Rabu, 20 Julai 2011
Najib pikul tugas berat
SEJAK zaman Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri sehingga era Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, era Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan tempoh paling mencabar dan sukar sebagai seorang Perdana Menteri.
Bukannya sebelum Najib tidak ada cabaran dan masalah, tetapi suasana politik negara kini begitu kompleks dengan dasar langit terbuka dan tuntutan-tuntutan demokrasi dalam pengertian yang lebih luas dari pelbagai golongan.
Dr. Mahathir, misalnya, mengambilalih tampuk pemerintahan negara dari Tun Hussein Onn dalam suasana negara di dalam keadaan stabil dan harmoni. Tidak ada masalah besar yang ditinggalkan oleh Hussein Onn. Tugas Dr. Mahathir hanyalah meneruskan kepimpinan negara dengan gayanya sendiri.
Begitu juga bila Dr. Mahathir mengundur diri dan menyerahkan kuasa pada Tun Abdullah, semua isu dan permasalahan negara dan parti telah dapat diatasi. Ertinya, semasa Dr. Mahathir serah pada Pak Lah segalanya berada dalam keadaan tersusun dan kemas.
Memang semasa Dr. Mahathir banyak isu dan masalah yang timbul seperti perpecahan dalam UMNO dan isu Anwar Ibrahim. Tetapi semua isu tersebut telah dapat diatasi Dr. Mahathir dengan berkesan. Sehingga terbukti bila Pak Lah mengambilalih jawatan Perdana Menteri dan mengadakan pilihanraya pada 2004, Barisan Nasional telah berjaya memenanginya lebih dari dua pertiga majoriti.
Kejayaan besar BN pada 2004 di bawah Pak Lah merupakan satu rekod yang tidak pernah dicapai oleh Perikatan sejak merdeka. Ia mengatasi pencapaian para pemimpin terdahulu. Dan kredit telah diberikan pada Pak Lah di atas kejayaan itu, sekaligus dia digelarkan sebagai Mr. Nice Guy.
Barangkali, faktor kejayaan BN itu disebabkan personaliti Pak Lah yang dianggap bersih dan lembut. Berbeza dengan imej yang ada pada Dr. Mahathir.
Namun orang lupa faktor terbesar yang mempengaruhi kejayaan BN ialah peranan Dr. Mahathir yang telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna sebelum menyerahkan baton pada Pak Lah. Semua isu yang berkait dengan parti dan kerajaan telah dapat diselesaikan. Dan ini telah mengembalikan sokongan orang-orang melayu terhadap UMNO - sebelum itu UMNO menerima tentangan hebat dari orang melayu ekoran isu Anwar Ibrahim.
Setelah setahun Pak Lah menerajui negara dalam suasana berbulan madu masalah mula timbul dan memperlihatkan kelemahannya sebagai Perdana Menteri. Suasana dan iklim politik mula lintang pukang dan beliau diperleceh semua orang, terutama ahli-ahli UMNO.
Justeru itu timbullah berbagai gelaran seperti suka tidur, lembik, tidak boleh buat keputusan dan sebagainya. Gelaran-gelaran ini memang pahit untuk diterima, namun itulah kenyataan sebenarnya. Pak Lah gagal sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Kelemahan beliau begitu menonjol dan ketara.
Keputusan PRU 12 mengesahkan segalanya. BN hilang dua pertiga dan mencatat rekod terburuk dalam sejarah pilihanraya, selain beberapa buah negeri jatuh ke tangan pembangkang.
Namun selepas PRU 12, Pak Lah masih bernafsu untuk meneruskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Tetapi negara bernasib baik dengan peranan dan tekanan yang dimainkan oleh Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhirnya Pak Lah terpaksa akur dan meletakkan jawatannya yang tidak sampai dua penggal itu.
Maka tibalah giliran Najib mewarisi kepimpinan yang ditinggalkan Pak Lah dalam keadaan tunggang terbalik. Tidak keterlaluan jika dikatakan sepanjang Pak Lah mewarisi pimpinan dari Dr. Mahathir, stail kepimpinan beliau telah merosakkan BN malah telah "menghancurkan" UMNO dalam percaturan politik negara.
Namun semua telah menjadi sejarah. Tugas yang diambil Najib bukan mudah dan ringan. Najib perlu melakukan banyak pembaikian dan pemulihan tinggalan Pak Lah. Setakat ini beliau berjaya melaksanakannya. Tinggal lagi beberapa langkah yang perlu diperkemaskan menjelang 2013.
Momentum itu sudah ada, cuma perlu sedikit "finishing".
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan