Jumaat, 29 Disember 2017

Kepala Bapok Yakin Menang Dua Pertiga?

Kepala Bapok pernah menyatakan keyakinan betapa Umno dan BN akan menang majoriti dua pertiga di Parlimen pada Pru14 ini.

Apakah dia benar yakin atau sekadar melepaskan peluru kosong? Seperti dia memberikan angka-angka mengenai ekonomi negara - peratus itu naik, ini naik sedangkan rakyat dibawah menghadapi keperitan memikul kos kehidupan harian.

Ibarat berkata dan memberi gambaran sesuatu namun pada hakikatnya adalah berlainan apa yang sebenarnya berlaku.

Apa yang berlaku pada Felda, MARA, Tabung Haji dan lain-lain berkaitan isu rasuah dan penyelewengan adalah tidak masuk akal orang-orang melayu masih mahu bergantung pada Umno.

Ketiga institusi tersebut yang menjadi lambang kemegahan dan kemajuan orang melayu kini seolah dikhianati oleh mereka yang diamanahkan mengurusnya. Terbaru isu penipuan tanah Felda di jalan Semarak yang bernilai RM270 juta.

Isu rasuah dan penyelewengan semakin parah.  Dalam Umno sendiri sudah tidak ada check and balance sehingga semua menjadi tukang angguk dan Yes men!


Sudah sampai masa semua pemimpin yang ada hari ini ditukar. Negara dan rakyat berhak mendapat kerajaan dan pemimpin yang lebih baik dan berkualiti.

Dan ini boleh dilakukan pada Pru14 ini. Memang tidak masuk akal sekiranya majoriti rakyat masih mahu mengekalkan kerajaan yang terang korup dan tidak amanah untuk lima tahun lagi.

Rakyat berhak mendapat kerajaan baru dan mengheret para pengkhianat dan perasuah ke muka pengadilan.

Sudah cukup rakyat telah dimonyetkan dengan bermacam slogan dan mulut manis pemimpin yang mementingkan diri dan kelompok.

Kali ini rakyat tidak akan lagi terpengaruh dengan ungkapan emosi demi bangsa, agama dan negara semata-mata untuk mendapat undi.  Malah menggunakan perkataan "Allah" sekalipun tidak akan menyelamatkan mereka lagi.

Ahad, 10 Disember 2017

Dr Mahathir Bukan Kuda DAP

Umno sering menuduh bahawa Dr Mahathir menjadi alat DAP dalam Pakatan Harapan.  Sekiranya pembangkang berkuasa maka yang berkuasa sebenarnya adalah DAP bukan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan.

Tuduhan ini tidak benar.  Dan ini dibuktikan sendiri oleh pegawai khas Perdana Menteri dalam satu perjumpaan tertutup masyarakat Cina anjuran parti Gerakan.

Dalam majlis itu pegawai khas PM telah menimbulkan persoalan apakah kaum Cina sanggup diperalat dan dipergunakan Dr Mahathir dalam percaturan politiknya yang licik seperti 22 tahun ia berkuasa.  Tambahnya politik Dr Mahathir adalah memperalatkan orang lain untuk kepentingan dirinya.

Pegawai Khas itu mahu menyedarkan kaum Cina yang majoritinya memberi sokongan pada pembangkang pada Pru13 lalu agar tidak terpedaya kerana bukan DAP yang berkuasa sebaliknya Dr Mahathir.

Sedangkan seluruh pimpinan dan jentera Umno selama ini cuba menggambarkan Dr Mahathir tidak berkuasa dalam PH malah hanya menjadi alat DAP bagi menawan Putrajaya.

Lim Kit Siang dan Dr Mahathir

Umno kini sedang menggelabah bagi menghadapi Pru14. Sekejap kata Dr Mahathir diperalatkan DAP.  Dan ini pegawai PM sendiri mengakui sebaliknya kaum Cina yang mengundi DAP lah akan diperalatkan Dr Mahathir.

Yang sebenarnya Umno takut dengan gabungan Dr Mahathir dan Lim Kit Siang akan menarik banyak undi melayu dan Cina pada PH dalam Pru14 ini.

Sebab itulah kedua tokoh ini perlu diserang dan diburukkan imej mereka agar Umno dan BN tidak kehilangan undi.

Kenyataan pegawai khas PM itu telah membantu menjawab dengan jelas terutama pada pengundi melayu bahawa Dr Mahathir bukan menjadi alat DAP dalam merebut kuasa di Putrajaya. 

Jumaat, 8 Disember 2017

Umno Gerun Pengaruh Dr Mahathir

Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil memberi peringatan pada orang-orang melayu sama ada memilih Najib Razak menerajui negara ini atau membiarkan "Maharaja" Lim berkuasa penuh dalam Pru14 ini.

Maharaja Lim yang dimaksudkannya ialah pemimpin DAP, Lim Kit Siang. Tambahnya lagi,  sekiranya orang melayu dan Islam ingin terus dimartabatkan maka mereka perlu memilih Najib.

Ertinya,  hanya dua pilihan, pilih Najib (kerajaan)  atau Maharaja Lim (pembangkang).

Umno sentiasa memainkan isu sekiranya Umno tumbang maka DAP Cina lah yang berkuasa di Putrajaya.

DAP sentiasa menjadi modal pada Umno bagi menakut-nakutkan orang-orang melayu betapa mereka akan kehilangan segala-galanya di tanahair mereka sendiri sekiranya Umno kehilangan kuasa.

Sebenarnya dua pilihan yang disebut Ketua Wanita itu tidak betul dan mengelirukan. Yang sebenarnya dua pilihan itu bukan antara Najib atau Lim Kit Siang.  Tetapi adalah antara Najib (kerajaan) atau Dr Mahathir (pembangkang).

Kerana Dr Mahathir adalah calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pru14 akan datang. Kit Siang bukan calon PM.


Umno tahu dengan mengaitkan nama DAP dan Lim Kit Siang, mereka dapat mempengaruhi pengundi melayu agar tidak menyokong pembangkang.

Umno cukup faham sekiranya diberi pilihan antara Najib atau Dr Mahathir maka orang melayu akan berbelah bagi dan seimbang dalam membuat pilihan.

Justeru itu digambarkan bahawa DAP lebih berkuasa dalam Pakatan Harapan dan Dr Mahathir hanya menjadi kuda tunggangan DAP.

Mereka yang low IQ dan "slow learners" (pinjam istilah Ku Nan) sahaja yang percaya tohmahan Umno itu.

Sepanjang 22 tahun menjadi PM, Dr Mahathir telah membuktikan dia tidak mudah diperalatkan oleh sesiapa termasuk kuasa besar seperti Amerika, Russia atau China. Sebab itulah dia lantang bersuara di arena antarabangsa dalam memperjuangkan kepentingan dunia ketiga dan sedang membangun.

Dalam era pentadbirannya,  PM Australlia,  Paul Keating dan PM Singapura,  Lee Kuan Yew terpaksa memohon maaf pada negara dalam isu hubungan diplomatik.

Inikan Lim Kit Siang, hanya tokoh pembangkang tempatan.  Dr Mahathir bukan tokoh politik setaraf Kit Siang apa lagi sama level dengan Najib.

Terbukti lagi sehingga kini kekuatan hujah dan sanggahan (rebuttal)  Dr Mahathir dalam banyak isu negara tidak dapat disanggah Najib dengan menyakinkan rakyat.

Banyak hujah dan sanggahan Najib bertaraf remeh temeh dan tidak matang seperti mengungkit soal keturunan dan sebagainya.  Isu sebenar tidak dijawab dan disanggah.

Inilah yang digeruni Umno terhadap pengaruh Dr Mahathir dalam Pru14 ini. 

Khamis, 7 Disember 2017

PRU14 : Kepala Bapak Tiada Pilihan

Umno akan menghadapi PRU14 ini dalam suasana yang maha berat seperti yang diakui para pemimpinnya sendiri sebagai ibu segala pilihanraya.

Sudah dua kali PRU 12 dan 13, Umno/BN telah hilang kelebihan majoriti dua pertiga di Parlimen.  Malah kehilangan undi popular di kalangan rakyat.

Umno/BN tidak mungkin dapat menerima keputusan seperti itu buat kali ketiga.

Tugas Umno amat berat bukan sahaja perlu mengembalikan kemenangan majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi perlu merampas kembali Selangor yang telah ditawan pembangkang selama dua penggal.

Pertama : majoriti dua pertiga.
Kedua.    : Selangor mesti dirampas kembali.

Kedua matlamat itu mesti dicapai sekaligus.  Sekiranya salah satu dicapai dan satu lagi gagal ia dianggap sebagai satu kegagalan dan kelemahan.  Ertinya, Umno tiada pilihan melainkan mencapai matlamat keduanya.

Sekiranya gagal bukan sahaja Umno akan menerima malapetaka bahkan Presiden parti merangkap Perdana Menteri tiada pilihan selain berundur dan meletakkan jawatan.

Tidak mungkin Presiden parti akan kekal sekiranya senario itu berlaku.  Pertama ia adalah soal prinsip dan maruah. Kedua ahli-ahli parti akan menuntut pengunduran serta memberi laluan pada pimpinan baru.  Dan ini adalah pasti kecuali ahli-ahli parti telah dirasuk dan disumbat dedak hingga ke hidung.

Justeru itu Kepala Bapak tidak mempunyai banyak pilihan.  Dia mesti mencapai matlamat serampang dua mata tersebut.  Sekiranya gagal dia boleh ucapkan selamat tinggal Putrajaya.

Kepala Bapak akan berusaha berhabis-habisan dan bermati-matian bagi mencapai kejayaan dengan apa cara sekali pun.  Kerana PRU14 ini akan menentukan bukan sahaja nasib masa depan Umno tetapi yang maha penting kedudukan kepala bapak sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

Semoga PRU14 ini akan berlangsung secara adil dan telus dan bukannya ditentukan oleh tangan-tangan ghaib yang bergerak dibelakang tabir secara tersirat bukan tersurat.


Isnin, 4 Disember 2017

Tarikh PRU Tiada Suspen Lagi

PRU14 semakin dekat dan tinggal hanya lapan bulan dari sekarang iaitu tidak melangkau bulan Ogos 2018.

Sejak 2003 selepas Dr Mahathir melepaskan jawatan PM dengan memberi laluan pada Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya pada Najib Razak pada 2009 tarikh pilihan raya umum bukan lagi menjadi satu kejutan atau suspen.

Kerana pada masa Abdullah Badawi menjadi PM, dua kali PRU diadakan pada 2004 dan 2008 ia diadakan pada tempoh penghujung tarikh matang pembubaran Parlimen. Ertinya, ia berlaku seperti hari ini di mana tinggal beberapa bulan sahaja tempoh tamat mandat.

Begitu juga Najib selepas mengambil alih jawatan daripada Pak Lah,  dia juga ikut jejak Pak Lah dengan mengadakan PRU 13 pada 2013 di saat akhir tamat tempoh mandat kerajaan.

Justeru langkah kedua mereka dalam soal tarikh PRU sudah tidak suspen dan menjadi kejutan jika dibandingkan semasa Dr Mahathir sebagai PM. Orang ramai sudah boleh meramalkan bila PRU akan diadakan. Kerana ia sudah tinggal beberapa bulan sahaja bukan tahun - tarikh tamat tempoh terbubarnya Parlimen.


Ini amat berbeza semasa zaman Dr Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun dan telah mengadakan PRU sebanyak lima kali. Dan kesemuanya kerajaan berjaya memenangi dengan majoriti dua pertiga.

Yang menariknya Dr Mahathir dalam lima kali PRU semasa dia berkuasa dia sering mengamalkan "snap election" atau pilihan raya secara mengejut.  Ia itu PRU diadakan dalam tempoh yang tidak disangka atau diramalkan oleh pihak pembangkang.

 Dan kerapkali Dr Mahathir membubarkan Parlimen setahun lebih awal dari tarikh tamat tempohnya yang sebenar. Ertinya dia sering mengadakan PRU lebih awal tidak seperti Pak Lah dan Najib yang melakukannya dipenghujung mandat atau disaat akhir.

Apa yang jelas pada masa Dr Mahathir tarikh PRU sentiasa menjadi teka teki dan suspen. Bukan seperti sekarang di mana suasana suspen itu sudah tidak ada lagi kerana orang sudah boleh ramalkan kerana ia sudah sampai penghujung tempoh beberapa bulan sahaja lagi.

Seperti sekarang orang sudah boleh agak bila PRU14 akan diadakan kerana ia hanya berbaki beberapa bulan sahaja dari tarikh akhirnya pada Ogos 2018.

Tidak ada kejutan dan suspen lagi sepertimana PRU yang telah diadakan dari tempoh 1981 sehingga 2003.

Sabtu, 18 November 2017

Bila Pilihan Raya? Lambat lagi ke?

Selepas menggunakan perkataan "kepala bapak kau" dan "sekor dua" bagi menyindir Dr Mahathir,  PM Najib Razak sekali lagi cuba merendahkan martabat negarawan itu yang sering merujuk Najib sebagai perompak, penyamun, penyangak dan pencuri wang negara.

Kali ini Najib menimbulkan isu Dr Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun tidak pernah melawat sebuah hospital swasta yang dimiliki masyarakat Cina.

Berbeza dengan beliau yang datang melawat dan memberi bantuan sebanyak rm3 juta untuk hospital tersebut.

Begitulah usaha Najib cuba merendahkan dan menempelak Dr Mahathir sebagai musuh utama politiknya.


Jelas cara itu nampak sangat beliau dalam keadaan tertekan.  Kata-kata yang keluar daripada mulutnya serta perbandingan yang beliau cuba gambarkan lebih menyerlahkan betapa rendah martabatnya sebagai seorang Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Perbandingan isu lawatan ke hospital swasta Cina itu tidak memberi sebarang manfaat dan impak langsung pada rakyat khasnya masyarakat Cina.

Ianya sekali lagi satu bukti cara Najib menggunakan "Cash Is King" bagi meraih sokongan dan simpati.

Najib lupa orang Cina lah yang menyokong Dr Mahathir memenangi majoriti dua pertiga dalam Parlimen selama 22 tahun berkuasa.

Cara Najib ini tidak lebih hanya membuktikan beliau hanya standard dan sama level dengan politikus seperti Noh Omar, Jamal Nasi Free dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya.

Bila pilihanraya ni? Lambat lagi ke?
Hehe... 

Rabu, 25 Oktober 2017

Sikap Mudah Lupa

Sudah berbulan berlalu janji seorang mamak peguam mahu membuat kenyataan tentang tuduhan dia ada menerima bayaran RM9.5 juta daripada pahlawan Bugis telah menjadi kelabu asap.  Janji dicapati. Orang pun sudah lupa. Mungkin itulah harapannya. Kerana melayu mudah lupa.

Duit 9.5 juta itu dikatakan dari dana SRC yang mempunyai kaitan dengan 1MDB. Peguam yang berprofil tinggi itu mungkin ingin mengikuti langkah pahlawan Bugis yang mahu menyaman The Wall Street Journal (WSJ) ekoran laporan tentang 1MDB.

Bugis itu janji akan saman WSJ pada hari Selasa sejurus laporan itu diterbitkan.  Dan sehingga kini sudah beribu hari Selasa, satu habuk pun tarak.  Kelabu asap.

Ini pun kes mengharapkan orang akan lupa begitu sahaja.  Melayu memang mudah lupa.

Berita terkini Timbalan Perdana Menteri yang berasal dari Jawa menyatakan di Parlimen bahawa kes Jho Low ditutup dan polis tidak dapat mengesan di mana dia berada.

Jho Low yang sudah dikenali seluruh dunia sebagai arkitek dalam skandal 1MDB yang melibatkan berbillion wang dicuri dan dibelanjakan untuk bermewah-mewah sebagai harta peribadi.

Dia kini dalam pelarian.  Diberitakan kehidupannya kini hanya di atas kapal layarnya yang serba mewah.  Sekiranya mendarat dan silap haribulan dia bakal ditahan.


Dilaporkan kapal layarnya itu sekejap berada di lautan lokasi berdekatan dengan Hong Kong dan Filipina.  Terbaru ia berada dilokasi berhampiran pulau di Acheh.

Dalam konteks melayu mudah lupa dengan hampirnya Bajet 2018 sudah tentu banyak berita yang akan mengembirakan seluruh rakyat yang kini ditekan dengan segala kos meningkat dan terus naik tinggi.

 Justeru Pru 14 boleh diadakan dalam suasana mood bajet dan tentunya sikap mudah lupa terhadap isu-isu yang mengancam rakyat dan negara.



Khamis, 12 Oktober 2017

Kassim Ahmad

Kassim Ahmad telah pun meninggal dunia dalam usia 84 tahun.

Seorang tokoh pemikir, ahli akademik,  intelektual, penyair dan pengarang yang disegani.

Allahyarham dikenali umum sebagai tokoh anti hadis melalui bukunya yang diharamkan - Hadis Satu Penilaian Semula.

Saya baca buku tersebut bagi memahami apa isi kandungan buku itu dan pemikirannya.

Saya bukan pentaksub Kassim Ahmad dan pengikutnya.  Tetapi mengkagumi keberaniannya dalam mempertahankan apa yang diyakininya secara rasional dan ilmiah. Hujah balas dengan hujah.

Saya tidak mengenali dirinya apa lagi pernah bertemu. Namun saya mengikuti perkembangan dan hasil karya buku-bukunya.

Dan paling saya tidak akan lupa dan kekal dalam kenangan adalah suratnya yang terbit dalam akhbar Berita Harian, 1985, menegur pandangan dalam satu rencana saya yang menyentuh peribadinya.

Ahad, 8 Oktober 2017

Ulasan Sukan

Saya sudah lama tidak membaca dan membeli akhbar Utusan dan Mingguan Malaysia. Satu ketika dahulu setiap Ahad,  Mingguan mempunyai nashkah Pancaindera sebagai sisipan di dalamnya. Tidak pasti adakah nashkah Pancaindera itu masih kekal.

Dahulunya dalam setiap keluaran hari Ahad selain halaman hiburan ia diisi ruangan Sukan.

Saya perhatikan setiap minggu ruangan sukan itu diisi dan ditulis oleh pengarang sukan akhbar itu sendiri atau para wartawan Utusan. Saya kira tiada penulis luar yang menyumbang rencana sukan dalam halaman tersebut.

Jadi saya mencuba dan memberanikan diri menghantar beberapa rencana sukan kepada pengarang sukan waktu itu - tahun 1985.

Saya menulis dan mengulas tentang sukan kerana ia adalah mudah disamping saya pula meminati sukan bolasepak.

Akhirnya saya gembira kerana dua ulasan tentang isu bolasepak disiarkan.

Sabtu, 7 Oktober 2017

Sweet Yellow Cafe

Semasa berkunjung ke Patani,  Selatan Thailand beberapa minggu lalu saya singgah minum petang di sebuah cafe yang begitu cantik dan selesa.

Sweet Yellow Cafe yang terletak dipinggir jalan dalam jarak sekitar 1.5 km dari bandar Patani.  Menunya berasaskan makanan ala barat.

Ruang makan berhawa dingin. Pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menikmati udara di luar yang dihiasi pokok-pokok yang meredupkan suasana. WiFi percuma disediakan.

Cafe ini dimiliki orang muslim yang mempunyai pengalaman bekerja di England.  Mungkin pengalaman itu menjadikan cafe ini kelihatan ala-ala Inggeris.

Saya sempat menikmati kopi panas dan dua keping sandwich.










Khamis, 5 Oktober 2017

Menulis Tanpa " By Line "

SETIAP penulis muda atau penulis yang baru belajar menulis akan merasai kepuasan bila hasil penulisannya itu diterbitkan pihak akhbar atau majalah.

Biar pun kadangkala hasil penulisannya yang diterbitkan itu tidak mendapat bayaran namun berasa puas apabila namanya terpampang disamping hasil karyanya.

Dengan nama tercetak dalam akhbar dan majalah yang disebut sebagai " By line" akan dianggap satu kejayaan dan kepuasan bagi seseorang penulis.

Ada juga kadang-kadang berlaku sesebuah hasil penulisan yang diterbitkan itu tidak disertakan nama penulisnya.  Ertinya, hasil penulisan itu diterbitkan tanpa nama si penulisnya.

Tidak pasti kes seperti ini berlaku dengan sengaja atau pihak pengarang tidak menyiarkan nama si penulis di atas sebab-sebab tertentu.

Saya sendiri ada mengalami pengalaman seperti ini.  Antara rencana-rencana yang saya kirim pada pihak akhbar ada dua atau tiga rencana yang diterbitkan itu tidak memaparkan atau memberikan "by line" nama saya sebagai penulisnya.

Sebagai penulis yang baru belajar mengirim rencana pada pihak akhbar sudah tentu berasa kecewa bila melihat hasil penulisan diterbitkan tanpa disertakan nama.

Bila ia berlaku pada diri saya,  saya sungguh kecewa.  Marah pun ada. Hehehe...

Namun perasaan itu tidak berpanjangan kerana saya melihat dari sudut positif. Saya kira pada ketika itu bila hasil penulisan berjaya diterbitkan maka ia adalah satu kejayaan dan pengiktirafan. Justeru itu saya gandakan lagi usaha saya agar terus menulis tanpa rasa bosan dan jemu.

Dibawah ini adalah keratan akhbar rencana saya yang diterbitkan tanpa "by line" itu.


Anugerah Kartunis

SATU rencana telah diterbitkan dalam Berita Harian pada 13 Jun 1985, ruangan Sastera dan Budaya.

Dalam rencana itu saya membangkitkan betapa di negara kita mempunyai berbagai anugerah. Anugerah Sastera, Wartawan, Cerpenis dan lain-lain lagi. Namun tiada pula anugerah pada para kartunis. Sedangkan kita mempunyai ramai kartunis yang hebat dan berbakat besar.

Saya kira itu adalah sumbangan kecil dan sokongan saya terhadap para kartunis tempatan yang tidak kurang hebatnya berbanding para kartunis antarabangsa.

Thursday Lite

Rabu, 4 Oktober 2017

Bertemu Raja Nazrin Shah Di Kinokuniya

KEDAI buku adalah antara tempat paling pasti saya kunjungi bila ke sesuatu destinasi atau negeri.  Tidak berkunjung ke kedai buku ibarat seperti tidak lengkap rasanya perasaan dalam diri.

Saya boleh habiskan masa berjam-jam tanpa rasa bosan dan jemu bila berada di dalam kedai buku.  Apa lagi dalam toko buku yang serba besar dan lengkap serta selesa.

Sekiranya saya berkunjung ke Kuala Lumpur,  maka banyak pilihannya.  Kerana di ibu kota begitu banyak kedai-kedai buku yang besar dan menarik.

Tetapi yang paling saya suka dan sering berkunjung adalah di Kinokuniya, KLCC.  Setiap kali ke KL,  saya pasti tidak ketinggalan ke Kinokuniya.

Walaupun harga buku-buku di situ agak tinggi namun saya pastikan hanya memilih buku yang berkualiti isi kandungannya dan menepati selera di hati.

Dalam beberapa kali ke sana saya sungguh bernasib baik kerana pada satu ketika pada Januari 2016, saya terserempak dengan Yang Mulia Sultan Perak,  Raja Nazrin Shah. Ketika itu baginda sedang membelek-belek dan memilih buku yang terletak di rak buku.

Saya dapat lihat seorang Pegawai peribadinya sedang membawa sebuah bakul yang berisi beberapa buah buku berjalan dibelakang baginda. Sedang Raja Nazrin kelihatan memilih buku dan meletakkannya di dalam bakul tersebut.

Lantas saya memberanikan diri memberi salam padanya serta memperkenalkan diri. Baginda begitu merendah diri menjawab dan kami berjabat tangan.  Kami berbual ringkas.  Lalu saya mohon izin untuk berselfie ! Baginda tanpa melengah-lengah memanggil Pegawainya itu mendapatkan handfon ditangan saya.

Selepas bergambar saya berjabat tangan dan mengucapkan berbanyak terima kasih.  Baginda membalas dengan senyuman. Saya terus melangkah undur dan beredar.

Kemudian dari jauh saya dapat lihat seorang dalam usia 60an sedang berbual dengan Baginda.  Selepas itu dia juga turut berselfie !


Jumaat, 29 September 2017

Akhbar Politik Mingguan

Mingguan Tanahair.

Ini adalah salah satu tulisan yang diterbitkan di mana mulanya saya belajar dan mencuba menulis isu politik tanahair.  Dan saya rasa cukup berterima kasih pada Mingguan Tanahair yang telah memberi peluang dan ruang pada saya mencuba bakat.

Mingguan Tanahair adalah antara akhbar mingguan politik tempatan yang popular selain akhbar Watan.

Namun ia tidak bertahan lama dipasaran. Keratan akhbar ini adalah pada tahun 1986.

WASPADA

Akhbar Waspada

Ini adalah keratan akhbar harian Waspada yang menerbitkan tulisan saya yang pertama sejak berminat menceburi bidang penulisan sejak awal 1981.

Harian Waspada adalah akhbar harian utama di Medan, Sumatera Utara pada waktu itu.

Buku

Antara Buku dan Teknologi Moden

Ini adalah beberapa buah buku yang sudah lama tidak dibaca. Tersadai begitu sahaja. Kadang-kadang buku-buku ini perlu dibaca berulangkali bagi memahami isi kandungannya dengan lebih mendalam
.
Namun dalam era teknologi yang begitu pesat berkembang kita lebih menghabiskan masa membaca dan mencari maklumat menerusi smart phone: melayari FB, blog, portal berita dan sebagainya.

Saya sendiri terperangkap dan lalai sehingga buku-buku sudah jarang disentuh lagi.

Memang membaca buku dengan memegang dan menyentuhnya mempunyai kepuasan yang tersendiri berbanding membaca melalui smartphone, laptop dan lain-lainnya. 

Basikal

Kayuh Basikal

Mengayuh basikal adalah satu hobi yang paling seronok pernah saya alami. Kini sudah hampir dua tahun mengayuh hampir setiap pagi atau petang.

Dalam usia melangkau lebih lima dekad mengayuh setiap hari boleh membantu agar badan sihat dan cergas. Lebih-lebih lagi dapat menghindar berbagai penyakit.

Apa yang saya lalui, semakin hari berkayuh semakin mendalam minat terhadap dunia basikal dan kayuhan.

Gambar basikal dibawah ini adalah basikal saya yang kedua. Yang pertama saya miliki adalah jenis mountain bike. Basikal kedua ini adalah jenis touring bike. Dan saya sungguh minat dengan basikal jenis touring ini.

Selain tayarnya yang lebih kecil ia sungguh ringan serta laju semasa mengayuh.

Setiap hari saya pastikan dapat mengayuh sekurang-kurangnya dari 10km hingga 20km pergi dan balik. Ia mengambil masa antara 30 hingga 45 minit.

Dan kini menyimpan hasrat agar dapat mengayuh secara jarak jauh pada satu hari nanti.

Khamis, 7 September 2017

Rizal Mansor Pegawai Khas Perdana Menteri??

BERAPA lama dulu kita sering mendengar dan membaca kenyataan pemimpin Umno dan Timbalan Menteri, Ahmad Maslan.  Banyak kenyataannya mempertahankan dasar kerajaan dan membela Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiap kali Ahmad Maslan membuat kenyataan ia menimbulkan kontroversi.  Ramai yang memperlekeh dan mentertawakan setiap kali dia membuka mulut. Asal saja dia bercakap,  umumnya ramai yang gelak.  Sehingga orang menggelarnya Mat Maslan IQ 3.5.

Tetapi sejak akhir ini Mat Maslan sudah agak tenggelam.  Tiada apa lagi kontroversi.  Dia agak kurang membuat kenyataan dan lebih ke arah "low profile".

Selepas cerita Mat Maslan reda timbul pula pemimpin Umno, menteri dan merangkap Pengarah Strategik BN,  Abdul Rahman Dahlan. Dia pula ganti Mat Maslan yang banyak mengeluarkan kenyataan membela PM Najib Razak.

Dan kenyataan paling cerdiknya sebagai Pengarah Strategik BN adalah membuat pengakuan bahawa MO1 adalah Najib Razak.

Kini Rahman Dahlan pun mengikut jejak Mat Maslan bersikap low profile. Tiada lagi membuat kenyataan-kenyataan seperti sebelumnya.

Rizal Mansor

Setelah tenggelamnya Mat Maslan dan Rahman Dahlan kini timbul pula seorang lagi iaitu namanya Rizal Mansor.

Dia ini bukan menteri. Juga bukan pemimpin tertinggi parti.  Sekarang ini dia yang banyak membuat kenyataan mempertahankan Umno dan Najib. Malah menyerang Dr Mahathir!!

Yang peliknya setiap kali portal berita melaporkan tentang Rizal Mansor, ia disebut sebagai Pegawai Khas atau pembantu isteri PM Rosmah Mansor. Itulah pangkat dan jawatannya yang sering digunakan dalam setiap laporan.

Bukan setakat itu sejak akhir-akhir ini pula berita menyebutnya sebagai Pegawai Khas Perdana Menteri pula.  Entah yang mana satu yang betul - Pembantu Rosmah Mansor atau Pegawai Khas PM ?

Apa pun setiap kali dia membuat kenyataan politik memang kalah Mat Maslan dan Rahman Dahlan. Kenyataannya lebih power daripada sesetengah pemimpin MT Umno.  Rizal bukan ahli MT Umno.  Dia hanya pemimpin peringkat bahagian.

Sekiranya dia pembantu atau pegawai khas Rosmah,  maka belum ada dalam sejarah negara mempunyai jawatan pegawai seperti ini sejak zaman Tunku Abdul Rahman sehingga zaman Abdullah Ahmad Badawi. Kesemua zaman lima Perdana Menteri dahulu tidak wujud jawatan Pegawai Khas isteri PM yang kerjanya bercakap pada media. Apa lagi bercakap soal politik!

Tetapi sekiranya Rizal Mansor adalah Pegawai Khas PM,  saya kira dia tidak layak memegang jawatan itu berdasarkan statement yang dikeluarkannya.  Level atau standardnya terlampau rendah !


Isnin, 4 September 2017

Tulisan Dalam Akhbar Watan


KERATAN akhbar di atas adalah antara tulisan diperingkat awal penglibatan saya dalam bidang penulisan. Tulisan itu diterbitkan dalam akhbar mingguan Watan, Ogos 1983.

Sebenarnya tulisan saya yang pertama diterbitkan lebih awal iaitu pada tahun 1981 dalam akhbar Harian Waspada, Medan,  Indonesia ketika menjadi mahasiswa di sana. 

Namun keratan tulisan dalam Watan itu saya anggap paling memberi kesan yang mendalam pada diri saya. Ia memberi kesedaran betapa pentingnya menguasai bahasa Inggeris. 

Ketika tulisan itu ditulis saya masih berusia 21 tahun. Masih kurang matang lagi. Saya masih ingat saya deraf tulisan itu dengan tangan. Selepas mengeditnya saya taip di mesin taip. 

Setelah mengeposnya di pejabat Pos yang disertakan sepucuk surat kepada Pengarang memohon pertimbangannya untuk disiarkan. Dan dalam tempoh dua minggu , Watan menerbitkannya. 

Saya berasa sungguh gembira dan bangga kerana akhbar Watan ketika itu dibarisi para kolumnis terkenal seperti Ahmad Boestamam dan Subky Latiff. 

Tetapi saya lupa siapa Ketua Pengarangnya. 


Sabtu, 2 September 2017

Anwar Ibrahim Tidak Berdendam Dr Mahathir

ADA pemimpin Umno menganggap usaha PKR melalui Azmin Ali mahu berunding dengan PAS dikira sebagai tanda Anwar Ibrahim masih berdendam dan tidak yakin dengan pimpinan Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan.


Entah kenapa sampai ke situ tafsiran orang Umno. Ini mungkin disebabkan kebencian mereka terhadap Dr Mahathir,  terutamanya pakatan Mahathir - Anwar bagi menghadapi Pru14.


Sebenarnya isu hubungan PKR - PAS timbul dan direstui Anwar adalah disebabkan faktor kerusi Parlimen Permatang Pauh.


Kerusi ini asalnya adalah kubu kuat PAS di Pulau Pinang sehinggalah dirampas BN selepas Anwar menyertai Umno. Semenjak itu Permatang Pauh kekal milik Anwar yang bertukar ganti dengan isterinya,  Dr Wan Azizah sehingga hari ini.


Jadi Anwar dan Wan Azizah kekal di Permatang Pauh atas tiket BN dan PKR.
Apabila PAS kini tidak bersama Pakatan Harapan maka ia mahu kembali merampas Permatang Pauh.


Sebelum ini pun sejak Anwar dipecat dari Umno jentera PAS banyak membantu Anwar atau isterinya mengekalkan kerusi tersebut dalam setiap pilihanraya.


Dan PAS telah umumkan ia akan letakkan calon di Permatang Pauh dalam Pru14 ini.


Ertinya,  calon Umno, PAS dan PKR akan bertembung tiga penjuru kali ini.  Dan ini tentunya akan melemahkan sedikit kedudukan Wan Azizah sebagai calon proksi Anwar yang masih dalam penjara.



Sekiranya PAS tidak bertanding maka calon PKR mempunyai kelebihan berbanding calon Umno.


Dengan PAS ikut serta bertanding secara otomatisnya undi PAS dan PKR terbahagi dua.  Sedangkan calon Umno dapat mengekalkan status quo di kawasan itu.


Tidak siapa dapat nafikan jentera akar umbi PAS lebih kuat berbanding PKR di situ. Senario ini lebih kurang sama berlaku di Selangor - namun tidak seberat menimpa di Permatang Pauh nanti.


Justeru itu Azmin yang mendapat restu Anwar berusaha mendampingi PAS walau pun kini terpaksa menerima keputusan penolakkan kerjasama dengan PAS dari pimpinan Pakatan Harapan. Azmin terpaksa akur seluruh pimpinan PH menolak bekerjasama dengan PAS.


Itulah faktornya usaha dalaman PKR mahu mendampingi PAS. Bukannya Anwar atau PKR berdendam dengan Dr Mahathir.

Ahad, 20 Ogos 2017

RCI Memali Pulak !!!

BAIK sungguh pendirian kerajaan bila bersedia dan sanggup menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali pada 1985 yang telah mengorbankan orang awam dan anggota polis.

Dan bertambah-tambah baik dan telus sekali bila kerajaan hingga sanggup menubuhkan RCI sekiranya ada permintaan dari individu, pertubuhan dan parti politik. Kita ulang sekali lagi, RCI akan ditubuhkan sekiranya ada permintaan !!


Wow!! Hebat! Itu bukan orang lain cakap. Tetapi Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang cakap dalam satu kenyataan. 

Kenyataan ini bukan daripada pemimpin Umno seperti Noh Omar, Mat Maslan atau Jamal Md Yunus. Kalau kenyataan tersebut keluar dari mulut mereka bertiga memang sah tidak boleh pakai.  Tetapi ini daripada TPM selaku Menteri Dalam Negeri. 

RCI telah pun ditubuhkan untuk menyiasat skandal forex Bank Negara. Kes Memali akan menjadi RCI kedua sekiranya sah ia ditubuhkan. 

Maka permintaan kita apakah tidak boleh adakan RCI bagi menyiasat skandal 1MDB juga? 
Kalau hendak dikira dari segi permintaan dari berbagai pihak dan golongan ia lebih mengatasi dari permintaan kes Memali. 

Dari dewan Parlimen hingga ke peringkat rakyat bawahan skandal 1MDB terus menjadi tumpuan dan minat ramai untuk mengetahui pihak mana atau siapa yang telah songlap duit 1MDB masuk dalam akaun peribadi individu tertentu. 

Ia perlu disiasat kerana ia melibatkan penyelewengan dan salah guna kuasa di mana kerajaan menjadi penjamin 1MDB.

Zahid Hamidi sebagai orang nombor 2 kerajaan mestilah bersikap tegas dan telus dalam menegakkan keadilan semua pihak.  Jangan lah ambil sikap pilih bulu dan melaksanakan dua set undang-undang.  Satu untuk pembangkang dan satu lagi untuk penyokong kerajaan. 

Tidak ada masalah RCI untuk forex Bank Negara dan Memali. Namun kenapa skandal 1MDB seperti terkunci rapat dalam kotak Akta Rahsia Rasmi??  Apa yang menjadi rahsia? 

Jangan anggap rakyat tidak ada mata dan telinga.  Mereka melihat apa yang berlaku.  Mereka juga pendengar dalam senyap. 




Rabu, 16 Ogos 2017

Selepas Tan Sri Isa Samad Giliran Jho Low Pula

SPRM sering dituduh hanya berani tangkap ikan bilis dalam kes rasuah.  Perasuah yang bertaraf VIP atau disebut ikan yu terlepas begitu sahaja.

Dengan penahanan Tan Sri Isa Samad, bekas Pengerusi Felda, bersabit kes pembelian hotel di London, ia dikira sebagai penahanan suspek bertaraf ikan yu.

Semua orang gembira dengan berita tersebut kerana sudah lama mereka menunggu-nunggu SPRM bertindak.  Kerana sudah menjadi rahsia umum kes rasuah dalam Felda yang melibatkan Tan Sri Isa. Seolah orang semua sudah tahu namun baru kini SPRM mengambil tindakan.

Diharap penahanan ini tidak setakat itu sahaja.  SPRM perlu berani dalam menjalankan tugas tanpa sebarang tekanan politik.


Sekiranya Tan Sri Isa Samad dianggap sebagai ikan yu, masih ada lagi ikan yu yang lebih besar lagi yang sepatutnya ditahan.

Orang itu yang dimaksudkan adalah Low Taek Jho atau Jho Low.  Dia adalah arkitek dan perancang utama dalam kemelut dan skandal 1MDB yang hilang billion-billion kerana diselewengkan ke dalam akaun syarikat miliknya.

Cerita penipuan Jho Low dan 1MDB sudah tersebar dan diketahui seluruh dunia.  Banyak laporan disertakan bukti-bukti dokumen, email dan sebagainya menunjukkan Jho Low terlibat dan boleh disabitkan melakukan penipuan dan penyelewengan.

Di Amerika, Swiss, London dan Singapura telah mendedahkan peranan  Jho Low dalam skandal penyelewengan 1MDB. Di Amerika, DOJ sedang giat mulakan saman jenayah. Di Singapura beberapa orang yang bersubahat dengan Jho Low telah dipenjarakan. Manakala di Swiss,  siasatan masih terus berjalan dan segala bukti dikumpulkan bagi mengambil tindakan. Bak kata Jho Low dan 1MDB berpisah tiada!

Tetapi di Malaysia,  Jho Low tidak pun menjadi buruan pihak polis atau SPRM.  Seolah Jho Low tidak wujud sedangkan seluruh dunia tahu antara Jho Low dan 1MDB berpisah tiada.

Dengan Tan Sri Isa Samad ditahan apakah ianya satu langkah untuk langkah-langkah yang seterusnya?  Atau setakat itu sahaja sebagai tanda SPRM membuat kerja?

Sehingga kini SPRM memberi alasan kes Jho Low dan 1MDB adalah kes polis.

Ertinya,  SPRM kena tunggu lampu hijau dari polis sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap Jho Low.

Mungkin ini yang mendorong Menteri Besar Selangor, Azmin Ali  memfailkan saman di mahkamah menggesa IGP Tan Sri Khalid Abu Bakar menangkap dan membawa pulang Jho Low untuk disiasat dan dibicarakan di atas penyelewengan dana 1MDB sekaligus membersihkan imej kerajaan dan negara. 

Selasa, 15 Ogos 2017

KASI BALING. INI KALI LAH !!

ADA pandangan punca kekecohan forum "Nothing To Hide 2.0" kerana jawaban Dr Mahathir dalam isu Anwar Ibrahim dan kes Memali tidak memuaskan. Mereka dakwa Dr Mahathir tidak menjawab soalan.

Setiap orang berhak memberi pandangan dalam berbagai sudut.  Tetapi jelas sekiranya itu sebab dan puncanya kerusi boleh terbang dan suasana menjadi kacau dalam forum Nothing To Hide - kita ingin bertanya apakah jawaban Najib Razak dalam skandal penyelewengan 1MDB selama ini??  Apakah dia menjawab soalan tentang kegagalan 1MDB itu secara yang memuaskan?

Setakat ini isu 1MDB tidak dibenarkan dibahas dalam Parlimen.  Sesiapa yang menimbulkan isu ini akan menghadapi masalah.  Sekiranya si penanya itu berada dalam kerajaan atau di luar pasti akan dikenakan tindakan susulan.

Sekiranya dia orang Umno tindakan disiplin akan dikenakan. Sekiranya dia orang korporat maka pihak LHDN akan tiba melawat.

Baling kerusi dan suar dalam forum Nothing To Hide 2.0

Apabila Najib tidak pernah berikan jawaban yang memuaskan tentang skandal 1MDB, apakah ada orang baling kerusi padanya atau membuat kacau? Setakat ini belum ada lagi.  Sebab mereka di luar kerajaan dan orang awam masih rasional dan waras.

Tetapi jangan pandang sebelah mata sekiranya tiada reaksi balas seperti yang berlaku dalam forum Nothing To Hide itu. Dan jangan sangka tiada buaya dalam air yang tenang.

PRU14 semakin dekat dan tidak mungkin boleh di gostan. Apakah Najib mampu menghadapi PRU14 dengan isu 1MDB masih tergantung tanpa penyelesaian muktamad?

Kalau setakat pelan rasionalisasi 1MDB yang digemburkan itu belum memadai.  Apakah tindakan terhadap Jho Low yang menjadi arkitek dan dalang penyelewengan 1MDB itu? Yang lain-lain seperti Shahrol Helmi, Suboh Yassin,  Nik Arif Faisal dan lain-lain yang disebut dalam berbagai laporan termasuk laporan SPRM.

Kenapa tidak ada tindakan atau tangkapan sehingga kini terhadap mereka semua. Ini tentunya bagi orang awam memang jawaban yang tidak memuaskan. Hendak harapkan penjelasan dan jawaban Najib,  ibarat jauh panggang dari api. Memang tidak ada harapan.

Jadi tidak payah lah baling kerusi atau buat kacau kerana jawaban kurang memuaskan.  "Baling" sahaja setiap undi dalam peti undi dalam PRU14 nanti.

KASI BALING. INI KALI LAH!!





Sabtu, 12 Ogos 2017

KLASIK : Suhaili Samsuddin - "Jika Sayang Kata Sayang"


Abdul Rani Kulup Buat Lawak Lagi

DALAM orang sibuk dan stress dengan berita politik negara seperti isu DoJ, 1MDB, isu SPRM yang giat tangkap ikan bilis dan lain-lainnya,  muncul Abdul Rani Kulup yang membahasakan dirinya sebagai "Ayah" mahu memperisterikan Siti Kassim, peguam wanita yang kontroversi.

Semua orang gelak bila Ayah melahirkan hasratnya itu.  Kerana Ayah sebelum ini adalah watak yang suka bergurau dan lucu.

Tetapi Siti Kassim lebih bijak dengan menolak hasrat Ayah itu dengan reaksi selamba dan lucu juga.  Siti kata dia tidak anggap Ayah serius kerana tingkah laku Ayah suka lawak dan bergurau.  Siti menambah dia suka watak Ayah yang melucukan itu. Reaksi Siti menamatkan kaitan cerita dia dengan Ayah.


Selepas Siti Kassim, Ayah menaruh harapan pula pada jutawan kosmetik,  Datuk Vida untuk menjadi calon isterinya.  Namun Datuk Vida menolak mentah-mentah kerana Ayah bukan "seleranya" sebagai calon suami.  Hahaha....

Setelah ditolak Datuk Vida,  Ayah buat gelak lagi bila dia mahu memperisterikan Azalina Othman.  Orang tanya Ayah siapa itu Azalina?  Ayah jawab entah ! Entah penyanyi entah  pelakun? Kah, kah, kah...


Ayah memang suka gelak.  Lepas Azalina,  siapa pula "mangsanya" ?

Apa pun watak Ayah - Abdul Rani Kulup ini boleh kendurkan sikit urat leher sebahagian rakyat negara ini yang lemas dengan segala isu dari soal kenaikan kos sara hidup, isu rasuah dan lain-lain hinggalah tarikh PRU14 yang semakin hampir. 

Rabu, 9 Ogos 2017

Tan Sri Shahrir Samad Kata Ini Zaman Pelik

PENGERUSI Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad,  menyatakan parlimen Malaysia kini sedang melalui suatu keadaan "pelik" di mana Tan Sri Speaker disaman ke mahkamah dan banyak perkara dibawa ke mahkamah oleh pihak pembangkang.

Sikit-sikit saman ke mahkamah kata Shahrir.  Kemudian bila kes kalah, pembangkang menuduh mahkamah tidak adil.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad

Reaksi Shahrir adalah ekoran tindakan wakil DAP menyaman Speaker kerana dua soalannya mengenai isu 1MDB ditolak. Menurut Shahrir lagi,  sebagai orang lama dalam parlimen perkara ini tidak pernah berlaku pada zamannya.

Ok lah Tan Sri Shahrir, seperti yang dikatakan apa yang berlaku memang pelik.  Tetapi Tan Sri, bukan itu sahaja ada banyak lagi perkara yang berlaku dalam negara yang pelik-pelik.

Antaranya:
- MO1 pada awalnya menafikan ada wang masuk ke dalam akaun peribadinya.

- Kemudian setelah diasak baru mengaku ada orang derma 2.6 billion masuk ke akaunnya. Katanya derma daripada seorang kerabat Di raja Saudi.

- Lepas itu Zahid Hamid kata dia tahu penderma itu bukan seorang tetapi beberapa orang.

- Derma itu untuk lawan dan banteras kumpulan militan ISIS

- Ada wakil Umno kata wang itu untuk belanja kempen pilihanraya.

- MO1 kata wang itu sudah dikembalikan pada pendermanya.

-Wakil Umno mengesahkan wang itu sudah habis dibelanjakan.

- MO1 kata 1MDB tidak rugi masih untung lagi.  Ada banyak aset.

- Hutang IPIC Abu Dhabi sebanyak 2.6 billion tidak boleh bayar kerana tidak ada duit.  Minta tangguh.

- MO1 kata bukan 1MDB tidak boleh bayar tetapi ada masalah "teknikal".

- MO1 kata dia tidak tahu siapa yang masukkan wang RM42 juta ke dalam akaunnya.  Wang itu dari SRC.

- Peliknya MO1 mengaku telah belanjakan wang tersebut.

Ya,  Tan Sri banyak benda pelik-pelik berlaku bukan sahaja dalam parlimen bahkan di dalam negara.

Sekiranya ada sesiapa ingin menambahkan lagi senarai benda-benda pelik yang berlaku boleh tambah sendiri. Ada banyak lagi...

Betul seperti kata Tan Sri Shahrir kita sekarang sedang melalui satu zaman pelik.

Sabtu, 5 Ogos 2017

Pemimpin Dan Ahli Umno Tidak Baca Buku "The Malay Dilemma"

PARA pemimpin Umno yang berkuasa sekarang sebenarnya sudah lupa hingga tergamak menghina Dr Mahathir dengan mengait asal keturunannya.

Malah hingga boleh menuduh Dr Mahathir memperalatkan parti Umno dan bangsa melayu demi kepentingan dirinya sehingga dapat menjadi Perdana Menteri ke 4.

Apakah mereka tidak baca buku karangan Dr Mahathir bertajuk,  "The Malay Dilemma" yang terbit pada 1970 ? Buku itu diharamkan pada zaman Tunku Abdul Rahman.  Pengharaman buku tersebut hanya ditarik balik sebaik sahaja Dr Mahathir menjadi PM pada 1981.

Edisi asal yang pernah saya miliki

Salah satu faktor Dr Mahathir menulis buku tersebut adalah ekoran kejadian peristiwa hitam negara yang mengalir darah pada 13 Mei 1969.

Antara kandungan buku itu Dr Mahathir menganalisa dan memberi pandangan mengenai kelemahan orang-orang melayu dan cara-cara mengatasinya.  Banyak idea dan cadangan yang dikemukakan demi kemajuan dan perubahan bangsa melayu.

Sudah tercatat dalam sejarah buku tersebut menjadi salah satu faktor wujudnya Dasar Ekonomi Baru dibawah kerajaan Tun Razak Hussein.

Kandungan buku itu tidak membayangkan Dr Mahathir seorang anak Kutty malah memperlihatkan tekad dan azamnya mahu memperbaiki nasib dan masa depan bangsanya melayu yang menjadi darah dagingnya sejak lahir.

Tidak ada pun dalam buku itu dia memperjuang dan menunjukkan prihatin terhadap bangsa lain selain bangsa melayu.

Sehingga Perdana Menteri Singapura,  Lee Kuan Yew waktu itu menuduh Dr Mahathir sebagai pelampau atau ultra melayu.  Pandangan Lee itu banyak bersandarkan buku "The Malay Dilemma" itu.

Jadi pada para pemimpin Umno yang baru setahun jagung sebelum menuduh Dr Mahathir sebagai keturunan anak Kutty dan memperalatkan Umno serta bangsa melayu untuk muslihat dirinya baca dan fahami lah kandungan buku itu dulu.

Asal buku itu adalah dalam bahasa Inggeris.  Mungkin ramai para pemimpin dan ahli Umno tidak faham bahasa orang putih. Mereka boleh baca buku itu yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia - Dilema Melayu.

Edisi terjemahan..

Baca dulu betul-betul dan fahamkan isi kandungannya. Jangan main sodok sahaja tidak faham apa benda lepas itu main hentam bodoh ajer.

Saya sudah baca buku itu sejak 1979 lagi semenjak habis sekolah menengah.  Dan buku itu saya beli di Singapura ketika musim cuti sekolah yang panjang.

Yang menjadi ingatan saya sampaikan sekarang buku itu telah dipinjamkan pada seorang aktivis politik dan ia tidak dipulangkan pada saya hingga sekarang.

Namun saya reda dan maafkan kerana si peminjam itu telah pun menjadi almarhum.


Kelebihan Dr Mahathir Antara Musa, Ku Li, Dollah Badawi

TPM Zahid Hamidi sekali lagi mengingatkan Dr Mahathir bahawa era beliau sudah berakhir. Zahid menggesa Dr Mahathir agar penuhkan sisa-sisa hidupnya dengan membuat amalan sebagai bekalan dalam usia lanjutnya 92 itu.

Bukan sahaja Zahid menasihat begitu malah para pemimpin Pas juga seringkali menasihat Dr Mahathir sedemikian. Mereka mahu negarawan itu duduk diam-diam tanpa mencampuri hal ehwal politik negara.

Yang sebenarnya mereka sudah merasai bahangnya dari sikap Dr Mahathir yang sering memberi pandangan berupa kritikan tajam yang boleh membuka minda orang ramai mengenai isu-isu semasa yang berlaku.  Ditambah lagi Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh yang kuat serta pengikut yang masih menghargai kepimpinannya selama 22 tahun sebagai PM.

Ke mana-mana sahaja Dr Mahathir berada beliau mendapat sambutan meriah daripada orang ramai.  Beliau pula jenis tidak boleh duduk diam, sentiasa bergerak aktif.  Pandangan dan ucapannya yang segar dan menarik sering mendapat perhatian dan ditunggu orang ramai.

Jadi kalau Zahid dan para pemimpin Pas mahu Dr Mahathir duduk diam-diam dan berada di rumah melayan cucu-cucunya sahaja tanpa terlibat urusan politik maka mereka tersilap menilai Dr Mahathir.

Dari kiri Musa, Ku Li dan Mahathir

Dr Mahathir tidak boleh disamakan dengan tokoh-tokoh pemimpin besar yang lain seperti Tun Musa Hitam,  Tengku Razaleigh Hamzah atau Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketiga bekas pemimpin Umno tersebut kini berada dalam dunia pencen dan menghabiskan masa mereka tanpa berani mengambil sebarang risiko dalam kehidupan selesa mereka. Ku Li walaupun belum pencen namun hakikatnya lebih macam orang pencen.

Mereka bertiga diam sunyi hanya mampu melihat tanpa mampu memberi sebarang fikiran dengan apa yang berlaku dalam negara.  Sedangkan sekiranya dibandingkan usia mereka bertiga jauh lebih muda daripada Dr Mahathir.

Itulah beza dan kelebihan Dr Mahathir jika dibandingkan dengan Tun Musa,  Ku Li dan Dollah Badawi.


Zahid Hamidi Mudah Lupa

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, Dr Mahathir tidak sukakannya sejak dia menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno pada 1998 lagi.

Ketika itu Zahid adalah penyokong setia Anwar Ibrahim.  Dia juga ditahan dibawah Akta ISA semasa gelombang kebangkitan pro Anwar menentang Dr Mahathir memuncak.

Menurut Zahid lagi semasa ditahan dibawah ISA, dia dipaksa Dr Mahathir melepaskan jawatan Ketua Pemuda Umno dengan menandatangani surat perletakkan jawatan.

Pendedahan Zahid ini adalah ekoran dari kenyataannya tentang Dr Mahathir sebagai anak Iskandar Kutty yang menimbulkan berbagai reaksi.

Manakala Dr Mahathir membalas kenyataan Zahid itu dengan membuka rahsia bahawa Zahid memiliki wang simpanan sebanyak RM230 juta dalam akaun bank semasa menjadi Ketua Pemuda.

Zahid enggan beri sebarang komen tentang duit RM230 juta itu dan dari mana puncanya.


Sebelum ini Zahid tidak terlihat pada umum sebagai pemimpin yang bermusuh atau berkonfrontasi secara terbuka dengan Dr Mahathir sekiranya dibandingkan dengan pemimpin dan menteri Umno yang lainnya.

Namun sejak Dr Mahathir semakin agresif menyerang Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB - Zahid telah memberi amaran akan membuka aib Dr Mahathir sekiranya dia tidak berhenti menyerang Najib.

Tetapi amaran Zahid itu tidak diendahkan Dr Mahathir.  Justeru itu lah timbulnya isu Dr Mahathir sebagai anak Kutty keturunan India yang didedahkan Zahid dalam mesyuarat bahagian Umno.

Nampaknya Zahid telah dan akan mendedahkan banyak lagi keburukkan Dr Mahathir menjelang Pru14 ini.

Tidak pasti apakah Zahid mahu membuktikan pada para ahli Umno bahawa dia memang setia dengan Najib dengan menyerang Dr Mahathir, tidak seperti sebelum ini dia jarang memburuk dan menyerang negarawan itu.

Apa pun kenyataan Zahid tentang Dr Mahathir,  satu perkara dia tidak boleh nafikan atau mudah lupa ialah pada Pru10 pada 1999 selepas dia dibebaskan dari ISA - Dr Mahathir tetap memilihnya menjadi calon parlimen bertanding mewakili Umno -BN.

Dan saya masih ingat selepas Zahid terpilih untuk terus jadi calon BN - dia telah membuat satu kenyataan akhbar menghargai sikap terbuka Dr Mahathir dan menganggap Dr Mahathir sebagai tokoh demokratik tulen.

Ini kerana dia dianggap sebagai "orang Anwar" dan bukan "orang Mahathir".

Petikan ucapan Zahid itu dilaporkan secara meluas dalam akhbar Utusan dan Berita Harian.  Keratan berita tersebut dipercayai masih tersimpan dalam arkib kedua akhbar perdana tersebut.

Apakah Zahid Hamidi mudah lupa?

Rabu, 2 Ogos 2017

Tubuh RCI Siasat Kes Scorpene

ISU pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis pada 2002 timbul lagi selepas pihak berkuasa negara itu menamakan Abdul Razak Baginda sebagai suspek yang akan disiasat kerana ada unsur rasuah.

Sebelum ini dilaporkan empat warga Perancis terlibat sama menerima rasuah hasil pembelian kapal selam itu dari Malaysia.

Razak Baginda adalah bekas pegawai Menteri Pertahanan pada 2002. Ketika itu negara masih dibawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Isu pembelian Scorpene ini melibatkan kos RM5 billion.  Sudah jadi rahsia umum pembeliannya ada melibatkan unsur rasuah. Dikatakan Razak telah menerima sejumlah wang hasil pembelian itu. Dan ketika itu dia dikatakan rapat dan bekerja dengan Menteri Pertahanan yang membuat keputusan ke atas pembelian Scorpene itu.


Apa yang lebih mendapat perhatian umum tentang kes Scorpene ini adalah kaitan kes pembunuhan seorang wanita Monggolia yang dikatakan memburu Razak untuk mendapatkan bahagian komisen untuk dirinya hasil pembelian kapal selam tersebut.

Kes kematiannya masih misteri sehingga kini walaupun mahkamah telah pun menjatuhkan hukuman mati ke atas dua orang pegawai polis yang menyebabkan pembunuhannya.  Namun kes wanita Monggolia itu mempunyai kaitan langsung dengan pembelian Scorpene tersebut.

Dengan timbulnya usaha pihak berkuasa Perancis bagi menyiasat Razak Baginda mengenai adanya perbuatan rasuah dalam pembelian Scorpene itu tentunya akan mengheret siasatan tersebut lebih meluas skopnya hingga melibatkan wanita Monggolia itu.


Bagi pihak Malaysia pula apakah negara mahu menyiasat semula kes Scorpene ini? Apakah SPRM serius mahu mengetahui kes ini dan apakah yang berlaku sebenarnya?

Oleh kerana ia berlaku pada 2002 iaitu semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, maka adalah bertepatan dengan usaha kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI)  untuk menyiasat skandal Forex Bank Negara - ia perlu siasat sekaligus isu pembelian Scorpene itu kerana ia ada unsur rasuah melibatkan ratusan juta.

RCI tentunya perlu menyiasat peranan Menteri Pertahanan ketika itu yang telah membuat keputusan pembeliannya.  Apakah benar ada unsur rasuah?

Kerajaan berkuasa kini telah berusaha mengorek segala kepincangan dan ketirisan semasa Dr Mahathir berkuasa. Salah satunya kes Bank Negara.  Dan dengan perkembangan terbaru dari Perancis ini harap-harap kerajaan juga bertindak menyiasat sama isu Scorpene ini.

Skandal forex Bank Negara itu berlaku pada 1993. Pembelian Scorpene itu pada 2002 - 2003. Tidak jauh jarak masanya. Dan ia berlaku zaman Dr Mahathir.

RCI boleh siasat Dr Mahathir.  Dan yang penting dan utama Menteri Pertahanan waktu itu yang membuat keputusan dan tanda tangan pembeliannya.