Khamis, 28 Julai 2011

Wacana ilmu dalam bahasa Inggeris ?


WACANA anjuran Karangkraf bertajuk, "Apa Selepas 9 Julai" yang lalu telah memberikan pelbagai reaksi. Dihadiri dua tokoh penting iaitu Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga dan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar. Panel ketiga ialah tokoh intelektual UKM, Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin.

Usaha Karangkraf mengadakan wacana ini harus dipuji dan diharap program seperti ini akan berterusan untuk percambahan ilmu.

Kesanggupan Datuk S. Ambiga dan Datuk Wan Ahmad bersemuka memberi hujah masing-masing harus dipuji. Tetapi seperti biasa dalam apa pun perbahasan atau forum tentang sesuatu isu ia tidak akan memberi sebarang penyelesaian. Namun sekurang-kurangnya ia dapat membuka skop topik itu lebih luas.

Khabarnya, dalam wacana tersebut suara hadirin lebih kuat dan bising dari suara para panel. Berbagai soalan diajukan sehingga suasana kecoh dan hangat. Sehingga apa yang ingin disampaikan ahli panel tidak didengari dan jelas.

Ini memburukkan lagi keadaan dengan para panel bercakap dalam bahasa Inggeris yang menyukarkan sebahagian hadirin untuk memahaminya. Bagaimana dalam wacana seperti itu boleh menggunakan bahasa Inggeris ?

Apa yang pasti Datuk S. Ambiga ialah seorang yang tidak fasih bercakap dalam bahasa kebangsaan. Tetapi dua lagi panel, Datuk Wan Ahmad dan Prof Shamsul terpaksa ikut rentak Pengerusi Bersih itu dengan menggunakan bahasa penjajah. Satu sikap tolak ansur di tahap tinggi.

Kalaulah wacana itu diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan, agak macam mana Ambiga akan menyampaikan hujah-hujahnya ? Barangkali, penjelasannya akan berbelit-belit dan lintang pukang.

Sebagai Pengerusi Bersih dan memperjuangkan isu paling "terhangat" yang melibatkan negara serta hampirnya sambutan kemerdekaan negara yang ke 54, ketidakupayaan Ambiga bertutur bahasa rasmi amat menyedihkan.

Di harap Sasterawan Negara, Pak Samad Said yang kebetulan salah seorang pemimpin penting Bersih dapat menegur Datuk S. Ambiga tentang penguasaannya dalam bahasa kebangsaan itu. Apatah lagi Pak Samad adalah orang yang paling kuat menentang penggunaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Agak janggal bagi orang seperti Pak Samad dan lain-lain pemimipin berketuakan seorang yang tidak menguasai bahasa rasmi negaranya sendiri.
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan