"KALAH bermaruah" begitulah antara tajuk berita akhbar harian tempatan ekoran kekalahan pasukan negara ditangan Singapura secara agreget 4-6 sekaligus menafikan peluang ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2014.
Bermaruah, barangkali dalam ertikata pasukan Harimau Malaya terdiri dari pemain-pemain muda dan 100% Malaysian berdepan dengan pasukan Singa yang jelas bergantung penuh pada pemain-pemain importnya seperti Alexander Duric (Serbia), Mustafic Fahrudin (Bosnia), Daniel Bennett (England), Qiu Li dan Shi Jiayi (China).
Merekalah merupakan aktor dan faktor sebenar merobekkan benteng pertahanan Malaysia. Kesemua enam gol yang dijaringkan adalah sumbangan mereka. Di tambah pula dengan Radojko Avramovich, jurulatih dari Serbia.
Kita perlu berbangga dengan persembahan Harimau yang bermain bersungguh-sungguh dan sedaya upaya, namun apakan daya pasukan lawan lebih bagus. Tetapi perjuangan belum selesai dan banyak lagi cabaran menanti pemain-pemain muda kita yang mempunyai potensi besar bagi menghadapi Piala Asia dan mempertahankan kejuaraan Piala AFF tahun depan.
Pemain seperti Khairul Fahmi, Muslim Ahmad, Fadli Shas, Mahali Jasuli, Assaruddin Omar, Gurusamy, Aidil Zafuan, dan ramai lagi, mereka semua masih dalam lingkungan 20an berbanding dengan sebahagian besar pemain Singapura yang telah berusia dan lebih berpengalaman.
Kita tewas dari segi pengalaman dan ini akan menjadi satu pelajaran bagi para pemain muda kita untuk bangkit dan menebus kembali maruah bolasepak negara. Dan apa yang penting sekali membalas sokongan yang telah ditunjukkan oleh seluruh peminat tanahair yang telah membanjiri stadium mencecah 90,000; satu rekod dalam sejarah perlawanan bolasepak tanahair sejak zaman Mokhtar Dahari.
Sambutan dan sokongan para peminat terhadap Harimau Malaya adalah luar biasa dan hebat. Ini semua memberi petanda positif pada masa depan sukan nombor satu di negara ini..
Lebih mengharukan, walaupun tewas para peminat dan penyokong setia ini terus memberi sokongan tanpa berbelah bagi. Kini giliran Harimau Malaya pula membalas segala sokongan yang telah diberikan dengan tidak mengecewakan mereka dengan mencipta satu kebangkitan baru dalam kejohanan akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan