SETELAH seminggu isu perhimpunan Bersih menjadi panas dan hangat dengan berbagai reaksi dari semua pihak, akhirnya menjadi sedikit reda bila Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong masuk campur dan bertitah agar ianya dibatalkan.
Datuk S.Ambiga, Perkasa dan Mahaguru Silat Lincah membuat reaksi spontan dengan mengambil sikap akur dengan titah Tuanku dan membatalkan perhimpunan dijalanraya 9 Julai ini.
Tetapi Ambiga sebagai Pengerusi Bersih, cepat respon dengan tawaran dari kerajaan dan Perdana Menteri agar ianya diadakan di stadium. Datuk Seri Najib membuat tawaran tersebut dengan syarat ia dibuat secara aman dan selesai secara aman serta Bersih mesti bertanggungjawab di atas segala kerosakkan harta benda di stadium.
Apakah Datuk Seri Najib tersilap langkah bila membuat tawaran tersebut ? Bagi S.Ambiga dan anggota Bersih jika perhimpunan ini berjaya diadakan di stadium ia sudah dianggap berjaya mencapai matlamatnya.
Kini sudah ada suara membantah ianya diadakan di dalam stadium dan berpendapat perhimpunan tersebut perlu dibatalkan sepenuhnya. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah menawarkan stadium Shah Alam sebagai venuenya.
Apakah perhimpunan Bersih diadakan di jalanraya atau dalam stadium tidak memberi banyak kesan. Pokoknya perhimpunan itu tetap akan diadakan. Stadium Shah Alam boleh menampung lebih kurang 60,000 hingga 70,000 orang dalam satu masa.
Sekiranya pihak Bersih dapat kumpulkan kehadiran orang ramai sebanyak itu, apa pula reaksi kerajaan ? Bagi Bersih ini akan memberi satu "signal" pada kerajaan agar tidak ambil mudah dengan segala tuntutan yang diperjuangkan mereka. Bagi kerajaan pula dengan kehadiran seramai itu ianya boleh memberi sedikit tamparan dengan sambutan yang diterima pihak Bersih.
Dari segi politiknya dalam konteks ini Bersih lebih ke depan dari UMNO dan kerajaan dalam mengatur langkahnya. Oleh kerana tawaran berhimpun di stadium keluar dari mulut Perdana Menteri sendiri, maka ia tidak mungkin ditarik balik.
Jika UMNO dan kerajaan cuba memberi berbagai alasan untuk membatalkan juga perhimpunan dalam stadium, maka rakyat akan membuat berbagai tafsiran negatif terhadap kerajaan. Jadi kerajaan tidak punya pilihan melainkan membenarkan perhimpunan itu diadakan dalam stadium seperti mana tawaran yang diberikan oleh Perdana Menteri sendiri.
Lainlah kalau tawaran itu datangnya dari Ibrahim Ali atau pemimpin UMNO di peringkat cawangan. Kalaulah cadangan ini datang dari mulut mereka, mudah sahaja PM atau TPM menolak cadangan tersebut. Tetapi cadangan berhimpun dalam stadium datang dari Perdana Menteri sendiri.
Itulah kelemahan UMNO dan kerajaan dalam apa saja isu, walaupun kadang-kadang sesuatu isu itu berpihak pada mereka, namun mereka sentiasa berada dalam situasi defensif. Kerana mereka tidak bersifat offensif dalam isu ini, Bersih berjaya mencapai sasarannya. Ibarat kata, tak dapat peha, betis pun jadilah.
Dalam perkembangan terbaru pihak Bersih akan berunding dengan kerajaan mengenai perhimpunan tersebut yang akan diadakan secepat mungkin dan syarat-syarat yang akan dikenakan. Bersih sudah tentu begitu komited agar perhimpunan ini berjaya dilaksanakan sebagaimana yang dirancang.
Helah kerajaan hanya satu ia boleh mengenakan berbagai syarat yang sukar dipenuhi pihak Bersih. Sekiranya ini benar berlaku akan timbul lagi masalah baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan