Selasa, 19 Julai 2011

Ramadhan menjelang tiba


LEBIH kurang sepuluh hari lagi kita akan menyambut bulan puasa, bulan yang penuh rahmat dan keampunan. Kita patut bersyukur pada Allah swt kerana diberi baki usia dan kesempatan menjalani ibadat puasa; suatu ibadat paling istimewa yang dianugerahkan Allah swt kepada umat Nabi Muhammad saw.

Bagi mereka yang disahut kembali kerahmatullah sebelum tibanya Ramadhan sudah tentu tidak berkesempatan untuk melakukan ibadah yang amat besar ganjarannya disisi Allah swt. Kita yang masih diberi peluang untuk hidup dan dipanjangkan usia semestinya tidak melepaskan peluang keemasan ini bagi melipatgandakan ibadah agar diampunkan dosa-dosa yang telah lalu.

Amatlah rugi jika bulan ramadhan yang datang setahun sekali tidak kita isinya dengan amalan-amalan yang bermanfaat. Apakah ada jaminan yang kita akan bertemu lagi di bulan ramadhan pada tahun hadapan ? Sekiranya ditakdirkan usia kita singkat, apakah amalan dan bekalan kita sudah mencukupi untuk menghadapi Rabbuljalil ?

Justeru itulah ramadhan merupakan medan persaingan dan perebutan dalam mengerjakan amal kerana pahalanya berlipat ganda dengan lain-lain bulan.

Bagi saya, bulan puasa adalah satu bulan yang paling dinantikan. Saya cukup terpesona dengan suasananya; dengan bangun sahurnya, berterawikh, berbuka, berjemaah dan paling menghiburkan ialah dapat menjamu mata dengan segala macam jenis makanan dan kuih yang dijual sebelah petangnya.

Ia bagaikan satu "terapi" minda melihat beraneka juadah dan gelagat para peniaga. Tetapi sudah tentunya kita perlu berhati-hati dan tidak membazir dengan mengikut hawa nafsu membeli sesuka hati dengan kuantiti yang banyak.

Seharusnya dalam puasa begini kita berpeluang berjimat dalam berbelanja dan bukannya menambahkan perbelanjaan.

Saya bersyukur kerana rumah saya berdekatan dengan masjid. Jaraknya hanya beberapa meter saja. Azam saya pada tahun ini ingin mengulangi apa yang telah saya lakukan pada tahun lepas dengan solat berjemaah lima waktu di masjid. Ianya cukup menenangkan jiwa dan perasaan.

Masjid tempat saya ini melakukan ibadat terawikh sebanyak lapan rakaat. Bila selesai empat rakaat pertama ia akan berhenti rehat sekejap dan diisi dengan tazkirah selama 15 minit. Selepas itu ia sambung balik dengan empat rakaat lagi.

Biasanya tazkirah akan disampaikan oleh ustaz-ustaz jemputan secara bergilir sepanjang ramadhan. Isi dan penyampaian tazkirah cukup menarik dan boleh dianggap sebagai satu cara "caj bateri" keimanan para jemaah.

Yang paling saya tidak lupa ialah tentang seorang ustaz muda lulusan dari Mesir, bila dia berceramah ada dua subjek yang dia selalu tekankan yang membuatkan para jemaah kurang selesa. Pertama; tentang rokok. Keduanya, masalah mercun.

Tentang rokok, ustaz itu dengan tegas mengatakan ia adalah haram. Dia menyarankan kepada yang merokok agar berhenti kerana tabiat itu bukan saja membazir, malah adalah haram. Para jemaah, barangkali ramai yang merokok kelihatan agak kurang selesa dengan ustaz tersebut. Ustaz itu berhujah, kalau siang harinya kita boleh menahan dari merokok, apa salahnya tahan terus dari merokok hingga ke malamnya. Saya hanya senyum kambing, kerana saya bukan seorang perokok.

Tentang mercun pula, ustaz itu tidak berpuas hati kerana setiap kali berlangsungnya sembahyang terawikh, anak-anak kecil yang ikut sama ke masjid berkeliaran di luar masjid sambil bermain mercun dan bunga api. Sebenarnya anak-anak ini mengikut ibu bapanya ke masjid, tetapi tidak bersembahyang sama.

Jadi dalam tazkirahnya, ustaz ini menegaskan duit yang diberikan oleh ibubapa untuk membeli mercun adalah haram. Dia menambah bahawa mercun mempunyai kaitan dengan api. Dalam agama Islam unsur api adalah sesuatu yang tidak baik dan negatif. Dan lagi api mempunyai kaitan dengan agama orang kafir.

Saya tidak pasti dan ingat selepas teguran ustaz itu anak-anak nakal itu masih lagi bermain mercun atau tidak. Tetapi yang pasti ia telah berkurangan dengan banyak. Saya tidak ambil pusing hal itu kerana kebetulan saya tidak mempunyai anak kecil.

Dalam bulan puasa ini saya pasti ustaz ini akan kembali bertazkirah. Apakah dia akan ulangi tegurannya itu ? Atau semua para jemaah akan mengawal anak-anak mereka dari ditegur ustaz itu lagi.

Secara peribadi saya angkat tabik pada ustaz muda itu di atas keberaniannya.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan