SAID bin Umar Al-Anshari r.a seorang yang menyertai di dalam perang Badar, berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapa membaca selawat untukku satu kali dengan tulus ikhlas dari hatinya, maka Allah akan memberi selawat (rahmat) untuknya sepuluh dan diangkat ke sepuluh tingkat dan diampunkan baginya sepuluh dosa.
Amr bin Dinar dari Abu Jaafar berkata : Nabi s.a.w. bersabda : Siapa yang lupa membaca selawat kepadaku maka bererti dia telah keliru (tersesat) dari jalan ke syurga.
Abu Buraidah dari ayahnya berkata : Nabi s.a.w.bersabda : Empat macam dari kekecewaan :
1. Jika seorang kencing sambil berdiri
2. Seorang yang terburu-buru mengusap dahinya sebelum selesai sembahyang.
3. Seorang yang mendengar azan lalu tidak mengikuti suara muazzin.
4. Seorang yang mendengar namaku disebut lalu dia tidak membaca selawat untukku.
Anas bin Malik r.a berkata : Nabi s.a.w. bersabda : Siapa yang membaca selawat untukku satu kali, maka Allah memberi selawat untuknya sepuluh kali dan dihapuskan sepuluh dosa-dosa.
Jika engkau ingin mengetahui betapa besarnya selawat itu dari lain-lain ibadah, maka perhatikan dan renungkan ayat : Dalam semua perintah ibadah, langsung Allah menyuruh hamba beribadah, adapun dalam ibadah selawat, maka Allah menyatakan bahawa Allah sendiri yang memulai selawat, kemudian disambung oleh malaikat, kemudian diwajibkan pada kaum muslimin untuk membacakan selawat untuk Nabi s.a.w.. Maka dengan ini nyatalah bahawa selawat itu afdhal dari lain-lain ibadat.
Kata Imam Ad-Dinauri : Barangsiapa membaca selawat ini tiap-tiap lepas sembahyang sebelas kali dijadikan dia wirid nescaya tiada berkeputusan rezekinya (selawat Tafrijiyyah) dan menjampi ia akan martabat yang tinggi. Dan barangsiapa mengekali membaca akan dia tiap-tiap lepas sembahyang Subuh tiap-tiap hari empat puluh satu kali mencapai ia akan kehendaknya. Dan barangsiapa mengekali membaca akan dia tiap-tiap hari seratus kali hasil "mathlubnya" lebih daripada kehendaknya.
Kata Imam Al-Qurthubi : Barangsiapa mengekali atas selawat ini tiap-tiap hari empat puluh satu kali atau seratus kali atau lebih, diangkat oleh Allah Ta'ala akan dukacitanya dan mudharatnya dan luaskan rezekinya dan dibukakan baginya segala pintu kebajikan dan diluaskan kalimahnya dan diamankan dia daripada datang Hawadits Az-Zaman dan daripada papa dan dicampakkan baginya kasih segala hati manusia akan dia dan dimustajabkan permintaannya.
Wallahu "alam.
Rujukan: AL-Jauhar Al-Mauhub Wa Munabbihat Al-Qulub, Asy Syeikh Ali Bin Abdul Rahman Al-Kalantani.
: 444 Peringatan Untuk Umat MUHAMMAD S.A.W., Hj. Ismail Abdullah.
: Penerbit: Jahabersa.com.my
: Dicetak oleh : BIN HALABI PRESS, Pattani, Thailand.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan