Selasa, 12 Julai 2011

Datuk Ibrahim Ali pemimpin kontroversi


PRESIDEN Perkasa, Ibrahim Ali begitu menonjol kebelakangan ini malah kadang-kadang popularitinya boleh mengatasi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sendiri. Itulah Ibrahim Ali, dari satu isu ke satu isu melibatkan kepentingan melayu beliau berada di depan dan seolah-olah pada ketikanya dia berjaya menguasai suasana.

Trade mark Ibrahim Ali ialah melayu dan segala berkaitan dengannya. Beliau bukan ahli UMNO malah banyak ahli UMNO tidak menerimanya. Pemimpin UMNO yang sering bertelagah dengannya ialah Ketua Pemudanya, Khairy Jamaludin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Tan Sri Aziz.
Ibrahim Ali

Kedua tokoh UMNO ini tidak sebulu dengannya kerana sikap dan pendirian Ibrahim Ali bagi mereka boleh menjejaskan UMNO dan slogan satu Malaysia.

Ibrahim Ali sebenarnya berasal dari parti Pas semasa Datuk Asri Muda sebagai Yang Dipertua Pas. Dia keluar dari Pas ketika krisis politik Kelantan bergolak semasa Datuk Mohamad Nasir yang ketika itu sebagai Menteri Besar Kelantan dipecat oleh Pas pusat.

Akibat krisis politik Kelantan pada masa itu dia telah menyertai Datuk Mohamad Nasir menubuhkan parti Berjasa yang kemudian menganggotai Barisan Nasional. Selang beberapa lama Berjasa hilang taringnya dan tidak lagi berjasa pada Barisan Nasional dan kemudiannya telah hanyut dan mati tanpa kubur.

Justeru itu beliau telah menyertai UMNO dan berjaya menjadi salah seorang hulubalangnya. Dalam UMNO Ibrahim Ali menjadi seorang pengikut setia pada Tengku Razaleigh Hamzah yang telah mencabar Dr.Mahathir bagi jawatan Presiden UMNO.

Setelah Ku Li tewas pada Dr.Mahathir dan membuka laluan pada penubuhan parti Semangat 46 yang dipimpin oleh Ku Li, Ibrahim Ali terus menjadi salah seorang pemimpin tertinggi dalam parti tersebut. Semasa dalam 46 beliau mengecam hebat pimpinan Dr.Mahathir.

Tetapi setelah Ku Li membubarkan parti 46 (parti tak cukup angka) itu beliau bersama Ku Li serta para pemimpin lainnya telah menyertai semula UMNO.  Dalam UMNO dia tidak lama kerana beliau sekali lagi mencetuskan kontroversi gara-gara tidak berpuas hati dengan UMNO pusat yang tidak memilihnya sebagai calon dalam pilihanraya sedangkan beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas.

Oleh kerana dia tidak terpilih sebagai calon di kawasan parlimen Pasir Mas, dia telah bertindak bertanding juga di kawasan tersebut sebagai calon Bebas. Dalam pilihanraya tersebut beliau tewas di tangan calon Pas. Akibat tindakannya itu UMNO telah memecatnya dari menjadi ahli.

Pada PRU 12 yang lalu Ibrahim Ali sekali lagi masuk bertanding sebagai calon Bebas di Pasir Mas. Pasir Mas merupakan kubu kuat beliau. Namun rekod menunjukkan beliau tidak pernah menang di kawasan ini sebelumnya. Dalam PRU 12 lalu, Pas mempunyai strateginya sendiri dengan menarik diri calonnya dan memberi laluan pada Ibrahim Ali sebagai calon Bebas, tetapi bertanding atas tiket Pas.

Strategi Pas berjaya kerana Ibrahim Ali telah memenangi kawasan itu dengan majoriti yang selesa, sesuatu yang beliau tidak mampu lakukan sebelum ini walaupun semasa berada dalam UMNO. Dengan kata lain, Pas telah berjaya dan berjasa pada Ibrahim Ali kerana menghantarnya ke parlimen.

Setelah beliau berada di parlimen, apa pula ceritanya ? Seperti biasa Ibrahim Ali tetap seperti Ibrahim itu juga seperti mana sejak beliau berpolitik semasa Datuk Asri lagi. Dalam parlimen suaranya lantang lebih lantang dari para pemimipin UMNO dan Barisan Nasional. Ironinya, beliau menyerang Pas, parti yang telah membuka laluan untuknya ke parlimen.

Persoalannya, dalam PRU 13 nanti di manakah beliau akan bertanding ? Di Pasir Mas ? Atau di mana ? Di tempat lain selain Pasir Mas adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Kawasan dan kubunya hanya di Pasir Mas. Itupun harapan beliau untuk menang di kawasan ini adalah tipis.

Menurut tinjauan, rakyat Pasir Mas kini sedang menunggu ketibaannya dalam PRU 13 nanti. Apakah Ibrahim Ali ada berani ?

Ibrahim sering menggambarkannya  sebagai Panglima Adijagat pada para pengikutnya. Bagi para pemimpin pembangkang, terutamanya Karpal Singh beliau dianggap sebagai "katak"yang suka melompat. Terserahlah pada rakyat untuk menilai peranan dan sumbangannya dalam politik tanahair.

Namun apapun gambaran tentang Ibrahim Ali, beliau tetap merupakan salah seorang figur yang cukup menarik dan penuh kontroversi. Kehadiran beliau telah mewarnakan suasana politik negara.







.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan