Rabu, 6 Jun 2012

Pakatan Rakyat

Misi tawan Putrajaya

 PEMIMPIN Pakatan Rakyat (PR) percaya mereka akan dapat menawan Putrajaya dalam PRU 13 ini.

Parti PAS pula sudah menyatakan yang mereka telah bersedia menggantikan UMNO sebagai parti utama orang melayu dan Islam di negara ini.

Sekiranya andaian ini menjadi kenyataan dan benar berlaku, maka akan berlaku satu perubahan besar dalam landskap politik negara.

Kalau selama ini UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional begitu berpengaruh dan berperanan besar dalam pemerintahan, tetapi kali ini siapakah akan mengambilalih peranan itu ?

PAS kata ia akan menggantikan UMNO. Namun PR telah sepakat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri jika Putrajaya dapat ditawan. Berapa jumlah kerusi yang akan diperolehi PKR, DAP dan PAS dalam PRU 13 nanti belum dapat dipastikan. Tetapi parti yang mempunyai lebih banyak kerusilah yang akan menguasai dalam PR.

Dalam konteks kerajaan PR, parti mana yang dominan tidak penting lagi. Yang pastinya susunan kabinet kerajaan akan mengalami banyak pembaharuan. Kalau sekarang UMNO menguasai di Kementerian atau portfolio penting seperti, Keselamatan Dalam Negeri, Kewangan, Pendidikan, Pertahanan dan sebagainya, namun kali ini penguasaan ini akan pecah.

PAS yang bersedia menggantikan UMNO sudah pasti akan tunduk dan bertolak ansur dengan PKR dan DAP dalam menentukan pembahagian jawatan dan kementerian. PAS tidak mungkin dapat lakukan atau mengekalkan apa yang telah dilaksanakan UMNO sepanjang 54 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Adalah menarik perhatian; apakah PAS akan diberi peranan di kementerian yang penting dan strategik ? Selama ini pun dalam banyak isu parti itu terpaksa mengalah dan bertolak ansur dengan kerenah PKR dan DAP. Kejayaan PR menawan Putrajaya bererti dominasi UMNO sebagai parti melayu akan pecah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan