Sabtu, 16 Jun 2012

A.Kadir Jasin

Dari wartawan senior
DATUK A. Kadir Jasin (AKJ) dalam entri terbaru blognya menceritakan sedikit perihal bermulanya beliau sebagai seorang wartawan sejak 1969.

AKJ bukanlah orang asing dalam dunia persuratkhabaran di negara ini. Pada satu masa pernah menjadi orang kanan di akhbar Berita Harian semasa diterajui Dr. Nordin Sopiee dan Adibah Amin.

Tetapi kini walaupun sebagai pengarang paling kanan beliau hanya memangku jawatan di bahagian penerbitan majalah kumpulan NST.

Akhbar Berita Harian di mana tempat asalnya sebagai wartawan kini diterajui oleh pengarang yang lebih junior daripadanya. Sedangkan dari segi senioriti beliaulah paling layak menjadi Ketua Pengarang akhbar itu.

Sekiranya dibandingkan dengan Datuk Johan Jaafar, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan yang kini menjadi orang kuat Media Prima, AKJ ternyata mempunyai lebih pengalaman dalam bidang akhbar dan kewartawanan.

Namun hakikatnya kedudukannya sekarang hanyalah sebagai pengarang di majalah dan bukannya akhbar. Barangkali ini ada kaitan dengan sikap dan pendirian politiknya yang kadangkala kritikal terhadap pucuk pimpinan parti dan kerajaan.

AKJ tidak senasib seperti ZAM atau Johan Jaafar yang mencapai ke tahap puncak dalam kerjaya kewartawanan mereka masing-masing. Tetapi satu keistimewaan AKJ ialah beliau mampu menulis dalam dwi bahasa iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris dengan baik.

Dalam konteks dunia kewartawanan AKJ tidak kurang hebat jika diukur dengan ZAM atau Johan.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan