Sabtu, 5 Ogos 2017

Zahid Hamidi Mudah Lupa

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, Dr Mahathir tidak sukakannya sejak dia menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno pada 1998 lagi.

Ketika itu Zahid adalah penyokong setia Anwar Ibrahim.  Dia juga ditahan dibawah Akta ISA semasa gelombang kebangkitan pro Anwar menentang Dr Mahathir memuncak.

Menurut Zahid lagi semasa ditahan dibawah ISA, dia dipaksa Dr Mahathir melepaskan jawatan Ketua Pemuda Umno dengan menandatangani surat perletakkan jawatan.

Pendedahan Zahid ini adalah ekoran dari kenyataannya tentang Dr Mahathir sebagai anak Iskandar Kutty yang menimbulkan berbagai reaksi.

Manakala Dr Mahathir membalas kenyataan Zahid itu dengan membuka rahsia bahawa Zahid memiliki wang simpanan sebanyak RM230 juta dalam akaun bank semasa menjadi Ketua Pemuda.

Zahid enggan beri sebarang komen tentang duit RM230 juta itu dan dari mana puncanya.


Sebelum ini Zahid tidak terlihat pada umum sebagai pemimpin yang bermusuh atau berkonfrontasi secara terbuka dengan Dr Mahathir sekiranya dibandingkan dengan pemimpin dan menteri Umno yang lainnya.

Namun sejak Dr Mahathir semakin agresif menyerang Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB - Zahid telah memberi amaran akan membuka aib Dr Mahathir sekiranya dia tidak berhenti menyerang Najib.

Tetapi amaran Zahid itu tidak diendahkan Dr Mahathir.  Justeru itu lah timbulnya isu Dr Mahathir sebagai anak Kutty keturunan India yang didedahkan Zahid dalam mesyuarat bahagian Umno.

Nampaknya Zahid telah dan akan mendedahkan banyak lagi keburukkan Dr Mahathir menjelang Pru14 ini.

Tidak pasti apakah Zahid mahu membuktikan pada para ahli Umno bahawa dia memang setia dengan Najib dengan menyerang Dr Mahathir, tidak seperti sebelum ini dia jarang memburuk dan menyerang negarawan itu.

Apa pun kenyataan Zahid tentang Dr Mahathir,  satu perkara dia tidak boleh nafikan atau mudah lupa ialah pada Pru10 pada 1999 selepas dia dibebaskan dari ISA - Dr Mahathir tetap memilihnya menjadi calon parlimen bertanding mewakili Umno -BN.

Dan saya masih ingat selepas Zahid terpilih untuk terus jadi calon BN - dia telah membuat satu kenyataan akhbar menghargai sikap terbuka Dr Mahathir dan menganggap Dr Mahathir sebagai tokoh demokratik tulen.

Ini kerana dia dianggap sebagai "orang Anwar" dan bukan "orang Mahathir".

Petikan ucapan Zahid itu dilaporkan secara meluas dalam akhbar Utusan dan Berita Harian.  Keratan berita tersebut dipercayai masih tersimpan dalam arkib kedua akhbar perdana tersebut.

Apakah Zahid Hamidi mudah lupa?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan