Ahad, 17 Julai 2011

Bolasepak : Barisan pertahanan goyah


SHEBBY SINGH dalam kolumnya di harian Metro beberapa hari yang lalu menggesa K. Rajagopal memperkemaskan barisan pertahanan Harimau Malaya yang kelihatan mudah goyah dan bocor sebelum pertemuan mereka dengan Singapura dalam Kelayakan Piala Dunia 23 Julai ini di tempat lawan.
Shebby Singh


Pandangannya itu berdasarkan selepas dua perlawanan terakhir menentang Taiwan dan Arsenal, di mana gol kita telah dibolosi sebanyak lapan gol. Kebanyakan jaringan lawan tersebut adalah mudah dan hasil kesilapan para pemain pertahanan.

Dan ini terbukti sekali lagi semalam bila kita tewas dengan Liverpool 3-6. Seperti dua perlawanan yang lalu barisan pertahanan banyak melakukan kesilapan dan terlalu longgar sehingga memberi ruang pihak lawan menghasilkan gol.

Namun perlawanan dengan Liverpool semalam boleh diberi pujian kerana persembahan mereka lebih baik jika dibandingkan semasa melawan Arsenal. Jurulatih The Reds, Steve Clarke, memuji prestasi pasukan negara kerana berjaya memberi saingan yang sengit dan menyukarkan para pemainnya.

Apapun jaringan tiga gol dari Safiq Rahim dan Safee Sali memang cantik dan menghiburkan para penonton termasuk para pegawai kelab Liverpool. Cuma barisan pertahanan agak mengecewakan terutama Muslim Ahmad dan Fadli Shas. Mereka tidak boleh ulangi kesilapan yang sama bila bertemu Singapura nanti.

Singapura yang dibarisi beberapa pemain import yang diberi taraf warganegara seperti Serbia, Bosnia dan China boleh menghukum kelalaian barisan pertahanan negara dan menyekat kemaraan kita ke pusingan seterusnya.

Setelah kita bergelar juara Piala AFF di Jakarta yang lalu, rasanya pertemuan dengan Singapura ini adalah perlawanan yang paling getir dan menguji kekuatan sebenar pasukan negara. Pasukan Singa ini berpotensi menghampakan harapan pasukan negara. Peluang adalah 50-50.

Tetapi setakat ini Harimau Malaya mempunyai segala ramuan dan harapan bagi menundukkan Singapura. Apa yang perlu dilakukan Rajagopal ialah memperkemaskan lagi barisan pertahanan yang mudah rapuh bila menerima asakkan dan tekanan pihak lawan. Jika ini dapat diatasi dengan segera pasukan negara mampu menjinakkan pasukan Singa itu.

Singapura tentu akan bermain bermati-matian dengan harapan agar dapat mencalar imej Malaysia sebagai juara baru di rantau Asean. Sebelum ini Singapura merupakan juara Piala AFF beberapa kali dan Malaysia ini adalah kejuaraannya yang pertama.

Pasukan negara tidak punya banyak pilihan melainkan mesti mencapai kemenangan dalam perlawanan ini. Ini bukan saja soal sukan, tetapi lebih pada soal maruah negara yang dipertaruhkan.

Kita sudah mengalahkan Indonesia dan Thailand, kini giliran Singapura pula sebagai pelengkap juara AFF yang kita menangi baru lalu.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan