Ahad, 3 Julai 2011

Akhbar Siasah lambat sampai

SIASAH yang terbit setiap Jumaat biasanya akan sampai di Kota Bharu paling cepat Ahad atau Isnin. Di tempat saya, Rantau Panjang, lebih teruk kerana setiap minggu akhbar tersebut hanya tiba setiap hari Rabu.

Di Kuala Lumpur sudah pasti ia sudah berada di pasaran setiap Jumaat. Bila saya tiba di Melaka baru-baru ini ia sudah pun berada di setiap stesen minyak dan gerai akhbar pada pagi Sabtu. Inilah kali pertama setelah berada di Melaka saya dapat menatap Siasah lebih awal dari biasa. Sebelum ini setiap minggu hanya dapat membacanya pada hari Rabu.

Saya tidak pasti adakah pihak pengurusan Siasah mengetahui kelewatan akhbar tersebut berada dipasaran, terutamanya di pinggir bandar. Kalau ya atau tidak, pihak yang bertanggungjawab dalam masalah pengedaran perlu mengambil tindakan segera.

Setiap minggu pihak editorial dan para pemberita mengejar dan bergerak pantas mencari bahan untuk memenuhi "deadline", tetapi dalam masa yang sama terdapat kelewatan dan kelemahan dalam masalah pengedaran.

Akhbar bukan seperti majalah, isi dan bahannya mesti cepat dan pantas. Bila terlewat ia bukan lagi bersifat akhbar. Isu-isu baru terus muncul dan perlu diikuti dengan cepat dan tepat. Jadi bila akhbar lewat berada dipasaran segala isu dan berita dalam akhbar tersebut sudah jadi basi dan tidak menarik lagi.

Siasah mempunyai potensi menjadi akhbar tabloid yang popular dan tinggi sirkulasinya jika masalah pengedaran di pertingkatkan. Kadang-kadang dalam industri penerbitan ini pihak editorial telah menunaikan tanggungjawab dengan baik dan sempurna, namun kerana sistem pemasaran dan rangkaian pengedaran begitu lemah ia membawa kepada "tutupnya" sesuatu penerbitan itu.

Hal ini tidak mustahil berlaku pada Siasah. Sebelum ini akhbar Mingguan Tanahair, Mingguan Bumi, Watan dan sebagainya adalah seumpama Siasah menjadi tabloid politik mingguan yang bukan kecil peminatnya. Tetapi semua akhbar tabloid tersebut tidak panjang usianya dan salah satu faktor kelemahan ialah seperti yang disebut tadi.

Siasah boleh menjadikan Sinar Harian sebagai model. Bermula dengan Sinar Banar dengan cuma berharga 50 sen dan tidak begitu diberi perhatian para pembaca, tetapi kini telah bertapak dan menjadi sebuah akhbar yang berjaya. Semuanya kerana sistem pemasaran dan pengedarannya yang cekap.

Siasah jangan ikut jejak Mingguan Tanahair dan Mingguan Bumi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan