Jumaat, 29 Julai 2011

Bolasepak : Malaysia tersingkir


AKHIRNYA Singapura menunjuk jalan keluar pada pasukan negara dari kelayakan Piala Dunia 2014.

Malaysia hanya sekadar seri 1-1 dengan Singapura sebentar tadi menjadikan kita tewas secara aggreget 6-4. Ramai yang menjangkakan Harimau Malaya akan menang besar malam ini, namun segalanya meleset.

Dalam separuh masa pertama corak permainan pasukan negara tidak begitu menyengat dan gambaran awal sudah terbayang yang pasukan negara akan menghadapi kesukaran setelah gagal menghasilkan sebarang gol.

Bila masuk separuh masa kedua tekanan semakin memuncak kerana bukan mudah untuk menghasilkan dua gol, lebih-lebih lagi bahagian serangan kurang menjadi. Singapura pula hanya memburu satu gol bagi mematikan rentak pasukan negara.

Begitulah apa yang berlaku setelah Safee Sali berjaya menjaringkan gol tunggal dan Singapura tidak mengambil masa yang lama bagi menyamakan kedudukan.

Dalam perlawanan itu jelas Singapura berjaya bermain mengikut "game plannya" dengan bermain secara tenang dan tidak ghairah kerana dari segi psikologinya mereka sedang mendahului dengan dua gol. Mereka hanya perlu bermain secara rilek dan berhati-hati.

Menurut K.Rajagopal, kecederaan Aidil Zafuan di minit-minit awal telah merencatkan taktikal pasukan negara. Manakala bahagian serangan gagal berperanan dan hilang kreativiti. Nasib baik penjaga gol Khairul Fahmi bermain dengan cemerlang dan telah menyelamatkan banyak percubaan dari penyerang Singapura yang boleh menghasilkan gol.

Apa yang menjadi persoalan ialah tindakan K.Rajagopal yang sering menurunkan Ahmad Fakri Saarani berbanding dengan Ashari Samsudin. Fakri yang masuk menggantikan Abdul Hadi Yahya jelas tidak berkesan, malah telah dilayang kad merah dan di arah keluar padang.

Sebagaimana dalam perlawanan lalu Fakri hanya berlari dan berlegar di atas padang sahaja tanpa gerakan-gerakan menarik. Manakala orang tidak lupa peranan dan sumbangan Ashaari Samsudin yang telah berjaya melorong bola ke arah Safee Sali yang telah menghasilkan gol memusnahkan harapan Indonesia di final Piala AFF di Jakarta yang lalu.

Bagaimanapun, seperti pandangan umum bahawa K.Rajagopal, sebagai jurulatih pasti lebih memahami para pemainnya dalam menentukan siapa yang patut berada dalam kesebelasan utama.

Walaupun tewas pasukan negara perlu bangkit dan menganggap kekalahan ini sebagai ikhtibar dan pengajaran berguna bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang. Mereka masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah.

FAM pula perlu mengekalkan skuad yang ada untuk tempoh jangka waktu yang lama lagi. Mereka tidak perlu dihukum akibat kekalahan ini. Cuma perlu ada sedikit rombakan beberapa orang pemain.

 .

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan