Jumaat, 8 Julai 2011
Baju Merah buat tuntutan
TIDAK sampai seminggu parti Puea Thai, pimpinan Yingluck Shinawatra memenangi pilihanraya di Thailand dengan sokongan kuat dari puak Baju Merah kini dia berdepan dengan berbagai tuntutan yang mesti dipenuhi.
Baju Merah yang memberi sokongan kuat bagi kemenangan parti Yingluck telah menuntut keadilan berhubung dengan protes berdarah tahun lalu yang melibatkan 91 orang terbunuh dan hampir 2000 cedera. Mereka menggesa dijalankan siasatan terperinci mengenai peranan tentera dalam insiden pada Mei tahun lalu.
Tuntutan ini dilihat sebagai satu ancaman dan ugutan pada Yingluck sekiranya tidak dipenuhi akan menggugatkan sokongan yang telah diberikan padanya.
Yingluck, bakal Perdana Menteri baru sudah tentu akan berhati-hati dalam langkahnya kerana pihak tentera kini sedang memerhati kerajaan yang bakal ditubuhkannya. Jika dia melayani tuntutan pihak Baju Merah dengan menyiasat insiden ganas itu pihak tentera tentu tidak akan berdiam diri.
Dan sekiranya dia tunduk pada tentera para penyokongnya yang terdiri dari Baju Merah akan kembali semula berarak dijalan-jalanraya dan berdemonstrasi sehingga permintaan mereka dipenuhi.
Inilah yang dikatakan demokrasi. Sebelum ini Baju Merah telah mengadakan perhimpunan dan demonstrasi di jalanan menuntut diadakan pilihanraya baru. Tetapi setelah impian itu tercapai, nampaknya masalah tidak juga akan selesai dan muktamad.
Sekiranya Yingluck gagal memainkan peranan dan menyelesaikan masalah itu dengan baik, kemungkinan politik Thailand akan kembali bergolak. Ini tentunya akan memberi ruang pihak tentera masuk campur dan merampas kuasa untuk kesekian kalinya.
Begitulah sistem demokrasi yang bukan sempurna sifatnya. Banyak negara-negara di dunia tidak aman dan stabil walaupun menganutinya. Malah setengah negara menjadi semakin porak peranda dan hancur setelah diberi peluang mengamalkannya.
Jadi rakyat seharusnya mengamalkan dan menggunakan sistem demokrasi sebaik mungkin agar kehidupan mereka lebih baik dari sebelumnya. Jika kita salahguna sistem yang ada, maka tidak mustahil kehidupan menjadi lebih sengsara.
Demokrasi ibarat seperti sebilah pisau. Pegang dihulu, bukan dimatanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan