang hari. Ia tidak mungkin berlaku lebih-lebih lagi ciri-ciri revolusi itu sendiri bertentangan dengan sifat dan sikap orang melayu yang menjadi bangsa majoriti di negara ini.

Orang melayu sudah terkenal dengan sifat lemah lembut, sopan dan penyabar. Mereka tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan sifat-sifat semulajadi mereka. Budaya demonstrasi, sikap ganas dan kasar adalah budaya luar yang diimpot meresap dalam masyarakat melayu. Budaya ini mesti ditentang habis-habisan dari menjadi darah daging orang-orang melayu.

Teringat pula puisi Sasterawan Negara, A. Samad Said, yang memilih dua perkataan iaitu "mensucikan" dan "memurnikan" dalam baris kata-kata dalam puisinya tentang Bersih. Dua perkataan keramat itu perlu di renung semua pihak dalam mencari kejernihan bagi mengembalikan jati diri melayu yang sebenarnya.

Kepada pemimpin politik yang bercita-cita besar dan bernafsu serakah demi mencapai impian menjadi Perdana Menteri, pertimbangkanlah kepentingan majoriti rakyat terbanyak di atas segala kepentingan. Rakyat tidak perlu dijadikan mangsa dan perisai demi memenuhi cita-cita peribadi.

Selesaikan dahulu masalah peribadi yang merupakan pra syarat paling penting sebelum menjadi pemimpin. Buktikan pada rakyat bahawa semuanya adalah fitnah dan konspirasi bukannya mencari helah dan berdiam diri.

Dan tanggungjawab beliau membersihkan namanya dari segala tuduhan amatlah mudah dan ia boleh dilakukan sekiranya beliau mempunyai kemahuan. Namun respon dan tindak balasnya dalam menepis segala tuduhan terhadapnya semakin hari semakin samar dan keliru.

Ini memburukkan lagi keadaan bila tokoh-tokoh agama yang mempunyai kepentingan parti tampil membuat pembelaan. Tidak pasti adakah pembelaan ini untuk kepentingan umum atau hanya demi survival parti politik berkenaan.

Apa pun semuanya akan berakhir bila sampai masanya. Lama kelamaan orang akan tahu juga kebenaran dan kebohongan serta kepalsuan akan terhapus.


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan